Pemindahan Tahanan Tidak Jejas Rundingan Damai, kata Abdul Rahim Noor

Pemimpin masyarakat awam Selatan Thailand berkata, penyerahan tahanan itu telah "menimbulkan keraguan terhadap peranan Malaysia sebagai broker yang jujur di meja rundingan'.
Nani Yusof & Muzliza Mustafa
2022.01.20
Washington & Kuala Lumpur
Pemindahan Tahanan Tidak Jejas Rundingan Damai, kata Abdul Rahim Noor Seorang pegawai tentera bersama-sama pemimpin agama cuba berunding dengan pemberontak menggunakan mikrofon dan pembesar suara sebelum berlakunya pertempuran di Saiburi dalam wilayah Patani, Thailand, 20 Jan 2022
[Mariyam Ahmad/BenarNews]

Fasilitator Malaysia bagi rundingan damai pada Khamis berkata bahawa penyerahan tiga suspek pemberontak Thailand yang bersembunyi di Malaysia kepada pegawai negara itu, yang amat jarang berlaku dan merupakan pemindahan secara rasmi yang pertama berkaitan dengan pejuang pemisah dalam tempoh kira-kira 25 tahun, tidak akan menjejaskan usaha rundingan damai di antara kerajaan Thailand dan kumpulan pemberontak.

Abdul Rahim Noor berkata beliau terkejut apabila dimaklumkan mengenai penyerahan tahanan itu dan dimaklumkan bahawa pihak tentera Malaysia telah membuat tangkapan, sebelum menyerahkan mereka kepada pihak imigresen untuk pemprosesan dokumen dan dihantar pulang.

“Saya tidak tahu mengenai penahanan itu. Saya hanya mendengar tentangnya baru-baru ini. Wakil BRN juga tidak menghubungi saya untuk bertanya mengenainya, begitu juga dengan pegawai kerajaan Thailand. Ini tidak akan menjejaskan rundingan dan peranan saya sebagai fasilitator.

“Itulah yang saya dengar. Ia adalah dalam bidang kuasa Jabatan Imigresen. Jangan tanya saya tentang kerja mereka, dan mereka juga tidak perlu memaklumkannya kepada saya,” kata Abdul Rahim Noor kepada BenarNews.

BenarNews tidak dapat menghubungi BRN untuk mendapatkan komen mereka mengenai penyerahan tahanan itu.

Menurut agensi berita Malaysia, Bernama, Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Negara (MKN) Thailand Jeneral Wanlop Rugnasanoh menyangkal dakwaan bahawa tiga warganegara Thailand yang disyaki pemberontak yang diserahkan oleh kerajaan Malaysia kepada pihak berkuasa Thailand pada minggu lepas, mempunyai kaitan dengan rundingan damai yang diadakan itu.

Beliau dipetik sebagai berkata, penyerahan itu adalah hasil kerjasama ekstradisi antara kedua-dua negara dan tiada kaitan dengan dialog damai yang diadakan di Kuala Lumpur.

Ketiga-tiga suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah dan kaitan dengan kumpulan militan di selatan turut berada dalam senarai orang yang dikehendaki di Thailand, lapor Bernama.

Penyerahan rentas sempadan ketiga-tiga suspek tersebut dilakukan pada hari terakhir rundingan damai dua hari yang dikendalikan oleh Malaysia, yang melibatkan panel rundingan mewakili kerajaan Thailand dan BRN di sebuah hotel di Petaling Jaya, yang berdekatan Kuala Lumpur.

Pemberontak pemisah yang berbahasa Melayu sudah sekian lama diketahui mendapatkan perlindungan dengan merentasi sempadan ke Malaysia selepas melancarkan serangan di Thailand.

“Pemberontak melarikan diri selepas melakukan jenayah di Selatan Thailand dan bersembunyi di Malaysia, tetapi telah ditangkap oleh Divisyen Infantri Ke-6 Malaysia di laluan terlarang berhampiran Durian Burung di negeri Kedah pada 25 Disember 2021,” kata Pusat Arahan Operasi Keselamatan Dalam Negeri (ISOC) Thailand dalam satu kenyataan pada Khamis lalu.

Ragu peranan Malaysia

Sementara itu, seorang pemimpin masyarakat awam Thailand dari Selatan Thailand berkata penyerahan tiga suspek pemberontak yang sememangnya dalam senarai orang dikehendaki, telah "menimbulkan keraguan terhadap peranan Malaysia sebagai broker yang jujur... di meja rundingan."

"Negara itu berisiko menjadi tidak relevan dalam peranan yang memerlukan mereka supaya bersikap berkecuali dan tidak berat sebelah," kata Artef Sohko, presiden The Patani, sebuah kumpulan masyarakat awam yang berpejabat di Selatan Thailand, dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Artef berkata walaupun tiada siapa yang mewujudkan kaitan antara rundingan damai dan penyerahan itu, "seseorang tidak boleh menafikan hakikat bahawa masa penyerahan itu tidak menjadikan Malaysia kelihatan baik."

"Jika ada pun, ia menjejaskan kredibiliti dan kedudukan antarabangsa Malaysia," katanya.

“Dakwaan jenayah ketiga-tiga suspek masih belum jelas… Budaya bebas daripada hukuman dan pencabulan hak asasi manusia yang melampau oleh pasukan keselamatan Thailand di wilayah Patani telah didokumenkan dengan baik oleh kedua-dua organisasi hak asasi manusia tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Sumber keselamatan Malaysia yang boleh dipercayai, yang terlibat secara langsung dalam rundingan damai itu, berkata penyerahan suspek pemberontak berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan rundingan damai yang diadakan itu.

“Ia tidak sepatutnya dibaca sebagai menjejaskan proses rundingan damai,” kata sumber itu, yang enggan namanya disebut kerana tidak dibenarkan bercakap dengan media, kepada BenarNews.

“Pasukan tentera menahan tiga suspek pemberontak itu semasa operasi sempadan kerana mereka tidak mempunyai dokumen. Mereka telah diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut,” kata sumber itu, sambil memberitahu bahawa Jabatan Imigresen telah menjalankan siasatan dan merujukkan kes itu ke pejabat pendakwa raya.

“Dan arahannya ialah menghantar mereka pulang. Pengusiran adalah satu proses biasa. Mereka adalah antara lebih 30 warga Thailand tanpa izin yang dihantar pulang oleh pihak imigresen,” kata sumber itu.

"Ini bukan kerana mereka pemberontak - malah, mereka tidak mengaku sedemikian kepada pihak imigresen."

Minggu lalu, wakil pemberontak BRN Anas Abdulrahmah yang turut dikenali sebagai Hipni Mareh dan Wanlop sebagai pegawai kerajaan Thailand bersetuju untuk membentuk Kumpulan Kerja Bersama bagi mencari penyelesaian secara aman terhadap pemberontakan berdekad lamanya di Selatan Thailand, dalam rundingan damai bersemuka pertama mereka sejak hampir dua tahun yang berlangsung di Petaling Jaya, luar Kuala Lumpur itu.

Kerajaan Malaysia menjadi memudah cara dalam rundingan berkenaan bagi kedua-dua pihak dengan perbincangan meliputi langkah pengurangan keganasan, perundingan awam dan penyelesaian politik.

Selatan Thailand merangkumi wilayah Patani, Narathiwat, Yala dan empat daerah dalam wilayah Songkhla dengan gerakan pemisah bersenjata menentang kerajaan Thailand yang majoriti penduduknya beragama Buddha sejak 1960-an, dan turut mendakwa bahawa Bangkok telah mengasimilasikan Melayu Muslim secara paksa.

Tuntutan utama kumpulan gerakan pemisah yang tertumpu di sekitar wilayah selatan sejak sekian lama itu adalah mahu menuntut kemerdekaan diberikan kepada penduduk di rantau yang mempunyai majoriti penduduk Islam-Melayu di sepanjang sempadan Malaysia. Thailand menggabungkannya pada tahun 1909 sebagai sebahagian daripada perjanjian dengan Britain.

Sejak pergolakan kembali tercetus pada Januari 2004, lebih 7,000 individu telah terbunuh manakala 13,500 lagi cedera dalam siri serangan ganas di wilayah-wilayah berkenaan, menurut sebuah badan pemikir tempatan Deep South Watch.

Abdul Rahim terus jadi fasilitator

Dalam pada itu, Bernama turut melaporkan Wanlop sebagai berkata yang Malaysia telah melaksanakan peranan sebagai fasilitator dengan baik selain turut melahirkan harapan agar Abdul Rahim terus berperanan sebagai fasilitator.

Wanlop telah dilaporkan berkata, Abdul Rahim mempunyai pengetahuan yang baik mengenai kerumitan isu di wilayah berkenaan dan berazam untuk melihat konflik di selatan Thailand selesai dalam masa terdekat.

"Saya berpendapat jika beliau terus bertindak sebagai fasilitator, kita akan menyaksikan lebih banyak kemajuan," kata Wanlop kepada Bernama dalam satu sesi temubual eksklusif di pulau peranginan Phuket, Sabtu lalu.

Wanlop juga dilaporkan berkata, Abdul Rahim telah cuba sedaya upaya dalam meneruskan rundingan damai dengan memudahcara perjumpaan dalam talian sertai pelbagai saluran lain termasuk pertemuan secara bersemuka di Kuala Lumpur baru-baru ini.

"Beliau berperanan penting dalam memastikan pertemuan kedua-dua pihak berlaku," kata Wanlop lagi.

Abdul Rahim dilantik sebagai fasilitator menggantikan Ahmad Zamzamin Hashim semasa usianya 75 tahun oleh perdana menteri ketika itu Mahathir Mohamad pada Ogos 2018.

Pelantikan Abdul Rahim yang pernah berkhidmat sebagai ketua polis kelima Malaysia dari 1994 hingga 1999, dan mempunyai pengalaman sebagai ketua cawangan khas Polis DiRaja Malaysia, dibuat lebih tiga bulan selepas Mahathir mengetuai kerajaan Pakatan Harapan yang mencatatkan kemenangan besar mengalahkan gabungan Barisan Nasional (BN) yang memerintah negara itu selama 60 tahun dalam pilihan raya umum Malaysia pada 9 Mei. Kerajaan BN sebelum itu dibawah pimpinan Najib Razak.

Abdul Rahim, mungkin amat diingati sebagai perunding yang memainkan peranan sehingga Parti Komunis Malaya meletakkan senjata dan menandatangani perjanjian damai dengan kerajaan Malaysia pada 1989.

Perjanjian Damai Hat Yai - yang dinamakan sempena bandar di selatan Thailand di sepanjang sempadan dengan Malaysia – adalah sempena perundingan damai yang dipermudahkan oleh kerajaan Thailand dan menamatkan pemberontakan komunis selama 21 tahun.

Beliau juga dikenali sebagai pegawai polis tertinggi yang menumbuk Anwar Ibrahim, timbalan perdana menteri yang dipecat, dalam kes ‘insiden mata lebam’ lebih 20 tahun lalu.

Mariyam Ahmad di Pattani, Thailand turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.