Follow us

Malaysia Optimis Usaha Sambung Semula Rundingan Damai Selatan Thailand

Mariyam Ahmad & Muzliza Mustafa
Pattani, Thailand & Kuala Lumpur
2019-06-14
E-mel
Komen
Share
Fasilitator rundingan damai Selatan Thailand, Abdul Rahim Noor (dua,  kanan)  bertemu dengan Pengerusi Jawatankuasa Islam Pattani, Waedueramae Mamingji (dua, kiri) serta para pegawai lain di Pattani, Thailand, 14 Jun, 2019.
Fasilitator rundingan damai Selatan Thailand, Abdul Rahim Noor (dua, kanan) bertemu dengan Pengerusi Jawatankuasa Islam Pattani, Waedueramae Mamingji (dua, kiri) serta para pegawai lain di Pattani, Thailand, 14 Jun, 2019.
[Mariyam Ahmad/BeritaBenar]

Fasilitator Malaysia bagi proses damai untuk menamatkan pemberontakan yang berpanjangan di Selatan Thailand yakin bahawa rundingan antara kerajaan Thailand dan pemberontak Muslim dapat disambung semula dalam masa dua minggu lagi.

Abdul Rahim Noor berkata semasa lawatan pertamanya ke Selatan Thailand selepas mengambil alih peranan fasilitator pada Ogos 2018, beliau menantikan "komitmen" kerajaan Thailand, MARA Patani iaitu panel yang mewakili beberapa kumpulan bersenjata serta puak pemberontak lain.

"Sekiranya tiada halangan, rundingan damai akan diadakan dalam masa dua minggu lagi di Pulau Pinang, Malaysia,"lapor Bernama, agensi berita Malaysia, yang memetik Abdul Rahim sebagai berkata demikian semasa beliau melawat daerah Pattani yang merupakan satu daripada kawasan pemberontakan.

"Sebagai fasilitator, kami ingin mengetahui komitmen mereka (kerajaan Thailand, Majlis Syura Patani [MARA Patani] dan kumpulan bersenjata lain dalam rundingan yang akan diadakan tidak lama lagi," katanya.

Pada Jumaat, Rahim Noor mengakhiri lawatannya ke Selatan Thailand, iaitu wilayah yang bersempadan dengan Malaysia di mana kebanyakan penduduknya beragama Islam dan bertutur dalam bahasa Melayu.

Beliau mengetuai delegasi lima anggota dari Kuala Lumpur yang mengadakan lawatan empat hari untuk bertemu dengan para pegawai tentera, ahli politik, ahli akademik serta pemimpin agama dan masyarakat Thailand.

"Ini adalah isyarat baik dan komitmen ikhlas fasilitator untuk mewujudkan keamanan bagi penduduk di Selatan Thailand – perkara, yang kami percaya,  semua pihak inginkan ia berlaku," kata Lt. Jen. Pornsak Poolsawat, ketua  tentera Thailand di wilayah itu.

Pornsak bertemu dengan delegasi Malaysia itu di pejabatnya di wilayah Pattani pada Rabu untuk membincangkan bagaimana proses damai itu boleh diteruskan. Pornsak juga merupakan anggota delegasi Thailand dalam rundingan damai itu.

Delegasi Malaysia itu "bertanyakan tentang bahan-bahan dari Malaysia yang digunakan untuk membuat senjata, hubungan antara pemberontak dan prtubuhan masyarakat, serta jika adanya dana dari Barat untuk pemberontak,” kata seorang pegawai yang enggan dikenali kepada BeritaBenar. Beliau turut menghadiri mesyuarat tersebut.

Pegawai itu enggan mengulas lanjut.

Delegasi Malaysia juga bertemu dengan pemimpin-pemimpin Jawatankuasa Islam Pattani. Badan ulama itu adalah sebahagian daripada rangkaian jawatankuasa Islam wilayah yang ditubuhkan di bawah undang-undang Thailand untuk memberi nasihat kepada kerajaan Thailand  tentang isu-isu agama yang mempengaruhi minoriti Muslim Thailand selain mengurus hal ehwal Islam di peringkat tempatan.

Pegawai yang enggan dikenali itu turut menghadiri pertemuan delegasi Malaysia dan Jawatankuasa Islam Pattani.

"Tan Sri Abdul Rahim bertanya apakah jawatankuasa Islam mempunyai sebarang langkah untuk mengendalikan pemberontak jika mereka digesa ke Selatan Thailand. Pengerusi dan wakil berkenaan tidak dapat memberi makluman balas," kata sumber itu kepada BeritaBenar.

Sementara itu, dalam wawancara berasingan dengan rangkaian Thai PBS,  Rahim Noor menyuarakan harapannya agar semua pihak yang berkaitan  dalam konflik pemisah  itu "dapat memberi komitmen untuk meneruskan rundingan tersebut" serta memberitahu bahawa beliau yakin kerajaan baru di Thailand tidak akan mengganggu proses damai tersebut.

"[Saya] mungkin salah, tapi saya fikir tidak ada perubahan dalam keputusan kerajaan Thailand berhubung rundingan damai," kata Rahim Noor kepada Thai PBS.

Perbincangan antara MARA Patani, panel yang mewakili kumpulan dan puak pemberontak Selatan Thailand serta kerajaan tentera Thailand sebelum ini,  diadakan empat tahun lalu tetapi gagal mencapai sebarang kata putus dan  terhenti sejak Februari semasa MARA Patani mengumumkan bahawa ia menggantung penyertaannya dalam rundingan itu sehingga selepas pilihan raya umum Thailand diadakan pada 24 Mac.

Pada Selasa, Prayuth Chan-o-cha, bekas ketua junta dan ketua tentera yang melakukan rampasan kuasa pada Mei 2014, secara rasmi memulakan tugasnya sebagai perdana menteri yang dipilih rakyat negara itu.

MARA Patani turut diwakili kumpulan-kumpulan utama yang mengadakan pemberontakan pemisah. Barisan Revolusi Nasional (BRN) adalah kumpulan pemberontak terbesar dan paling berkuasa dalam panel itu tetapi pemimpin tegarnya enggan menyertai MARA Patani dalam perbincangan itu.

Ketika diminta mengulas mengenai prospek rundingan damai yang bakal diadakan di Pulau Pinang dalam masa dua minggu lagi, jurucakap MARA Patani Abu Hafez Al-Hakim memberitahu BeritaBenar bahawa "setakat ini, kami belum diberitahu mengenainya secara rasmi."

Kira-kira 7,000 orang terbunuh dalam keganasan di wilayah Selatan Thailand sejak pemberontakan itu tercetus 15 tahun lalu, kata Deep South Watch iaitu badan pemikir tempatan. Selatan Thailand, dengan majoriti penduduk beragama Islam, adalah bersempadan dengan Malaysia dan meliputi wilayah Pattani, Narathiwat dan Yala serta empat daerah di wilayah Songkhla

Lihat Laman Penuh