Follow us

Pemberontak BRN: Malaysia Anjur Rundingan Dengan Thailand Walaupun Berubah Kerajaan

Nisha David & Mariyam Ahmad
Kuala Lumpur & Pattani, Thailand
2020-03-02
E-mel
Komen
Share
Pegawai polis memeriksa senjata yang dirampas daripada lima pemberontak yang ditembak mati oleh tentera kerajaan di Narathiwat, wilayah Selatan Thailand, 23 Februari, 2020.
Pegawai polis memeriksa senjata yang dirampas daripada lima pemberontak yang ditembak mati oleh tentera kerajaan di Narathiwat, wilayah Selatan Thailand, 23 Februari, 2020.
[AFP]

Malaysia akan menjadi tuan rumah pada minggu ini bagi rundingan damai antara kerajaan Thailand dan pemberontak selatan BRN walaupun berlakunya perubahan kerajaan di Kuala Lumpur pada Ahad, lapor agensi berita negara semalam yang memetik sumber kumpulan pemberontak itu.

Abdul Rahim Noor, fasilitator proses damai yang diusahakan Kuala Lumpur di Selatan Thailand, memberitahu BeritaBenar bahawa beliau akan memberi taklimat kepada perdana menteri baru Malaysia, Muhyiddin Yassin, dalam tempoh dua minggu akan datang mengenai usaha untuk menamatkan pemberontakan pihak pemisah yang berlarutan sejak sekian lama.

Abdul Rahim akan menjadi pemudah cara rundingan antara delegasi yang mewakili kerajaan Thailand dan BRN pada Rabu, 4 Mac, kata sumber Barisan Revolusi Nasional (BRN) kepada Bernama, agensi berita negara Malaysia.

"Sekarang, semua sudah berada di Kuala Lumpur dan membuat persediaan untuk rundingan kali ini," kata sumber BRN itu, menurut Bernama, yang menyatakan bahawa mesyuarat itu dijangka menyaksikan "kedua-dua pihak mengemukakan cadangan jangka panjang bagi keamanan di selatan Thailand. "

Kedua-dua pihak mengadakan mesyuarat pertama di ibu negara Malaysia pada hujung Januari. Keesokannya, ketua perunding Thailand, Jen. Rugsanaoh, memberi isyarat bahawa pada 21 Jan beliau mengadakan perbincangan terus dengan BRN iaitu kumpulan pemberontak paling besar dan berkuasa, yang pemimpin tegarnya telah menarik diri daripada rundingan damai dengan Bangkok sejak 2015 .

Pengumuman itu menandakan berakhirnya perbincangan sejak lima tahun lalu antara Thailand dan MARA Patani, kumpulan payung yang mewakili pelbagai puak pemberontak selatan, tetapi anggota panel BRN dilihat tidak menggunakan pengaruhnya ke atas para pemberontak di lapangan, kata penganalisis.

Lebih 7,000 orang terbunuh di wilayah sempadan Thailand yang diduduki majoriti Muslim berbahasa Melayu selatan Thailand, yang bersebelahan dengan Malaysia sejak pemberontakan itu tercetus semula pada 2004.

Di Kuala Lumpur, Abdul Rahim menafikan yang rundingan itu akan disambung semula pada Isnin, seperti mana dinyatakan oleh sumber dalam MARA Patani sebelum ini.

"Inilah keputusan yang kami buat bahawa kami tidak akan mendedahkan perkembangan atau kemajuan tentang rundingan damai ini. Apabila kami sudah mencapai persefahaman bersama, mencari cara untuk menyelesaikan [konflik], selepas itu barulah kami keluar kenyataan," katanya kepada BeritaBenar pada Isnin.

Beliau berkata pihak yang bersengketa "tidak mahu memberitahu umum" tentang rundingan itu bagi mengelak lonjakan harapan orang ramai terhadap fasa baru proses damai itu.

Apabila ditanya bila beliau boleh mengeluarkan kenyataan mengenai rundingan tersebut, Abdul Rahim menjawab "apabila kami sudah mencapai asas keamanan."

"Itulah hasrat mereka. Ia bergantung kepada seberapa cepat dan seberapa segera mereka berdamai dengan satu sama lain. Lagi cepat lagi baik," kata fasilitator itu kepada BeritaBenar.

Pada Ogos 2018, Perdana Menteri ketika itu Mahathir Mohamad telah melantik Abdul Rahim, bekas ketua polis negara, sebagai fasilitator baru bagi rundingan damai selatan Thailand.

Kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Mahathir terbubar pada minggu lalu apabila beliau meletak jawatan perdana menteri pada 24 Feb. Muhyiddin, bekas menteri dalam negeri di bawah kerajaan Mahathir, beralih kepada pembangkang untuk membentuk kerajaan baru. Pada hujung minggu lalu, Yang di-Pertuan Agong Malaysia mengumumkan bahawa Muhyiddin merupakan pilihannya untuk menyandang kepimpinan politik utama negara itu.

"Bagi Malaysia, kita berharap persengketaan [di Selatan Thailand] akan berakhir ketika Tun M [Mahathir] menjadi perdana menteri. Sekarang beliau telah meletak jawatan. Sekarang kita mempunyai perdana menteri yang baru...saya akan bertemu beliau dalam seminggu dua untuk memberi taklimat kepadanya," kata Abdul Rahim.

Di Bangkok, seorang pegawai Wanlop, ketua perunding Thailand, memberitahu BeritaBenar bahawa jeneral itu tidak akan ke Kuala Lumpur pada Isnin kerana beliau menuju ke pedalaman negara pada hari berkenaan.

Pada 31 Jan, Wanlop mengumumkan bahawa beliau menjangka delegasinya akan mengadakan mesyuarat kedua dengan perwakilan BRN di Kuala Lumpur pada "awal Mac."

Pada Isnin, BeritaBenar juga bercakap dengan seorang ahli panel MARA Patani yang mengetuai Pertubuhan Pembebasan Bersatu Patani (PULO), satu daripada kumpulan pemisah di Selatan Thailand.

"Pada mulanya saya tidak tahu adanya perbincangan ini. Tetapi, saya mahu mengesahkan bahawa saya menyokong sepenuhnya perbincangan ini, saya menyokong setiap rundingan. Kali ini, saya menekan tentang pentingnya keterangkuman, dengan menjadikannya perkara utama dari awal," kata Kasturi Mahkota.

"Untuk mengelak kegagalan seperti pada masa lalu, saya tidak akan bercakap terlalu banyak tentangnya kerana proses itu baru sahaja bermula," katanya kepada BeritaBenar.

Lihat Laman Penuh