Penduduk Selatan Thailand Tidak Letakkan Harapan Besar Terhadap Rundingan Damai Minggu Depan

Mariyam Ahmad
Pattani, Thailand
2022-01-07
Share
Penduduk Selatan Thailand Tidak Letakkan Harapan Besar Terhadap Rundingan Damai Minggu Depan Seorang anggota tentera melakukan pemeriksaan kenderaan selepas suspek pemberontak membunuh seorang tentera dan mencederakan dua yang lain di Kampung La Pae di wilayah Narathiwat, Thailand, 3 Jan. 2022.
[Matahari Ismail/Benarnews]

Penduduk Selatan Thailand yang dilanda pemberontakan berkata mereka tidak mengharapkan sebarang hasil daripada rundingan damai bersemuka yang akan disambung semula buat pertama kalinya pada minggu depan setelah terhenti hampir dua tahun lalu, namun beberapa pakar berkaitan berkata ia merupakan satu langkah ke arah membina kepercayaan.

Perunding Thailand akan mengadakan pertemuan di Malaysia pada 11 hingga 12 Jan dengan pemberontak Barisan Revolusi Nasional (BRN), kumpulan pemisah paling berkuasa di Selatan Thailand yang mempunyai majoriti penduduk Islam, untuk meneruskan rundingan secara bersemuka setelah terhenti akibat penularan pandemik COVID-19.

Para penduduk Selatan Thailand berkata mereka tidak meletakkan harapan besar terhadap hasil perbincangan itu, dengan seorang bekas pemimpin BRN berkata beliau tidak percaya dengan proses itu.

“Dialog atau rundingan damai itu, dalam mana-mana istilah pun, tidak pernah mencapai sebarang kemajuan. Ia adalah satu pembaziran masa. Ia gagal sejak bertahun-tahun lalu, dan mereka terus bercakap tentang perkara lama yang sama,” katanya, yang enggan namanya disiarkan kerana bimbangkan keselamatannya, kepada BenarNews.

“Pihak tentera menjemput saya bertemu mereka semalam [Khamis], tetapi mereka langsung tidak menyentuh tentang cara untuk menyelesaikan masalah. Bagaimana kita boleh mencapai hasrat mendapatkan keamanan jangka panjang? Mereka tidak ikhlas,” katanya kepada BenarNews.

Kamjorn Awae, 36, yang berasal dari wilayah Yala, berkata beliau "tidak berminat dengan rundingan damai itu."

“Ia hanyalah satu persembahan. Pegawai sebenarnya tidak mahukan keamanan kerana keganasan boleh membawa masuk belanjawan,” katanya kepada BenarNews.

"Mereka menggunakan keganasan untuk mendapatkan belanjawan bagi apa yang dipanggil projek pembangunan, operasi rahsia dan memerangi pemberontak pemisah."

Nurman Waeyusof, seorang penduduk Patani yang berusia 19 tahun, juga tidak mengharapkan sebarang hasil daripada rundingan itu, kecuali lebih banyak keganasan yang akan berlaku menjelang pertemuan itu.

"Setiap kali mereka bersedia untuk mengadakan perbincanganceramah, lebih banyak serangan yang berlaku, dan penduduk tempatan yang lebih menderita," kata Nurman kepada BenarNews.

"Sebelum ini, saya menjangkakan keganasan itu akan berakhir tetapi sekarang nampaknya saya tidak mengharapkan apa-apa lagi," kata Nurman.

Sejak 23 Disember, apabila berita mengenai rundingan damai secara bersemuka itu tersebar, sekurang-kurangnya 15 serangan telah berlaku.

Pada Jumaat, empat renjer yang menaiki trak peronda cedera akibat letupan bom di tepi jalan di daerah Nong Chik di wilayah Patani, kata polis. Dalam kejadian berasingan, seorang pegawai kerajaan tempatan turut ditembak mati di Patani tetapi tidak jelas siapa di sebalik serangan itu.

Polis berkata ia merupakan cara untuk menunjukkan kekuatan pemberontak BRN menjelang rundingan itu.

Selatan Thailand merangkumi wilayah Patani, Narathiwat, Yala dan empat daerah wilayah Songkhla. Sejak pemberontakan tercetus semula pada Januari 2004, lebih 7,000 orang telah terbunuh dan 13,500 yang lain cedera dalam keganasan di seluruh kawasan itu, menurut Deep South Watch, sebuah badan pemikir tempatan.

Gerakan pemisah bersenjata menentang Thailand, yang majoritinya penduduknya penganut Buddha, telah bermula pada 1960-an. Tuntutan utama pergerakan itu ialah kemerdekaan bagi wilayah berkenaan ini.

Proses damai rasmi untuk menyelesaikan isu itu bermula pada 2013, tetapi ia tidak pernah menunjukkan sebarang kemajuan.

220107-TH-MY-DeepSouth02.jpg

Pihak berkuasa Thailand mengawal beg mayat Sufian Yusof, suspek pemberontak yang terbunuh di wilayah Narathiwat, Thailand, 13 Okt. 2021. [BenarNews]

Setiap pihak diwakili 7 ahli

Sementara itu, Lt. Jeneral Thira Daehwa, setiausaha Panel Rundingan Damai Thailand, berkata rundingan itu adalah satu langkah yang perlu.

"Dalam dua pertemuan yang lalu, kami berusaha membina kepercayaan bersama," kata Thira, yang juga timbalan komander Wilayah Tentera Ke-4 yang meliputi kawasan Selatan Thailand, kepada BenarNews.

“Kami berbincang di negara asing, tidak menggunakan bahasa Thai sebagai bahasa rasmi. Kami bercakap perkataan yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Jika mereka ragu-ragu tentang sebarang isu, kami berhenti sebentar dan menyambung semula perbincangan setelah mereka sudah bersedia,” katanya.

Thira berkata pihak pemberontak pernah meminta supaya pusat pemeriksaan keselamatan Selatan Thailand ditutup.

“Kami memberitahu mereka bahawa kami boleh berbuat demikian hanya setelah mereka berhenti melakukan serangan; pusat pemeriksaan bertujuan untuk menyekat perbuatan anda. Sekiranya anda tidak menyerang, tidak akan ada sebarang pusat pemeriksaan," katanya.

Beliau berkata rundingan pada minggu depan, yang diuruskan oleh Malaysia, bakal menyaksikan setiap pihak diwakili tujuh ahli. Pihak kerajaan Thailand akan diketuai oleh Jen. Wanlop Rugsanaoh iaitu ketua panel rundingan damai, katanya.

"Pihak mereka juga mempunyai tujuh ahli diketuai oleh Hipni Mareh [juga dikenali sebagai Anas Abdulrahman]," kata Thira sambil memberitahu bahawa pemerhati bebas juga akan menghadiri rundingan itu.

Kali terakhir pegawai Thailand dan wakil BRN bertemu secara maya ialah pada Februari 2021 manakala perbincangan bersemuka terakhir – dengan dua pertemuan - berlangsung di Kuala Lumpur pada Mac 2020, sekitar masa bermulanya penularan pandemik koronavirus yang pertama di Malaysia.

220107-TH-MY-DeepSouth03.jpg

Lt. Jeneral Thira Daehwa (kiri), timbalan komander Wilayah Tentera Ke-4, bergambar dengan seorang imam (tengah) semasa satu majlis keagamaan di wilayah Yala, Thailand, 13 Nov. 2021. [BenarNews]

'Rundingan damai adalah proses yang panjang'

Laporan baru-baru ini memetik sumber kerajaan sebagai berkata bahawa BRN telah mengemukakan cadangan gencatan senjata pada Mei lalu.

Penyelidik Rungrawee Chalermsripinyorat, yang berpejabat di Selatan Thailand, merupakan pengarang laporan Counter Terrorist Trends and Analysis yang diterbitkan minggu ini oleh S. Rajaratnam School of International Studies di Singapura.

Beliau berkata terdapat tiga komponen utama yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak: "Mengurangkan keganasan, mencari penyelesaian politik atau pentadbiran, dan memasukkan pelbagai pihak berkepentingan dalam rundingan damai itu."

"Rundingan damai adalah proses yang panjang, jadi seseorang tidak seharusnya mengharapkan apa-apa hasil ketara daripada pertemuan pertama," kata Rungrawee, seorang pensyarah di Universiti Prince of Songkla.

"Ia berkemungkinan menjadi mesyuarat persediaan untuk beberapa lagi pusingan perbincangan yang akan datang."

Dalam laporan itu, beliau berkata bahawa BRN telah mencadangkan penubuhan autonomi "Patani Darussalam" dengan penduduk Patani mempunyai hak untuk membentuk sistem pendidikan dan ekonomi mereka. Di samping itu, bahasa dan identiti Melayu masyarakat itu perlu diiktiraf dan dipelihara secara rasmi.

Rungrawee berkata BRN bersedia membincangkan pelbagai bentuk penyelesaian politik dan pentadbiran.

"Saya berpendapat bahawa anggota kanan BRN cukup realistik, dan mereka sanggup berunding untuk penyelesaian politik bagi mendapatkan kemerdekaan," katanya.

"Tetapi mereka tidak akan sekali-kali mengumumkan bahawa BRN akam melepaskan desakan bagi mendapatkan kemerdekaan."

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh