Satu Lagi Kumpulan Pemberontak Mahu Dilibatkan Dalam Rundingan Damai Selatan Thailand

Mariyam Ahmad, Muzliza Mustafa & Nisha David
2022.06.24
Pattani, Thailand, & Kuala Lumpur
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
Satu Lagi Kumpulan Pemberontak Mahu Dilibatkan Dalam Rundingan Damai Selatan Thailand Pegawai pasukan keselamatan Thailand memeriksa lokasi serangan bom selepas beberapa individu yang disyaki anggota kumpulan pemisah menyasarkan sebuah pejabat pentadbiran di Pattani, Thailand, 20 Jun 2022.
[BenarNews]

Ketua kumpulan pemberontak Selatan Thailand, PULO, menyatakan bahawa beliau sudah menghubungi panel rundingan damai kerajaan Thailand untuk meminta supaya dilibatkan dalam perbincangan berkenaan pada masa akan datang, manakala satu lagi kumpulan pemberontak utama yang terlibat dalam rundingan itu berkata bahawa ia terbuka untuk menerima kehadiran kumpulan lain.

Barisan Revolusi Nasional (BRN), kumpulan militan terbesar di wilayah bergolak itu, memulakan rundingan langsung dengan kerajaan pada 2020 dan mencapai persetujuan gencatan senjata selama 40 hari pada Ramadan tahun ini.

Gencatan senjata itu bagaimanapun musnah apabila Pertubuhan Pembebasan Bersatu Patani (PULO) mengaku bertanggungjawab bagi serangan berkembar pada April lalu. Ketua kumpulan itu telah menyatakan bahawa mereka kecewa kerana diketepikan daripada rundingan damai dengan kerajaan dan meminta supaya mereka dilibatkan.

Pada minggu ini, ketua PULO Kasturi Mahkota berkata bahawa kumpulannya "mungkin menyertai rundingan damai dengan kerajaan Thailand."

"Saya telah berhubung dengan perunding dari pihak kerajaan melalui saluran dalam talian pada Isnin. Kita mungkin bertemu dalam rundingan damai tidak lama lagi," kata Kasturi kepada BenarNews, namun tidak mengulas lebih lanjut.

Susulan daripada kejadian letupan bom di wilayah Patani pada April lalu, yang menyebabkan seorang penduduk kampung terbunuh manakala tiga anggota skuad bom polis cedera, Kasturi berkata kumpulan mereka tidak akan menyertai rundingan sekiranya kerajaan mengadakan perbincangan dalam kerangka perlembagaan Thailand.

"Berkenaan perlembagaan Thailand, kami okay mengenainya tetapi ia tidak boleh digunakan sebagai syarat dalam rundingan damai," kata beliau kepada BenarNews pada Jumaat. "Manusia mempunyai hak untuk memilih perlembagaan mereka."

Awal minggu ini, komander tentera Thailand yang bertanggungjawab ke atas wilayah Selatan, mengulangi jemputan terbuka kepada semua kumpulan pemisah supaya menyertai perbincangan itu.

"Saya melihat isu ini seperti berikut. Untuk menyertai proses rundingan damai, [Kasturi] boleh masuk dengan BRN secara terus atau di bawah satu kumpulan penaung, seperti MARA Patani yang terlibat dalam fasa rundingan sebelum ini," kata Leftenan Jeneral Kriangkrai Srirak, komander Wilayah Tentera Ke-4 kepada wartawan.

"Bagaimana hendak mengaturkannya? Beliau boleh berhubung dengan ketua Panel Rundingan Damai Thailand. Jeneral Wanlop akan dengar dan berikan respon supaya kedua belah pihak boleh bertemu.

Jeneral Wanlop Rugsanoah, yang mengetuai delegasi Thailand serta timbalannya, tidak memberikan sebarang respon kepada permintaan BenarNews untuk mendapatkan komennya.

Sementara itu, Abdul Rahim Noor memberitahu BenarNews pada Khamis bahawa tidak ada seorang pun yang memaklumkan beliau mengenai hasrat PULO untuk menyertai rundingan damai.

Abdul Rahim, yang merupakan fasilitator Malaysia yang mengendalikan rundingan damai di antara kerajaan Thailand dan kumpulan pemisah, berkata beliau juga tidak menjangkakan dirinya akan dihubungi.

Sekiranya PULO atau mana-mana kumpulan lain mahu terlibat, "mereka perlu memaklumkan secara terus kepada kerajaan Thailand, dan bukannya saya atau Malaysia," kata beliau. "Itu sahaja."

Sebelum ini, Wanlop dan Noor pernah menyatakan bahawa sesi rundingan damai yang seterusnya akan diadakan sekitar Julai ini.

PULO, BRN

PULO dan BRN adalah dua kumpulan pejuang pemisah tertua yang bergerak di kawasan bersempadan dengan Malaysia. Ia merangkumi tiga wilayah iaitu Patani, Narathiwat dan Yala serta empat daerah di wilayah Songkhla. Kawasan yang majoriti penduduknya beragama Islam dan bertutur bahasa Melayu itu telah termasuk dalam negara Thailand pada 1909 sebagai sebahagian daripada perjanjian dengan British.

Ditubuhkan pada 1968, PULO sebelum ini dikira sebagai kumpulan yang paling berpengaruh dalam perang melawan negara Thailand, yang majoriti penduduknya beragama Buddha sehinggalah pada tahun 1990-an sebelum ia menjadi dorman selama beberapa tahun.

Sebelum kejadian bom pada April lalu, serangan terakhir kumpulan tersebut ialah pada 2016. Sumber tentera menjangkakan bahawa PULO mempunyai lebih 100 orang anggota.

Sejak perjuangan pemisah Selatan Thailand bermula kembali pada Januari 2004, BRN yang ditubuhkan pada 1963, telah muncul sebagai kumpulan bersenjata paling bahaya di Selatan Thailand.

Kasturi merupakan seorang wakil dalam panel rundingan MARA Patani yang memulakan rundingan dengan kerajaan Thailand pada 2015, yang turut diselaraskan oleh Malaysia. Selain itu, panel rundingan tersebut juga melibatkan wakil dari BRN, dua kumpulan pecahan PULO, serta dua lagi kumpulan pemisah.

Ketua perunding BRN, Anas Abdulrahman, berkata kumpulan mereka tidak mempunyai bantahan terhadap PULO menyertai rundingan damai itu, yang diadakan berdasarkan kerangka Inisiatif Berlin 2019 yang menetapkan bahawa pihak berkepentingan boleh memilih dua orang wakil untuk berada dengan panel rundingan.

"BRN akan terus menjadi perunding utama," kata Anas pada Rabu. Beliau berkata wakil daripada kumpulan lain boleh menyuarakan apa yang mereka mahu ketika sesi perbincangan teknikal dan menyertai panel rundingan dengan kerajaan Thailand.

“Tetapi, jika mereka mahu turut serta, mereka perlu menghormati etika dan prosedur BRN," katanya tanpa mengulas lanjut.

Kepimpinan PULO tidak memberikan maklum balas kepada soalan BenarNews sama ada mereka akan mengikut syarat BRN dalam rundingan.

Jurucakap MARA Patani Abu Hafez berkata kumpulannya juga mahu turut serta apabila rundingan damai membincangkan isu penting.

"Pada ketika ini, perbincangan masih di peringkat membina keyakinan," katanya kepada BenarNews pada Jumaat. "Dalam fasa ini, BRN adalah satu-satunya entiti yang akan berbincang dengan pegawai Thailand."

'Perkembangan baik'

Seorang penganalisis politik Thailand berkata, penglibatan kumpulan lain dalam rundingan adalah satu langkah positif bagi menambah suara berbeza, namun beliau memberi amaran bahawa keupayaan ketenteraan sesebuah kumpulan tidak seharusnya menjadi satu-satunya faktor yang menentukan kuasa rundingan.

"Ini adalah satu perkembangan baik apabila ketua panel dialog BRN berpegang kepada komitmen mereka terhadap prinsip keterangkuman," kata Rungrawee Chalermsripinyorat, yang merupakan seorang pensyarah di Institut Kajian Keamanan Universiti Prince of Songkla, kepada BenarNews.

Menurutnya keterbukaan itu menunjukkan bahawa hubungan tegang antara BRN dan kumpulan lain sejak sekian lama telah mula beransur reda, yang bermakna mereka berkemungkinan bersatu dalam menjadi suara kepada komuniti Selatan Thailand.

"Proses rundingan tidak sepatutnya menjadi perbincangan antara kerajaan Thailand dan BRN sahaja. Pemilihan kumpulan pemisah untuk dibawa ke meja rundingan tidak sepatutnya hanya berdasarkan keupayaan ketenteraan mereka," kata Rungrawee pada Khamis.

"Dalam jangka masa panjang, bukan sahaja proses rundingan perlu melibatkan kumpulan pemisah lain dalam rundingan formal, tetapi perlu juga memasukkan mekanisme yang akan membolehkan lebih ramai pemegang taruh lain melibatkan diri dan didengar," kata beliau.

Rungrawee juga menggesa supaya semua penduduk Selatan Thailand dilibatkan dalam usaha rundingan damai.

"Sementara Melayu Muslim adalah minoriti di Thailand, mereka pula adalah majoriti di Selatan Thailand. Proses rundingan damai mesti mendengar suara minoriti di kawasan itu, seperti mereka yang beragama Buddha dan dari [etnik] China," katanya.

"Ia juga penting untuk penduduk di kawasan lain di Thailand mendapat lebih kefahaman dan menyokong rundingan ini sekiranya ia mahu berjaya."

Pada Khamis, ketua Majlis Keselamatan Negara Thailand Jeneral Supoj Malaniyom berkata agensi itu sedang menyiapkan butiran satu pelan baharu bagi tempoh 2023 hingga 2027, dengan matlamat untuk menamatkan konflik. Beliau berkata butiran pelan itu akan didedahkan kepada umum selepas ia mendapat kelulusan kabinet.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh