Follow us

Ketua Peruding MARA Patani Undur Diri Daripada Rundingan Damai Selatan Thailand

Staf BeritaBenar
Washington
2019-05-17
E-mel
Komen
Share
Pasukan pertahanan awam sedang mengawasi pelajar-pelajar Muslim yang mengambil bahagian dalam perhimpunan anti-keganasan di wilayah Narathiwat, selatan Thailand, 22 Jan, 2019.
Pasukan pertahanan awam sedang mengawasi pelajar-pelajar Muslim yang mengambil bahagian dalam perhimpunan anti-keganasan di wilayah Narathiwat, selatan Thailand, 22 Jan, 2019.
[AFP]

Rundingan damai Selatan Thailand nampaknya terpaksa diteruskan tanpa seorang daripada perunding utama MARA Patani berikutan keputusannya pada Jumaat untuk mengundur diri daripada dialog itu.

Shukri Hari menyiarkan sepucuk surat ringkas bagi mengumumkan hasratnya meletak jawatan daripada rundingan damai yang telah pun tertangguh itu.

MARA Patani adalah kumpulan induk yang mewakili gerakan dan puak pemberontak pemisah Selatan Thailand dalam rundingan damai dengan kerajaan Thailand, yang diusahakan oleh Malaysia sejak 2015.

Surat itu, yang disiarkan sepenuhnya oleh stesen televisyen Thai PBS, tidak menyatakan alasan bagi peletakan jawatannya itu.

Berikut kandungan surat tersebut:

“Yang Berhormat Ustaz Awang Jebat, Ketua Majlis Syura Patani

Hal: Letak Jawatan Sebagai Ketua Delegasi Rundingan Dialog Damai Majlis Syura Patani.

Assalamualaikum warrahmatullahiwabarakatuh

Berhubung dengan hal di atas adalah seperti berikut:

Sejak Majlis Syura Patani ditubuh, telah memberi amanah dan kepercayaan kepada saya: Ustaz Shukri Hari selaku ketua delegasi rundingan dialog damai bagi pihak majlis syura patani dengan pihak kerajaan Thai bagi mencari penyelesaian konflik yang berkekalan di Pattani, saya percaya saya telah melaksanakan tugas dengan baik, Alhamdulillah.

Dengan demikian itu, saya akan meletakkan jawatan tersebut yang berkuatkuasa pada Rabu, 17 Ramadhan 1440, Hari Nuzul Al-Quran, bersamaan 22 Mei 2019.

Sekian Terima kasih, wasalam.”

Majlis Syura Patani adalah nama lain bagi MARA Patani, dan  "Patani" itu adalah perkataan Melayu yang digunakan oleh pemisah selatan Thai bagi merujuk kepada wilayah Selatan Thai yang didiami penduduk beragama Islam dan berbahasa Melayu.

Ketika dihubungi lewat Jumaat untuk mengesahkan berita itu, jurucakap MARA Patani, Abu Hafez Al-Hakim, berkata beliau baru sahaja mengetahui tentang surat Shukri.

Beliau berkata ini bukanlah kali pertama bagi Shukri, yang dipercayai berusia 53 tahun, menyuarakan hasratnya untuk meninggalkan meja rundingan damai itu.

"Beliau menyatakan hasratnya untuk meletakkan jawatan atas alasan kesihatan beberapa bulan lalu," kata Abu Hafez kepada BeritaBenar.

Jurucakap itu berkata MARA Patani akan menunggu sehingga selepas sambutan Aidilfitri pada Jun ini untuk menamakan pengganti Shukri.

Perpecahan dalam MARA Patani


"Dua tahun lepas, Ustaz Ahmad Chuwo menggantikannya selama beberapa bulan kerana faktor kesihatan," kata Abu Hafez.

Peletakan jawatan Shukri mungkin disebabkan perkara lain selain daripada kesihatannya, menurut penolong profesor Srisompob Jitpiromsri, yang mengetuai Deep South Watch, sebuah badan pemikir yang berpusat di wilayah sempadan Selatan Thailand.

“Ia mungkin disebabkan oleh perpcahan dalaman MARA. Pasukan rundingan damai MARA dan kerajaan Thailand tidak sependapat, jadi, itu mungkin alasan bagi peletakan jawatannya,” kata Srisompob kepada BeritaBenar.

Sementara itu, sumber keselamatan di Selatan Thailand yang tidak mahu dinamakan, berkata isu dalaman pasukan MARA Patani mungkin menjadi sebabnya.

“Kami tahu bahawa anggota MARA mempunyai pemikiran berbeza dan tidak boleh bekerjasama," kata sumber itu kepada BeritaBenar. "Shukri mungkin tidak lagi mahu berdepan perkara itu dan memutuskan untuk meletakkan jawatan.”

Surat Shukri turut mengejutkan fasilitator Malaysia, Abdul Rahim Noor, yang dilantik oleh kerajaan baru Malaysia pada Ogos 2018.

"Saya tidak tahu mengenai peletakan jawatannya. Saya tidak dimaklumkan, "kata Rahim Noor kepada BeritaBenar.

Dialog ditangguhkan

Rundingan damai ditangguhkan berikutan kegagalan satu mesyuarat pada Februari lalu.

Usaha Rahim Noor untuk menganjurkan pertemuan pengenalan antara kedua-dua pihak rundingan itu gagal apabila ketua perunding kerajaan Thailand yang baru dilantik tidak menghadirinya.

Ketua perunding Thailand, Udomchai Thammasarorat, yang dilantik menyandang jawatan itu pada akhir 2018, mendakwa beliau tidak mahu menghadiri mesyuarat tersebut yang digambarkannya sebagai pertemuan tahap teknikal sahaja.

Rahim Noor memberitahu BeritaBenar pada ketika itu bahawa beliau terkejut dengan "perangai pelik" Udomchai, sambil memberitahu bahawa perunding dari kedua-dua pihak sudah pun tiba di Kuala Lumpur untuk mesyuarat pengenalan tersebut. Udomchai memberitahu fasilitator Malaysia itu bahawa beliau hanya akan bertemu dengan Shukri sahaja walaupun semua anggota perunding lain hadir, dan beliau pulang ke Thailand pada keesokannya.

Berikutan pembatalan mesyuarat itu, Shukri menyiarkan sebuah video bagi mengumumkan bahawa rundingan damai itu ditangguhkan sehingga selepas pilihan raya umum Thailand yang dijadualkan tamat pada penghujung Mac dan kerajaan baru dilantik.

Awal bulan ini, Suruhanjaya Pilihan Raya Thailand mengumumkan keputusan akhir pilihan raya bagi dewan perwakilan dan kerajaan mengumumkan nama 250 senator yang dijangka memilih perdana menteri baru pada 27 Mei. Perdana Menteri Prayuth Chan-o-cha, yang mengambil alih pentadbiran kerajaan pada 2014 selepas mengetuai rampasan kuasa tentera, merupakan calon utama untuk jawatan tertinggi itu.

MARA Patani turut diwakili Barisan Revolusi Nasional (BRN), kumpulan terbesar dan paling kuat dalam kalangan pemberontak selatan, tetapi pemimpin tegarnya enggan menyertai rundingan damai itu.

Selatan Thailand terletak bersempadan dengan Malaysia dan meliputi wilayah Patani, Narathiwat dan Yala serta empat daerah di wilayah Songkhla. Hampir 7,000 orang telah terbunuh dalam keganasan di wilayah itu sejak pemberontakan tercetus kembali pada awal 2004.

Mariyam Ahmad di Pattani, Thailand, dan Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.



Lihat Laman Penuh