Rundingan Damai: PULO Lancar Serangan di Selatan Thailand Selepas Dipinggirkan

Seorang penduduk kampung terbunuh manakala tiga anggota polis cedera dalam insiden letupan berganda di wilayah Pattani.
Mariyam Ahmad
2022.04.15
Pattani, Thailand
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
Rundingan Damai: PULO Lancar Serangan di Selatan Thailand Selepas Dipinggirkan Anggota polis Thailand mengangkat rakan mereka yang cedera selepas sebutir bom yang cuba dimatikan tiba-tiba meletup di Kampung Lahan, Pattani, Thailand, 15 April 2022.
[Ihsan Polis Thailand]

Pemimpin pemberontak PULO pada Jumaat mengaku bertanggungjawab melancarkan dua serangan bom di Selatan Thailand kerana telah dipinggirkan daripada rundingan damai antara perunding Thailand dengan sebuah lagi kumpulan pemisah iaitu BRN dan mendesak agar turut dilibatkan.

Letupan pada Jumaat itu telah menggegarkan Sai Buri, sebuah daerah di wilayah Pattani pada pertengahan bulan Ramadan yang meragut nyawa seorang penduduk kampung dan mencederakan tiga anggota polis dari skuad bom, kata beberapa pegawai.

“Serangan hari ini dilancarkan oleh satu daripada lima unit operasi PULO. Ia bagi menyatakan bahawa dialog damai Thailand perlu melibatkan rundingan dengan semua kumpulan. Pattani bukan hanya milik BRN,” kata Kasturi Mahkota, pemimpin Pertubuhan Pembebasan Bersatu Pattani, kepada BenarNews.

Serangan itu menjejaskan ketenangan yang dinikmati di wilayah sempadan selatan Thailand sejak awal April. Ia merupakan insiden pertumpahan darah pertama sejak pejuang Barisan Revolusi Nasional dan kerajaan Thailand, menerusi rundingan damai yang dipelopori Malaysia, mencapai kata sepakat untuk menghentikan keganasan selama 40 hari sepanjang bulan Ramadan.

Pattani ialah nama yang diberikan kepada kawasan selatan Thailand oleh kumpulan bersenjata seperti BRN dan PULO, yang telah menyaksikan pejuang pemisah melancarkan serangan sejak sedekad lamanya di wilayah yang majoriti penduduknya beragama Islam dan bertutur dalam Bahasa Melayu.

“Kami mempunyai lima unit di seluruh wilayah ini namun saya tidak boleh memberitahu anda unit mana yang telah melancarkan serangan hari ini,” kata Kasturi yang mengetuai satu daripada tiga bahagian iaitu PULO-MKP (Majlis Kepimpinan Pertubuhan).

Serangan pada Jumaat merupakan “yang pertama sejak beberapa tahun kebelakangan ini,” kata Kasturi kepada BenarNews menerusi mesej teks. Kali terakhir PULO melancarkan serangan ialah pada 2016.

Sebelum Thailand mengadakan rundingan damai dengan BRN pada Januari 2020, dua puak dalam PULO dan BRN serta dua lagi kumpulan pemberontak telah diwakili oleh MARA Pattani, panel yang berunding dengan pihak kerajaan Thailand. Kasturi adalah seorang daripada wakil PULO dalam panel itu. Rundingan terbabit, yang bermula pada 2015, turut menyaksikan Malaysia sebagai fasilitator namun gagal selepas BRN memulakan rundingan secara terus dengan Bangkok.

Pada Jumaat, sumber BRN memaklumkan BenarNews menerusi mesej teks bahawa kumpulan itu tidak bertanggungjawab dalam insiden pengeboman berganda di Sai Buri namun enggan mengulas lanjut.

Dalam insiden pertama, Navi Pramon, 34, seorang penduduk Lahan iaitu sebuah kampung di Sai Buri, terkorban selepas sebutir bom yang disembunyikan dalam beg kertas meletup di tepi jalan pada pukul 3 pagi, kata polis.

“Rakannya telah berjalan ke kawasan padang semasa Navi memarkir motosikalnya berhampiran sebatang pokok dan menemui beg kertas itu. Dia telah mengambil beg itu dan bom tersebut tiba-tiba meletup serta meragut nyawanya di situ,” kata Kolonel Chalermchai Petchkart, Ketua Polis Daerah Sai Buri.

Selepas itu, dua lagi bom ditemui di kawasan berhampiran. Anggota skuad bom polis berjaya mematikan sebutir daripada bom terbabit namun sebutir lagi telah meletup dan mencederakan tiga orang daripada mereka. Mereka mengalami kecederaan serius namun tidak mengancam nyawa, kata polis.

Di lokasi bom terbabit, polis menjumpai satu risalah dengan imej seekor harimau (seperti gambar di bawah) dan mesej dalam Bahasa Melayu yang berbunyi: DAULAT TUANKU; G5 ASKAR DI-RAJA PATTANI,” demikian menurut pihak berkuasa Thailand.

Ia merujuk kepada era ketika wilayah itu dikenali sebagai Kerajaan Pattani Darussalam, sebuah kesultanan Islam di bahagian paling utara Semenanjung Tanah Melayu yang kini terdiri daripada wilayah Pattani, Yala, Narathiwat dan empat daerah Songkhla di Thailand. Thailand telah mengilhakkannya pada 1909 sebagai sebahagian daripada perjanjian dengan Britain.

220415-MY-TH-Inside.jpg

[Foto ihsan Polis Thailand]

BRN, PULO dan rundingan damai

BRN mahupun PULO dianggap sebagai pergerakan pejuang pemisah tertua di Selatan Thailand.

Ditubuhkan pada 1968, PULO merupakan kumpulan pemberontak paling berpengaruh sehingga 1990-an. Bagaimanapun, BRN telah muncul sebagai kumpulan bersenjata paling berkuasa di selatan Thailand selepas pemberontakan meletus semula pada Januari 2004 apabila pemberontak BRN melakukan serbuan ke atas sebuah depot peluru tentera Thailand.

Mereka dipercayai bertanggungjawab ke atas kebanyakan serangan yang telah meragut lebih 7,000 nyawa dalam tempoh 18 tahun, menurut Deep South Watch, sebuah badan pemikir tempatan.

Semasa pusingan terkini rundingan damai Thailand-BRN yang dimudah cara oleh Malaysia di Kuala Lumpur pada 31 Mac hingga 1 April lepas, kedua-dua pihak telah mencapai kata sepakat untuk menghentikan keganasan sebagai sebahagian daripada Inisiatif Damai Ramadan bagi membina keyakinan dan kepercayaan.

Buat julung kalinya, pemberontak tanpa senjata dibenarkan menziarahi keluarga mereka sepanjang bulan Ramadan. Sesetengahnya telah dibebaskan daripada tahanan dan pihak berkuasa Thailand bersetuju untuk tidak memberkas anggota BRN atau mengadakan serbuan.

Seorang pegawai kanan Thailand dalam rundingan damai itu berkata serangan pada Jumaat di Pattani tidak akan menjejaskan usaha damai itu.

“Pertama sekali, kami perlu berunding dan cuba mengenal pasti pihak yang melancarkan kesemua serangan ini,” kata Leftenan Jeneral Thira Daehwa, Setiausaha Panel Dialog Damai Thailand, kepada BenarNews.

“Nampaknya PULO adalah dalangnya atas alasan ia tidak bersetuju dengan rundingan yang mungkin membuahkan hasil untuk membawa kedamaian di wilayah itu – hanya kerana ia tidak mengambil bahagian dalam proses itu,” katanya.

“Kesemua serangan ini telah mengganggu namun tidak akan menjejaskan proses damai itu. Semua pihak telah bertekad dan sabar dalam usaha untuk merealisasikan keamanan.”

Bagaimanapun, menurut seorang pakar mengenai situasi di Selatan Thailand, serangan pada Jumaat membuktikan bahawa proses damai yang berlangsung ketika ini adalah lemah.

“Ia merupakan satu risiko apabila insiden sebegini berlaku. Sudah terbukti bahawa rundingan damai itu perlu melibatkan pelbagai pihak,” kata Profesor Srisompob Jitpiromsri, Pengarah Deep South Watch, kepada BenarNews.

“Bagaimanapun, adalah penting untuk melakukan proses siasatan yang efisyen ke atas insiden ini untuk menjernihkan keadaan dengan sabar.”

Sementara itu di Pattani, seorang penduduk berkata pemberontak daripada semua kumpulan pemisah perlu mengambil kira keselamatan penduduk kampung.

“Apa jua yang anda lakukan, jangan sesekali jadikan penduduk sebagai sasaran. Tindakan sebegini tidak molek,” kata Abdullah Eso, seorang ahli perniagaan tempatan, kepada BenarNews.

“Tidak kisahlah sama ada mereka beragama Buddha atau Islam, anda tidak mempunyai alasan untuk menyerang mereka. Seseorang telah terbunuh; apa salah dia kepada anda?”

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh