Pemberontak Selatan Thailand diculik, seksa dan bunuh, kata BRN

Sumber pihak keselamatan Thailand berkata tentera tidak terlibat.
Muzliza Mustafa, Subel Rai Bhandari, Mariyam Ahmad, & Matahari Ismail
2022.10.19
Kuala Lumpur, Bangkok, Pattani & Narathiwat, Thailand
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
Pemberontak Selatan Thailand diculik, seksa dan bunuh, kata BRN Sebuah bot dilihat berlabuh di sebuah jeti di Sungai Golok, sebelah Thailand yang mengadap pekan Rantau Panjang di Malaysia, 29 Ogos 2022.
[Subel Rai Bhandari/BenarNews]

Mayat dengan kesan lebam teruk di seluruh badan yang ditemui terapung di Sungai Golok di sempadan Malaysia dan Thailand adalah seorang pejuang Selatan Thailand yang hilang setelah didakwa diculik bulan lalu, kata kumpulan pemberontak BRN pada Rabu sambil memberi amaran yang pembunuhan itu mungkin menjejaskan rundingan damai dengan Bangkok.

Mayat lelaki yang ditemui di Sungai Golok adalah anggota sayap tentera Barisan Revolusi Nasional (BRN), kata ketua panel perunding damai kumpulan berkenaan yang mengesahkannya kepada BenarNews.

Lelaki yang ditemui mati itu dikenali sebagai Zahri Bin Abdullah, 42 tahun (juga dikenali sebagai Yahri Dueloh), merupakan ketua sayap pemuda kumpulan pemberontak BRN di wilayah Narathiwat, selatan Thailand dan menetap di utara Malaysia sejak beberapa tahun lalu, demikian menurut sumber lain yang dekat dengan BRN kepada BenarNews.

Sumber tentera Thailand bagaimanapun menafikan dakwaan yang anggota keselamatan kerajaan berada di belakang penculikan Zahri dari sempadan Malaysia serta terlibat dalam penyeksaan dan pembunuhannya.

“Zahri diculik pada 27 September lepas, dan mayatnya ditemui terapung di sungai itu dua hari kemudian. Ujian DNA mengesahkan mayat tersebut milik Zahri,” kata Anas Abdulrahman, juga dikenali sebagai Hipni Mareh, yang mengetuai panel rundingan damai BRN yang difasilitasi oleh Malaysia.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan semalaman, BRN menyindir bahawa pasukan keselamatan Thailand telah menculik dan membunuh Zahri.

“BRN mengecam sekeras-sekerasnya pembunuhan kejam diluar batas kemanusian tanpa proses pengadilan yang adil terhadap orang yang disyaki mempunyai kaitan dengan BRN. Perlakuan seperti ini adalah pelanggaran langsung ke atas Konvensyen Geneva,” kata kenyataan BRN itu yang dihantar kepada BenarNews.

Insiden itu telah "menghakis kepercayaan BRN khususnya, dan masyarakat Patani amnya," tambah kumpulan pemberontak itu.

Pembunuhan Zahri "pasti akan menjejaskan" proses damai jika ternyata pihak berkuasa Thailand terlibat, kata Anas, sambil menambah mereka tidak tahu siapa di sebalik pembunuhan itu atau apa motif mereka.

“Pegawai Thailand pastinya tidak menculik dan membunuh Zahri,” kata sumber tentera negara itu yang berada di Selatan Thailand dan tidak diberi kuasa untuk bercakap dengan media.

Komander Wilayah Tentera Ke-4, yang meliputi Selatan Thailand bagaimanapun enggan mengulas.

221019-MY-TH-Zahri.jpg

Zahri Bin Abdullah, juga dikenali sebagai Yahri Dueloh. [Foto edaran tidak bertarikh dikeluarkan oleh pegawai Thailand]

Diculik, seksa dan bunuh

BRN dan Anas mendakwa Zahri diculik oleh sekumpulan lelaki menaiki tiga kenderaan dari sebuah pekan kecil di mukim Rantau Panjang, di negeri Kelantan, Malaysia, berhampiran sempadan Thailand.

Mereka berkata beliau dibunuh dengan kejam dan mengalami kecederaan parah anggota badan, dan terdapat tanda-tanda terkena renjatan elektrik dan dicekik.

“Keningnya hilang. Turut hilang adalah salah satu telinganya,” kata Anas. “Pakaiannya juga berbeza daripada masa beliau diculik. Jam di badan juga bukan milik Zahri, malah kad pengenalan yang ditemui padanya juga milik orang lain.”

Sumber Malaysia dan Thailand berkata, lelaki yang maut itu mempunyai kad pengenalan dari kedua-dua negara, dan ianya bukan perkara luar biasa bagi penduduk yang tinggal di sepanjang sempadan.

Menurut seorang lagi pegawai Thailand, pihak tentera pernah menahan Zahri untuk soal siasat pada 2015, dan beliau dikehendaki kerana melakukan tiga jenayah, termasuk dakwaan serangan membakar dan membunuh anggota polis pada 2017 dan 2018.

Sementara itu, seorang lagi sumber tentera Thailand berkata, Zahri kembali ke Malaysia pada September selepas ditahan untuk disoal siasat mengenai serangan di Sungai Padi, Narathiwat pada Ogos dan September lalu.

Seorang sumber di Thailand pula mengesyaki pembunuhan itu mungkin didalangi mereka yang cuba menggugat rundingan damai yang sedang berjalan antara kerajaan Thailand dengan BRN.

"Ia mungkin dilakukan oleh ‘perosak keamanan’ yang tidak mahu rundingan itu berjaya," kata sumber tersebut, yang enggan dinamakan atas sebab-sebab keselamatan.

221019-MY-TH-Anas3.jpg

Anas Abdulrahman atau dikenali sebagai Hipni Mareh (tengah), ketua panel rundingan yang mewakili Barisan Revolusi Nasional dalam rundingan damai dengan Thailand, bersama ahli delegasi BRN yang lain ketika sidang media di sebuah hotel di Petaling Jaya, Kuala Lumpur selepas selesai satu mesyuarat, 3 Ogos 2022. [S. Mahfuz/BenarNews]

Selepas usaha damai terbaharu dimulakan pada 2020, perunding kerajaan Thailand dan wakil BRN telah mengadakan tiga pusingan rundingan secara peribadi tahun ini berhampiran Kuala Lumpur.

Dalam satu kenyataan yang dihantar kepada BenarNews lewat Selasa, BRN berkata mereka sedang meneruskan usaha damai dengan penuh komitmen dan mahukan "penyelesaian politik yang berkekalan, yang bermaruah dan membawa kepada perdamaian yang mampan dan jitu."

Walau bagaimanapun, kes penculikan, pembunuhan dan penderaan yang dialami oleh ahli BRN "jelas mengikis kepercayaan dan keyakinan terhadap proses damai."

Kumpulan itu juga mendakwa kerajaan Thailand tidak memberikan "jaminan keselamatan dan kekebalan perundangan" kepada pemimpin dan wakil mereka yang berada di dalam dan luar negara, seperti yang "selalunya diberikan" dalam rundingan damai di tempat lain.

"Terdapat persoalan yang besar sekarang, 'Bagaimana wakil BRN dapat meneruskan konsultasi awam secara aman sekiranya tidak ada jaminan keamanan dan keselamatan yang jelas?'" kata kumpulan itu dalam kenyataannya.

Leftenan Jeneral Thira Daehwa,setiausaha panel perunding Thailand memberitahu BenarNews selepas sesi rundingan yang terbaru pada Ogos lepas, yang Bangkok telah menunjukkan lebih keterbukaan untuk membincangkan mengenai isu kekebalan atau imuniti dengan BRN.

Siri perbincangan yang seterusnya sepatutnya diadakan pada Oktober namun telah ditangguhkan sehingga bulan hadapan. Pihak yang berkenaan bagaimanapun tidak menjelaskan sebab mengapa ia ditangguhkan.

Sejak pemberontakan meletus kembali pada Januari 2004, lebih 7,000 orang telah terbunuh manakala 13,500 lagi cedera dalam kejadian keganasan di sekitar wilayah tersebut, menurut Deep South Watch, sebuah kumpulan pemikir tempatan.

Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.