Laksamana Thailand: Rondaan Tentera Laut Gagal Kesan Bot Rohingya
2020.06.12
Kuala Lumpur & Bangkok
Tentera Laut Thailand pada Jumaat menegaskan bahawa kapalnya gagal mengesan sebuah bot yang dikatakan membawa ratusan pelarian Rohingya selepas Ketua Pengawal Pantai Malaysia mendakwa bot itu berada di kawasan perairan Thailand dan telah beberapa kali dihalang memasuki wilayah Malaysia.
Sementara itu, Human Rights Watch menggesa kedua-dua negara jiran itu menyelamatkan pelarian Rohingya yang dilaporkan berada di kawasan laut berhampiran Koh Adang, sebuah pulau di Thailand yang terletak berdekatan sempadan Malaysia dan memberikan suaka kepada mereka.
“Tentera Laut hanya mengetahui tentang bot yang membawa pelarian Rohingya berada dalam wilayah perairan Thailand dari laporan berita. Malaysia tidak menghubungi kami untuk memaklumkan mengenai kehadiran bot itu di sana,” kata jurucakap Tentera Laut Diraja Thailand Laksamana Muda Prachachart Sirisawat kepada BeritaBenar pada Jumaat.
“Kami telah menyoal unit rondaan kami namun kami tidak mengesan sebarang bot yang membawa pelarian Rohingya. Kami melakukan rondaan di wilayah kami secara berkala,” katanya.
Beliau berkata jika bot yang membawa pelarian Rohingya dikesan, pihak tentera laut “akan menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada mereka” seperti bekalan makanan, minyak dan air.
“Tentera Laut perlu memberikan bantuan asas kepada mana-mana orang yang berdepan masalah di laut, ia adalah satu prinsip sejagat. Namun ke mana sahaja mereka ingin pergi, mereka boleh berbuat demikian,” kata Prachachart.
Pada Isnin, pengawal pantai Malaysia iaitu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menunda sebuah bot rosak yang membawa 269 pelarian Rohingya ke pantai di Pulau Langkawi dan sejak itu telah menahan mereka di sana, kata para pegawai Malaysia.
Dua hari kemudian, Ketua APMM Mohd Zubil Mat Som memberitahu BeritaBenar bahawa bot yang ditunda ke Langkawi adalah antara dua bot yang belayar dari Cox’s Bazar di Bangladesh pada Februari. Kedua-dua bot telah terapung di laut selama empat bulan dan telah dibekalkan dengan makanan serta minyak oleh sindiket pemerdagangan manusia dari Myanmar dan Thailand, katanya.
Bot kedua, yang membawa kira-kira 300 orang, berada di kawasan perairan berhampiran Koh Adang, katanya kepada BeritaBenar pada Rabu.
Bot itu telah “melakukan banyak percubaan untuk memasuki perairan Malaysia sebelum ini namun gagal kerana berjaya dikesan oleh peronda kami,” kata Mohd Zubil ketika itu.
Pada Jumaat, ketua pengawal pantai itu menjawab “tiada komen” apabila dihubungi BeritaBenar sekali lagi untuk penjelasan lanjut mengenai kenyataan awalnya mengenai bot kedua itu.
Para pegawai Malaysia menunda bot pertama yang dinaiki pelarian Rohingya ke darat selepas mendapati bahawa anak kapalnya, yang dilaporkan melarikan diri, telah merosakkan enjin. Sebelum ini, pihak berkuasa Malaysia telah mengusir bot itu ke perairan antarabangsa dan tidak membenarkannya mendarat selepas Malaysia menutup sempadannya kepada kapal-kapal yang tidak mempunyai kebenaran untuk berbuat demikian susulan kebimbangan yang menyelubungi usaha membendung pandemik koronavirus.
Bangladesh, negara asal yang dilaporkan dari mana bot-bot itu berlepas, menjadi tuan rumah kepada hampir sejuta Rohingya yang melarikan diri dari negeri Rakhine di Myanmar dan berlindung di kem-kem pelarian di sekitar daerah Cox’s Bazar. Sebilangan besar Rohingya melarikan diri ke Bangladesh berikutan tindakan keras tentera di Rakhine pada Ogos 2017.
Selepas para pegawai Malaysia berkata mereka akan menghantar semula kesemua 269 pelarian Rohingya, yang tiba di Langkawi, ke Cox’s Bazar, seorang diplomat Bangladesh berkata kerajaannya tidak akan menerima mereka.
“Rohingya adalah warganegara Myanmar dan Malaysia sepatutnya menghantar mereka ke Myanmar dan bukan Bangladesh. Jika tidak, mereka (Malaysia) boleh simpan Rohingya di negara mereka sendiri,” kata Menteri Luar Bangadesh AK Abdul Momen kepada BeritaBenar. Rohingya adalah anggota kumpulan minoriti tidak bernegara di Myanmar.
Bot diarah berpatah balik
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat, Human Rights Watch menggesa Malaysia dan Thailand berusaha mengesan bot kedua yang membawa pelarian Rohingya serta memberikan perlindungan kepada mereka.
“Malaysia dan Thailand hendaklah dengan segera menyelamatkan pelarian Rohingya yang terkandas di laut serta memberikan bantuan dan akses suaka kepada mereka,” kata kumpulan pemerhati global yang berpangkalan di New York itu.
Brad Adams, Pengarah HRW di Asia berkata kerajaan negara-negara di Asia Tenggara telah “mengabaikan tanggungjawab mereka untuk melindungi pelarian Rohingya yang terdesak mencari tempat untuk berlindung dan hidup pada masa akan datang selepas tentera Myanmar mengusir mereka dari kampung halaman masing-masing dengan kekejaman secara besar-besaran.”
“Meskipun Myanmar masih kekal sebagai pihak yang bertanggungjawab atas penderitaan pelarian Rohingya, Malaysia dan Thailand harus berhenti menutup mata terhadap risiko dan penderitaan yang mereka alami ketika berada di laut,” katanya.
HRW turut meminta kedua-dua negara mengambil pendekatan yang lebih bertanggungjawab berhubung isu pelarian itu.
“Di bawah undang-undang antarabangsa, langkah-langkah kesihatan awam harus proporsional, tidak diskriminatif dan berdasarkan bukti saintifik sedia ada. Meletakkan mereka yang baru dalam tempoh pengasingan atau kuarantin mungkin sesuatu yang munasabah. Tetapi pandemik itu tidak mewajarkan satu dasar menyeluruh untuk menolak bot yang dalam kesusahan sehingga mempertaruhkan hak untuk hidup penumpangnya,” kata Human Rights Watch.
Bot itu, yang tiba di Langkawi pada 8 Jun dan membawa Rohingya, adalah yang pertama mendarat di Malaysia sejak 5 April setelah sebuah lagi bot membawa 202 Rohingya, yang diserahkan kepada pihak berkuasa imigresen, turut mendarat di pulau itu. Pihak berkuasa Malaysia telah menghalang lebih 20 bot dari memasuki negara itu secara haram sejak 1 Mei, menurut Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob.
“Dasar penolakan Malaysia turut mencabuli kewajipan antarabangsa untuk memberikan akses suaka dan tidak menghantar pulang sesiapa ke tempat di mana mereka berdepan risiko diseksa atau layanan buruk lain,” kata HRW. “Semua negara, termasuk Malaysia dan Thailand, mempunyai tanggungjawab untuk menyelamatkan bot yang dalam kesusahan, mengusahakan atau menyelaras operasi menyelamat dan memastikan pendaratan pada masa yang tepat di sebuah pelabuhan yang selamat.”
Di Geneva pada Jumaat, para pegawai di agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHCR) tidak menjawab dengan segera permintaan BeritaBenar untuk mendapatkan komen mengenai status kedua bot Rohingya.
Pada Rabu, pegawai UNHCR berkata mereka sedang berusaha untuk mendapat akses kepada etnik Rohingya di kem di Langkawi itu.
"UNHCR telah meminta akses segera untuk bertemu kumpulan itu untuk menilai keperluan perlindungan mereka dan telah menawarkan bantuan bersama-sama rakan kongsinya, kerajaan Malaysia, dengan menyediakan bantuan kemanusiaan segera dan perkhidmatan perlindungan selaras dengan piawaian antarabangsa," kata pegawai pada masa itu.