Follow us

Fasilitator Malaysia: Keganasan Di Selatan Thailand Boleh Ditamatkan Dalam Tempoh Dua Tahun

Wilawan Watcharasakwet, Pimuk Rakkanam & Muzliza Mustafa
Bangkok & Kuala Lumpur
2019-01-04
E-mel
Komen
Share
Abdul Rahim Noor (kiri), fasilitator Malaysia dalam rundingan damai Selatan Thailand, melakukan gestur semasa sidang media bersama dengan Jeneral bersara Udomchai Thammasarorat (kanan), ketua delegasi Thailand ke rundingan itu, selepas pertemuan rasmi pertama mereka di sebuah hotel di Bangkok, 4 Jan 2019.
Abdul Rahim Noor (kiri), fasilitator Malaysia dalam rundingan damai Selatan Thailand, melakukan gestur semasa sidang media bersama dengan Jeneral bersara Udomchai Thammasarorat (kanan), ketua delegasi Thailand ke rundingan itu, selepas pertemuan rasmi pertama mereka di sebuah hotel di Bangkok, 4 Jan 2019.
[Pimuk Rakkanam/BeritaBenar]

Selepas pertemuan rasmi pertama mereka di Bangkok pada Jumaat, fasilitator Malaysia dalam rundingan damai Selatan Thailand dan pasukan perunding Thailand berkata mereka berharap dapat menamatkan konflik puak pemisah dalam tempoh dua tahun namun langkah untuk memberikan kemerdekaan kepada rantau itu tidak mungkin berlaku.

Fasilitator Malaysia Abdul Rahim Noor berkata beliau dan rakan sejawatnya dari Thailand menjangkakan dapat menyuntik harapan baharu dan memberikan “momentum baharu” dalam rundingan damai dengan pemberontak di selatan negara itu, namun beliau mendedahkan bahawa usahanya untuk memujuk pemimpin tegar kumpulan pemberontak paling berpengaruh itu untuk tampil ke meja rundingan tidak berhasil setakat ini.

Rundingan pada masa depan akan menghormati integriti keutuhan wilayah Thailand, kata Jeneral bersara Udomchai Thammasarorat, yang dilantik sebagai ketua perunding Thailand oleh Perdana Menteri Prayuth Chan-o-cha pada November.

“Terdapat desentralisasi kuasa dan pematuhan dengan norma-norma antarabangsa, namun perkara itu tidak seharusnya menuju ke arah pemisahan,” kata Udomchai dalam sidang media selepas pertemuan itu di sebuah hotel, di mana beliau dan delegasi Thailand bertemu secara rasmi dengan Rahim Noor, yang dilantik sebagai fasilitator baharu oleh Perdana Menteri Mahathir Mohamad pada Ogos.

Para perunding berkata pertemuan mereka selama dua jam memfokus kepada mewujudkan satu rangka kerja untuk melanjutkan rundingan itu. Tidak banyak kemajuan yang dicapai sejak 2015, apabila kerajaan junta Thailand mula-mula membuka rundingan yang dipelopori Malaysia dengan MARA Patani, satu panel yang mewakili beberapa kumpulan pemberontak di Selatan Thailand dan pihak lain dalam proses rundingan itu.

Pemimpin tegar Barisan Revolusi Nasional (BRN), kumpulan pemberontak paling berpengaruh, telah menjauhkan diri daripada rundingan yang membabitkan MARA Patani.

“Dialog ini akan – ada perkataan yang bagus dalam bahasa Inggeris – diremajakan, [dengan] vitaliti baharu, momentum baharu... kita boleh mencari penyelesaian,” kata Rahim Noor kepada media.

Ketika disoal BeritaBenar tempoh yang diperlukan untuk menyelesaikan konflik itu yang berlaku berdekad lamanya di wilayah sempadan selatan Thailand yang majoriti penduduknya beragama Islam dan bertutur dalam bahasa Melayu, Rahim Noor menjawab, “dalam tempoh dua tahun atau mungkin lebih awal, jika anda mempunyai penyelesaian yang tepat.”

BRN: ‘Satu kumpulan yang agak payah’

Sejak Udomchai dan Rahim Noor mengambil alih tanggungjawab baharu mereka dalam rundingan damai itu, Thailand telah melakukan usaha menerusi Rahim Noor untuk mendekati dan memujuk pemimpin BRN agar menyertai rundingan itu.

Ketika diminta mengulas isu ini oleh pemberita BeritaBenar, Rahim Noor berkata beliau memberikan jawaban “yang amat ikhlas” berhubung usahanya baru-baru ini untuk mengatur dua pertemuan antara BRN dan Udomchai.

“Kami dapati bahawa pengalaman kami menunjukkan bahawa, saya akan katakan begini kerana tiada terma lain yang lebih sesuai, pemberontak tegar ini, jika kita benar-benar memahami dan cuba memenuhi kehendak mereka, adalah kumpulan yang agar payah,” kata Rahim Noor kepada pemberita.

“Saya tidak kisah untuk beritahu anda bahawa, sebanyak dua kali kami telah aturkan satu pertemuan antara pemimpin kumpulan pemberontak tegar ini di Malaysia dengan Jeneral Udomchai, namun pada saat-saat terakhir, mereka melarikan diri – [dan] tidak dapat dikesan,” katanya. “Itu menunjukkan betapa sukarnya untuk menangani kumpulan pengganas ini.”

Isu ini timbul semasa perbincangan pada Jumaat dengan Udomchai, kata fasilitator Malaysia itu.

“Kami telah memaklumkan pihak Thailand sebentar tadi bahawa jika kita mahu tunggu sehingga kumpulan tegar ini menyertai semua kumpulan pemberontak lain, pemberontak beragama Islam di selatan, ia akan memakan masa yang begitu lama.”

Video BRN

Sementara itu pada Jumaat, BRN yang menyambut ulang tahun ke-15 selepas ditubuhkan pada Januari 2004 apabila konflik di Selatan Thailand dihidupkan semula, telah memuat naik sebuah video di Facebook.

Seorang jurucakap BRN berkata kumpulan itu bersedia untuk terus berjuang.

“Wahai penduduk Melayu Patani, jika kami masih kuat, tidak salah jika kami teruskan perjuangan sehingga kami mencapai kemenangan. Jika usaha damai oleh Siam (Thailand) adalah benar, kami akan berdamai. Namun jika usaha damai itu hanyalah untuk mengenakan kami, maka kami akan menentang,” kata jurucakap BRN Abdul Karim Khalib dalam video itu.

“Kami, BRN, sanggup mempertaruhkan nyawa kami demi melihat penduduk Melayu Patani hidup gembira dan berjaya. BRN akan berjuang habis-habisan. Jangan jadi alat Siam, jangan sokong Siam, Insya-Allah kami akan menang! Teruskan Perjuangan! Merdeka!”

Selatan Thailand bersempadan dengan Malaysia dan terdiri daripada wilayah-wilayah Pattani, Narathiwat dan Yala selain empat daerah dalam wilayah Songkhla. Hampir 7,000 orang terkorban dalam keganasan di rantau itu sejak pemberontakan meletus semula pada awal 2004 selepas tempoh damai yang lama.

Pada Tahun Baharu, Panglima Tentera Thailand Jeneral Apirat Kongsompong telah berkunjung ke Selatan Thailand seminggu selepas insiden serangan membabitkan tembakan dan pengeboman yang meragut nyawa seorang wanita berusia 59 tahun serta mencederakan lapan orang lagi. Keganasan terus berlaku apabila dua lelaki ditembak mati pada Khamis dalam kejadian berasingan di Narathiwat dan Yala.

Lihat Laman Penuh