Follow us

Thailand Dakwa Pemberontak PULO Sertai Proses Pengesahan Kewarganegaraan

Mariyam Ahmad
Pattani, Thailand
2018-02-14
E-mel
Komen
Share
Pegawai tentera sedang menjalankan ujian DNA terhadap mereka yang didakwa sebagai pemberontak Pertubuhan Pembebasan Bersatu Pattani [PULO] yang mahu menyertai Program 'Bawa Balik Kampung' yang dikendalikan Pasukan Tentera Wilayah Ke-Empat, Selatan Thailand, 14 Feb. 2018
Pegawai tentera sedang menjalankan ujian DNA terhadap mereka yang didakwa sebagai pemberontak Pertubuhan Pembebasan Bersatu Pattani [PULO] yang mahu menyertai Program 'Bawa Balik Kampung' yang dikendalikan Pasukan Tentera Wilayah Ke-Empat, Selatan Thailand, 14 Feb. 2018
[Mariyam Ahmad/BeritaBenar]

Sekumpulan 103 orang termasuk wanita dan kanak-kanak serta anggota pejuang pemberontak Pertubuhan Pembebasan Bersatu Pattani [PULO] yang melarikan diri dan tinggal di Malaysia, seperti yang didakwa oleh pemerintah junta tentera Thailand, memutuskan untuk menjalani proses pengesahan kewarganegaraan dalam usaha terakhir mereka untuk pulang ke tanah air.

Program proses pengesahan kewarganegaraan itu, yang dikendalikan oleh Pasukan Tentera Wilayah Ke-Empat yang berpangkalan di selatan Thailand, berlangsung di daerah Saiburi, Pattani pada Rabu.

Panglima Tentera Wilayah Ke-Empat Lt Jen Piyawat Nakwanich berkata, kakitangan pusat forensik di wilayah-wilayah di selatan Thailand telah menjalankan ujian DNA bagi mengesahkan kewarganegaraan Thailand, sebelum menyediakan dokumen rasmi lain dan melakukan penjelasan tentang proses pemulihan bagi mereka yang mengambil keputusan untuk menyertai program "Bawak Balik Kampung".

"Hari ini, seramai 103 orang perlu menjalani ujian bagi mengesahkan bahawa mereka adalah rakyat Thailand. Mereka perlu menjalani kesemua proses yang diperkenalkan jika mahu terus menyertai program 'Bawa Balik Kampung'.

“Apa yang dapat saya pastikan ialah mereka akan dibawa ke mahkamah untuk menjalani proses perundangan Thailand. Buat masa ini, seramai 24 orang telah berjaya dalam proses pengesahan kewarganegaraan mereka, " kata Piyawat kepada media semasa ditemui pada Rabu.

Pihak berkuasa tentera berkata, ahli PULO yang menyertai program berkenaan terdiri daripada lelaki muda hingga mereka yang berusia dan mereka telah menghubungi pihak berkuasa Thailand untuk menyerah diri.

Bagaimanapun, tidak dinyatakan tarikh dan berapa jumlah sebenar pejuang pemberontak yang menyertai program itu.

Seorang lelaki warga emas, yang hanya mahu dikenali sebagai Loh, adalah antara peserta yang menyertai program itu.

Loh, 65, memberitahu BeritaBenar bahawa beliau melarikan diri ke Malaysia kira-kira 30 tahun lalu dan kini mempunyai anak dan cucu.

"Kini, saya mempunyai lima orang anak dan puluhan cucu. Hari ini, mereka semua mahu pulang ke rumah [Thailand], bertemu dengan saudara mara dan semua anak cucu juga boleh pulang ke rumah… kami juga akan mempunyai dokumen kewarganegaraan rasmi sebagai rakyat Thailand, " kata Loh.

"Saya berasa sangat gembira. Terima kasih kepada program ini dan kami sekarang dapat pulang ke rumah,” katanya.

Loh berkata, selepas ini, beliau mahu bekerja berdekatan dengan sempadan Thailand-Malaysia kerana di sana banyak peluang buatnya.

“Yang penting, kita dapat meyakinkan orang lain untuk menyertai program ini terutamanya bagi mereka yang masih belum berbuat demikian tetapi mahu kembali… menyertai program ini memang sangat mudah,” kata Loh.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Islam Wilayah Patani Waedueramae Mamingji, semasa ditemui pada program itu, berkata: "Kesemua 103 orang ini dianggap sebagai kumpulan perintis.

“Jika mahu program ini berjaya, kerajaan mesti mempunyai keikhlasan dan harus menubuhkan sebuah jawatankuasa yang bertanggungjawab secara langsung bagi perkara ini kerana banyak langkah perlu disahkan terlebih dahulu,” katanya.

Nafi ahli

Bagaimanapun, seorang pemimpin kumpulan pemisah PULO telah menafikan bahawa pejuangnya telah belot, dan mahu menyertai program inisiatif "Bawa Balik Kampung" yang diperkenalkan Thailand itu.

Kasturi Mahkota pemimpin PULO semasa dihubungi BeritaBenar memberitahu, dakwaan pejuang PULO yang telah berpaling tadah kepada pihak musuh adalah satu pembohongan dan sandiwara politik murahan.

"Saya tidak kenal mereka, tidak ramai anggota PULO di Malaysia jadi mustahil ramai yang berpaling tadah, dan anggota PULO masih setia dengan perjuangan," kata Kasturi pada lewat petang Rabu.

Baru-baru ini, pemimpin pemisah itu turut menafikan laporan yang disiarkan oleh media tempatan Thailand pada 2 Feb lepas yang menyatakan bahawa 2,000 bekas pejuang PULO dan Barisan Revolusi Nasional [BRN] ingin menyertai program inisiatif "Bawa Balik Kampung" yang diperkenalkan Thailand itu.

Kasturi memberitahu BeritaBenar, siasatan yang dilakukan oleh PULO menunjukkan tiada anggota kumpulan atau pejuang samada dari PULO atau BRN terlibat dalam program “Bawa Balik Kampung”.

“Saya ingin menegaskan bahawa tidak ada anggota yang kini meneruskan perjuangan di Malaysia atau di negara Eropah, yang menyertai program `Bawa Balik Kampung’," tegasnya semasa dihubungi BeritaBenar dari Kuala Lumpur pada Selasa lepas.

Dalam pada itu, Kasturi melalui laman media sosial Facebook turut memuat naik status bersama beberapa keping gambar yang menunjukkan pejuang di selatan telah berpaling tadah dengan menyerahkan senjata kepada pihak berkuasa Thailand.

“(Laporan) dua ribu pejuang berpaling tadah kepada pihak musuh [tentera Thailand] adalah satu pembohongan dan sandiwara politik murahan,” katanya dalam status Facebook beliau pada Isnin lepas itu.

Pemimpin PULO itu berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai laporan media Thailand, The Bangkok Post yang menyiarkan berita pada Jumaat lepas dengan tajuk “Nearly 2,000 Insurgents Ready to Surrender to Authorities” [ Hampir 2,000 Pemberontak Sedia Menyerah diri kepada Pihak Berkuasa].

Laporan akhbar Thailand itu berkata sekurang-kurangnya 2,000 bekas anggota PULO dan BRN  yang melarikan diri dari negara itu untuk mengelakkan pendakwaan terhadap serangan  di selatan Thailand, telah menunjukkan minat untuk menyertai projek "Bawa Balik Kampung" yang diperkenalkan oleh Tentera Wilayah Keempat Thailand.

Sejak 2004, hampir 7,000 orang terbunuh dan lebih 13,000 cedera dalam keganasan yang dikaitkan dengan konflik di selatan Thailand yang majoriti penduduknya beragama Islam dan bertutur dalam Bahasa Melayu di wilayah yang dikawal ketat oleh tentera, menurut Deep South Watch, sebuah badan pemikir yang berpangkalan di wilayah Pattani.

 

Hata Wahari di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Lihat Laman Penuh