Thailand, Pemberontak Selatan Tukar Pasukan Perundingan Damai

Wilawan Watcharasakwet & Nontarat Phaicahroen, & Muzliza Mustafa
2018.10.16
Bangkok & Kuala Lumpur
181016-TH-prayuth-1000.jpg Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-o-cha bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat kabinet di Rumah Kerajaan di Bangkok, 16 Okt, 2018.
[Nontarat Phaicharoen/BeritaBenar]

Thailand menamakan seorang ketua perunding baru dalam perbincangan yang terhenti bagi mendapatkan penyelesaian konflik pemisah yang berlanjutan beberapa dekad di wilayah sempadan selatan negara itu, manakala panel yang mewakili kumpulan pemberontak pula mengambil langkah memperluaskan pasukan perundingnya, kata para pegawai pada Selasa.

Perdana Menteri, Prayuth Chan-o-cha, mengesahkan tentang pertukaran itu beberapa hari sebelum lawatan pertama ke Bangkok oleh Perdana Menteri Malaysia, Mahathir Mohamad, yang pada Ogos lalu telah menamakan fasilitator baru untuk perundingan damai diusahakan Kuala Lumpur itu. Mahathir, yang menyandang jawatan berkenaan pada Mei, dijadual melawat Thailand pada 24 hingga 25 Okt ini, kata para pegawai.

Ketua perunding baru Thailand, Udomchai Thammasarorat, adalah bekas komander sebuah bahagian tentera yang mengawasi selatan Thailand, kata Prayuth.

"Beliau akan bertugas mengikut dasar kerajaan. Kami berpegang kepada dasar kerajaan sebagai prinsip perundingan damai - sebagai cara untuk menyelesaikan keganasan di Selatan Thailand, " kata ketua junta itu kepada pemberita selepas mesyuarat Kabinet di Bangkok.

Sementara itu, jurucakap panel yang berunding bagi pihak pemberontak selatan, MARA Patani, berkata, panel itu telah diperluaskan dengan penyertaan tiga kumpulan baru dan merancang untuk mengemukakan cadangan baru selepas pilihan raya umum diadakan di seluruh negara tahun depan.

"Kami tidak akan mengemukakan permintaan melainkan jika ada kerajaan Thailand demokratik baru yang dibentuk selepas pilihan raya umum Thailand, yang dijangka diadakan pada Februari tahun depan," kata jurucakap MARA, Abu Hafez Al-Hakim, kepada BeritaBenar di Malaysia.

Susulan perluasan itu, badan induk itu dijenamakan semula sebagai MARA Patani Plus, katanya. Beliau enggan menyatakan tiga kumpulan baru yang menyertai pasukan perbincangan itu.

"Lebih banyak yang bakal menyertai kami. Apabila senarai itu dimuktamadkan, kami akan mengumumkannya, "kata Abu Hafiz.

Beliau mengakui adanya ketegangan dalam badan induk itu.

"Kami daripada pertubuhan yang berbeza. Sudah tentu, akan ada masalah semasa menyesuaikan diri dengan satu sama lain, "katanya.

Apabila perundingan damai antara kerajaan tentera Thailand dan MARA dimulakan lebih tiga tahun lalu, hanya lima kumpulan dan puak pemberontak selatan yang diwakili oleh panel itu.

Ia terdiri daripada dua puak Pertubuhan Pembebasan Bersatu Patani (PULO); Gerakan Mujahidin Patani Islam (GMIP); Barisan Islam Pembebasan Patani (BIPP); dan Barisan Revolusi Nasional (BRN), yang terbesar dan kumpulan pemberontak paling berkuasa di Selatan Thailand.

Bagaimanapun, persoalan terus berbangkit sama ada MARA benar-benar boleh mengawal pemimpin dan anggota BRN, serta jika pemimpin-pemimpin tegar BRN boleh mengambil bahagian dalam rundingan damai itu. Beberapa perbincangan sudah pun diadakan di Kuala Lumpur sejak Ogos 2015, walaupun keganasan masih berterusan di wilayah sempadan yang majoriti penduduknya beragama Islam dan bertutur bahasa Melayu.


Polis Thailand memeriksa lokasi tembakan yang mengorbankan seorang wanita dan seorang anak perempuannya di Bacho, sebuah daerah dalam wilayah Narathiwat di selatan Thailand, 11 Ogos 2018. [AFP]

Mengeluarkan Aksara dan Zamzamin


Udomchai menggantikan Jen Aksara Kerdpol, yang telah mengetuai delegasi Thai dalam rundingan dengan MARA sejak ia dimulakan.

"Pertukaran ini dibuat kerana [Aksara] telah bekerja keras selama bertahun-tahun lamanya, jadi, kami menukarkannya dengan orang baru," kata Prayuth pada hari Selasa.

Antara muka baru di meja perundingan itu ialah Abdul Rahim Noor, bekas ketua polis Malaysia yang menggantikan Zamzamin Hashim sebagai fasilitator perundingan damai.

"Dengan pelantikan Tan Sri Abdul Rahim Noor sebagai fasilitator baru, kami menjangka adanya rombakan sedikit dalam komposisi delegasi Thailand, yang sebahagian besarnya didominasi oleh wakil tentera," kata Abu Hafiz kepada BeritaBenar minggu lalu.

Beliau memberitahu bahawa perbincangan itu digantung sementara kerana pihak Thailand enggan menandatangani perjanjian rangka kerja yang membuka laluan kepada pelaksanaan apa yang dianggap sebagai zon keselamatan, atau gencatan senjata terhad di Selatan Thailand, yang secara meluasnya dilihat sebagai langkah penting bagi mewujudkan keamanan pada masa depan.

'Perlukan perubahan'


Menurut Zachary Abuza, penganalisis dan pakar keselamatan mengenai konflik Selatan Thailand, "pihak Thailand perlu menunjukkan beberapa isyarat menjelang lawatan yang bakal dilakukan Mahathir."

"Mahathir baru sahaja melantik fasilitatornya, jadi, adalah wajar bagi pihak Thailand untuk menamakan pasukannya yang baru untuk menghidupkan semula perundingan damai ini," kata Abuza, seorang kolumnis BeritaBenar yang mengajar di Kolej Perang Nasional di Washington, kepada portal berita ini.

"Perbincangan mereka telah terhenti, dan apabila ia berlaku, anda memerlukan orang baru. Oleh itu, saya berpendapat bahawa pemimpin-pemimpin  politiknya tidak akan memberikan apa-apa kebebasan kepadanya. "

Jen. Udomchai, ketua baru pasukan perundingan Thailand "bersedia untuk menghadapi - atau sekurang-kurangnya mengakui" tentang masalah yang wujud dalam pasukan keselamatan pemerintah di selatan, kata Abuza.

"Bukannya beliau yang menyelesaikannya, tetapi beliau telah membiarkan beberapa kes dibawa ke mahkamah, tidak seperti komander Tentera Darat Ke-4 yang lain. Itulah yang diakui oleh rakyat Malaysia," kata penganalisis itu.

Pemberontakan puak pemisah telah menjejaskan Selatan Thailand sejak beberapa dekad lalu.

Hampir 7,000 orang telah terkorban angkara keganasan di seluruh wilayah ini, yang bersempadan dengan Malaysia, sejak pemberontakan itu tercetus semula pada 2004. Selatan Thailand merangkumi wilayah Patani, Yala, dan Narathiwat, serta empat daerah dalam wilayah Songkhla.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.