PM Thailand Adakan Mesyuarat Keselamatan Selepas Serangan Maut Di Selatan

Mariyam Ahmad
2019.11.06
Pattani, Thailand
191106-MY-TH-Deep-South-attacks-folo.jpeg Penyiasat Polis Thailand sedang mencari bukti di pusat pemeriksaan keselamatan yang diserang oleh pemberontak yang disyaki, di wilayah Yala, selatan Thailand, 6 November, 2019.
[AP]

Perdana Menteri Prayuth Chan-o-cha mengadakan pertemuan dengan para pegawai keselamatan kanan pada Rabu bagi mengkaji langkah menempatkan pasukan di Selatan Thailand selepas suspek pemberontak membunuh 15 orang sukarelawan pertahanan kampung, dengan pihak berkuasa mengambarkannya sebagai serangan paling dahsyat sejak tercetusnya pemberontakan pihak pemisah pada 2004.

Sekurang-kurangnya empat anggota keselamatan turut cedera apabila lelaki bersenjata yang menunggang motosikal dan rakan-rakannya yang berjalan kaki melepaskan tembakan di dua pos pemeriksaan keselamatan di daerah Maung dalam Wilayah Yala pada lewat Selasa, kata para pegawai.

"Hari ini, kita mengadakan pertemuan dengan timbalan pengarah operasi keselamatan dalam negeri mengenai langkah untuk menempatkan pasukan keselamatan," kata Prayuth kepada wartawan di Bangkok, tanpa mengulas lanjut.

Tidak jelas sama ada Prayuth sedang mempertimbangkan untuk mengerahkan lebih banyak pasukan keselamatan ke wilayah sempadan selatan itu.

"Saya sekali lagi ingin mengingatkan mereka yang bertugas supaya sentiasa berhati-hati. Pos-pos pemeriksaan itu terletak jauh dari bandar dan ia boleh menjadi sasaran mudah," katanya.

Serangan yang dilakukan pada Selasa merupakan kejadian berdarah paling buruk pernah berlaku sejak 28 April 2004 apabila suspek pemberontak, termasuk pemuda Muslim yang bersenjatakan parang, melancarkan serangan pada waktu subuh ke atas 11 pos pemeriksaan keselamatan di ketiga-tiga wilayah selatan negara itu.

Dalam kejadian itu, kata pihak berkuasa, seramai 10 penyerang dan lima anggota pasukan keselamatan terbunuh.

Seorang daripada lelaki bersenjata yang terlibat dalam serangan itu pada Selasa mungkin cedera, kata penduduk kampung.

"Kira-kira tujuh hingga lapan penyerang berjalan kaki mendekati pos sebelum melepaskan tembakan," kata seorang penduduk kampung, Ban Tung Sadao, kepada BeritaBenar beberapa jam selepas serangan tersebut.

"Seorang sukarelawan pertahanan cuba melepaskan dirinya tetapi  terkena tembakan lalu membalas tembakan," kata seorang penduduk tempatan yang tidak mahu dikenali atas faktor keselamatan. "Saya melihat seorang penyerang ditembak dan rakan-rakannya menyeretnya pergi."

Ketua balai polis tempatan, Kolonel Taweesak Thongsongsi, mengesahkan bahawa beberapa anggota pasukan keselamatan  berbalas tembakan dengan penyerang yang bersenjatakan senapang dan pistol.

“Mereka kemudian melarikan diri ke dalam kebun getah berdekatan," katanya. "Kami percaya mereka adalah pemberontak."

Serangan itu dilihat seperti sudah dirancang dengan teratur, katanya, dengan para pemberontak menabur paku di sepanjang jalan raya untuk memancitkan tayar kenderaan yang memasuki wilayah itu. Satu peranti peledak buatan (IED) yang kecil dijumpai berhampiran tiang elektrik dan dua lagi IED yang tidak meletup ditemui beberapa jam kemudian, kata polis.

Kira-kira 70,000 tentera dan 20,000 pegawai polis kini ditempatkan di wilayah Yala, Pattani dan Narathiwat di selatan, yang mempunyai kira-kira 2 juta orang penduduk dengan 75 peratus daripadanya adalah kaum etnik Melayu di negara Thailand yang majoritinya beragama Buddha, kata para pegawai.

Jiran-jiran Samsami Sama, seorang sukarelawan pertahanan yang terbunuh dalam serangan oleh suspek pemberontak pada Selasa,  mengusung jenazahnya untuk dikebumikan di Kampung Tung Sadao di wilayah Yala, Selatan Thailand, 6 November 2019. [Mariyam Ahmad/BeritaBenar]

‘Saya berdoa agar suami selamat’

Lima orang awam adalah antara 15 orang yang terbunuh bersama-sama dengan anggota polis, pegawai kerajaan dan sukarelawan pertahanan.

Tiga belas orang yang meninggal dunia dalam kejadian serangan pada Selasa adalah penganut Buddha. Pada Rabu, saudara mara seorang daripada dua lelaki Muslim yang terbunuh dalam serangan tersebut iaitu sukarelawan pertahanan berusia 40 tahun, Samsami Sama, menguruskan jenazahnya untuk dikebumikan di tanah perkuburan.

"Saya membawa anak saya ke bilik untuk menidurkannya, dan suami sempat makan malam sebelum pergi ke pos pemeriksaan. Saya kemudian mendengar bunyi tembakan dari pos pemeriksaan, lalu saya berdoa agar suami saya selamat," kata Sarinya Jaiya, balu kepada sukarelawan yang terbunuh dalam kejadian itu, kepada BeritaBenar.

Ketua kampung kemudian mengunjungi rumahnya pada tengah malam untuk memaklumkan bahwa Samsami terbunuh dalam serangan itu.

"Saya menangis dan berasa amat sedih. Saya tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Saya tidak sanggup memberitahu anak perempuan saya ke mana ayahnya pergi," katanya yang merujuk kepada anak pasangan itu yang berusia tiga tahun.

Pasukan sukarelawan pertahanan kampung diberikan senjata, kebanyakannya senapang patah, dan menerima latihan daripada pihak  tentera Thailand namun hanya dibayar sejumlah kecil elaun tanpa gaji.

Ketua Pemerintah Wilayah Ke-4 Tentera, Lt. Jen. Pornsak Poolsawat, melawat kawasan itu pada Rabu dan menggesa penduduk kampung supaya memaklumkan kepada pihak berkuasa tentang kehadiran suspek pemberontak di kampung mereka.

"Ini adalah kali pertama, dalam tempoh beberapa tahun, serangan dilakukan ke atas pos-pos pemeriksaan hingga menyebabkan kehilangan banyak nyawa," katanya. "Kita perlu sentiasa bergerak memantau dan mengelak hanya dengan duduk dalam pos-pos pemeriksaan."

Hampir 7,000 orang telah terbunuh di wilayah itu sejak tercetusnya pemberontakan pihak pemisah 15 tahun lalu, kata kumpulan pemikir dan kumpulan bukan meraih keuntungan.

Pakar percaya bahawa kebanyakan keganasan itu dilakukan oleh Barisan Revolusi Nasional (BRN), cabang Barisan Revolusi Kebangsaan Melayu Patani yang ditubuhkan pada 1960-an bagi mendapatkan kemerdekaan. Pegawai risikan tentera percaya BRN mengawal kira-kira 8,000 anggota militan di selatan Thailand.

Satu lagi kumpulan, Patani United Liberation Front (PULO), secara terbuka menggesa penubuhan sebuah negara pemisah dan mendakwa bahawa ia mengawal ramai pemberontak.

"Anggota militan BRN biasanya tidak menyerang sukarelawan pertahanan kampung," kata Don Pathan, penganalisis keselamatan dan pemerhati konflik di wilayah itu, kepada BeritaBenar, "Tetapi, jika mereka melangkaui had dan menjadi sebahagian daripada pasukan keselamatan kerajaan Thailand, maka pihak militan akan menganggap mereka sebagai sasaran yang sah."

Pembunuhan itu membawa kepada sekurang-kurangnya 95 kematian akibat keganasan yang berkaitan dengan pemberontakan di selatan sepanjang tahun ini, menurut maklumat yang dikumpulkan oleh BeritaBenar daripada laporan pihak polis dan tentera.

Sementara itu, kerajaan Thailand telah mengadakan rundingan damai dengan pemberontak sejak 2015 tetapi rundingan yang diaturkan Malaysia nampaknya gagal mencapai kejayaan.

Persoalan terus berbangkit sama ada elemen militan dalam BRN berpusat itu telah menerima rundingan yang diadakan itu, yang masih belum disambung semula secara rasmi sejak Prayuth dipilih sebagai perdana menteri pada April lepas.

Pemimpin PULO-MKP dan anggota panel perundingan damai Mara Patani, Kasturi Mahkota, memberitahu BeritaBenar bahawa serangan pada Selasa merupakan suatu tekanan dan "adalah satu daripada sebab utama mengapa proses damai mesti diadakan dengan secepat mungkin."

“Apa yang berlaku di Yala, di mana 15 orang terkorban adalah perkara biasa [di Selatan Thailand], selagi proses mencari penyelesaian tersangkut dan tidak ada komitmen di pihak kerajaan Thailand,” katanya, sambil menekankan bahawa beliau tidak tahu siapa yang bertanggungjawab dalam serangan maut itu. Wakil kerajaan Thailand tidak dapat dihubungi bagi mendapatkan  maklum balas segera.

“Proses damai akan berterusan, dan begitu juga dengan tindakan di lapangan,” katanya, “selagi tiada kata sepakat dicapai.”

 

Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.