Tak Bai: Mahkamah Thailand benar tuntutan saman terhadap tujuh pegawai tinggi keselamatan
2024.08.23
Narathiwat dan Bangkok
Sebuah mahkamah di Selatan Thailand telah membenarkan tuntutan saman yang difailkan terhadap tujuh pegawai tinggi berhubung kematian 85 penunjuk perasaan beragama Islam semasa tindakan keras pihak berkuasa hampir dua dekad lalu, dalam apa yang dikatakan aktivis hak asasi sebagai kes bersejarah.
Mahkamah Wilayah Narathiwat pada Jumaat memerintahkan tujuh defendan termasuk bekas pegawai kanan tentera dan polis hadir untuk meneliti keterangan pada 12 September.
Kes itu difailkan pada 25 April lepas, oleh 48 saudara penunjuk perasaan yang terbunuh atau cedera akibat tembakan di hadapan balai polis Tak Bai dan semasa tahanan diangkut ke Kem Ingkhayutthaborihan, pada 25 Oktober 2004 di daerah yang terletak di wilayah Narathiwat dan bersempadan dengan negeri Kelantan.
Mahkamah Wilayah Narathiwat telah menjalankan perbicaraan awal terhadap sembilan defendan sejak 24 Jun lalu dengan mahkamah pada Jumaat memerintahkan untuk meneruskan kes terhadap tujuh defendan sambil menolak pertuduhan terhadap dua yang lain.
“Kes jenayah yang difailkan oleh waris mangsa dan mereka yang cedera daripada insiden Tak Bai terhadap pegawai negeri yang terlibat dalam tindakan keras 25 Oktober 2004, telah diterima oleh mahkamah atas tuduhan termasuk pembunuhan kolektif, cubaan membunuh dan penahanan yang menyalahi undang-undang,” kata kenyataan mahkamah itu.
Tuntutan itu diterima hanya 63 hari sebelum tempoh luput, menurut peguam yang mewakili plaintif.
"Kes ini bersejarah kerana ia merupakan kali pertama pegawai tinggi negeri dihadapkan ke mahkamah membabitkan kes tindakan terhadap tunjuk perasaan,” kata Pornpen Khongkachonkiet, pengarah Cross-Cultural Foundation kepada BenarNews.
Defendan termasuk Jeneral Pisarn Wattanawongkiri, 74, bekas komander Wilayah Tentera Ke-4 yang kini menjadi Ahli Parlimen Parti Pheu Thai dan Jeneral Sinchai Nusatit, 76, bekas komander Divisyen Infantri ke-5.
Turut disenaraikan sebagai defendan ialah Pol. Jeneral Wongkot Maneerin, 73, bekas pengarah Perintah Hadapan Polis Diraja Thai; Pol. Lt. Jen. Manoch Kraiwong, 77, bekas komander Wilayah Polis Wilayah 9; Pol. Mejar Jeneral Suksommai Puttakul, 70, bekas ketua balai polis daerah Tak Bai; Siwa Saengmanee, 78, bekas timbalan pengarah Komando Pembangunan Keamanan Wilayah Sempadan Selatan dan Wichom Thongsong, 78, bekas gabenor wilayah Narathiwat
Plaintif menuduh pegawai keselamatan membunuh, cubaan membunuh dan penahanan yang menyalahi undang-undang berkaitan dengan kematian penunjuk perasaan yang sesak nafas selepas dilonggokkan secara bertindih ke dalam trak tentera.
Ratsada Manuratsada, seorang peguam bagi plaintif berkata keputusan mahkamah untuk menerima kes itu adalah memuaskan.
“Kita mesti berterima kasih kepada panel hakim yang menjalankan siasatan dan mengarahkan pendakwaan,” katanya.
Tujuh penunjuk perasaan terbunuh di tempat kejadian manakala 78 yang lain mati lemas selepas disusun secara bertindih dalam trak untuk diangkut ke kem tentera.
Ratsada Manuratsada (tengah), seorang peguam yang mewakili plaintif kes Tak Bai bercakap kepada wartawan selepas mendengar perintah mahkamah untuk meneruskan kes terhadap tujuh pegawai di Mahkamah Wilayah Narathiwat, Thailand, 23 Ogos 2024. [Yostorn Triyos/BenarNews]
Keadilan yang ditunggu
Fareedah Toh-leh, 72, yang kehilangan anak lelakinya dalam kejadian 2004 itu menjelaskan dorongan di sebalik tuntutan mahkamah itu adalah mahu keadilan ditegakkan.
"Kami mengambil keputusan untuk memfailkan tuntutan mahkamah kerana ingin tahu sama ada masih ada keadilan di Thailand atau sebaliknya. Kami juga mahu defendan mengakui bahawa bahawa apa yang mereka lakukan adalah salah," katanya kepada BenarNews.
Kes itu telah menarik perhatian kepada konflik yang telah lama berpanjangan di Selatan Thailand, wilayah yang majoriti penduduknya beragama Islam dan berbahasa Melayu di mana lebih 7,000 orang telah terbunuh sejak 2004 dalam keganasan membabitkan pasukan keselamatan dan pemisah, menurut Deep South Watch, sebuah badan pemerhati hak asasi manusia.
Abdulqahar Awaeputeh, pengarah Pusat Peguam Muslim berkata prosiding pendengaran kes itu nanti cukup penting terutamanya melibatkan kehadiran defendan ke mahkamah.
"Jika defendan hadir di mahkamah pada 12 September dan memberi keterangan, ia akan dianggap sebagai permulaan baharu bagi statut had masa lupus kes. Sekiranya mereka tidak hadir, waran tangkap mesti dikeluarkan,” katanya.
Dalam kes ini, jika defendan hadir di mahkamah seperti yang dijadualkan pada 12 September, statut had tidak akan luput walaupun prosiding melebihi 63 hari.
Bagaimanapun, jika defendan meminta penangguhan atas apa-apa sebab atau gagal hadir ke mahkamah, walaupun waran tangkap telah dikeluarkan, kes itu akan mencapai had lupus 20 tahun selepas 63 hari. Ini bermakna kes jenayah tersebut tidak boleh didakwa lagi.
"Kami mahu semua individu yang berkaitan, baik defendan mahupun agensi, memudahkan keadilan dalam kes ini dengan bekerjasama kepada mahkamah pada 12 September. Ini akan membantu masyarakat Thai bergerak ke arah menjadi sebuah masyarakat di mana undang-undang dikuatkuasakan secara sama rata tanpa diskriminasi terhadap pegawai negeri," kata Pornpen.
Penerimaan kes ini menandakan titik perubahan yang berpotensi dalam pendekatan Thailand terhadap akauntabiliti bagi keganasan tajaan kerajaan.
Insiden sebelumnya, seperti tindakan keras pada Oktober 1973 dan 1976 dan penyuraian protes 2010, tidak menyebabkan pegawai berpangkat tinggi berdepan dengan perbicaraan.
"Kes ini akan menjadi pintu pertama yang membawa Thailand ke arah menamatkan budaya bebas daripada hukuman bagi pegawai negeri," tambah Pornpen.
Insiden Tak Bai berlaku pada 2004, apabila penunjuk perasaan berkumpul di balai polis tempatan bagi menuntut pembebasan enam sukarelawan keselamatan kampung.
Keadaan bertambah buruk apabila pihak berkuasa menyuraikan orang ramai secara paksa, mengakibatkan tujuh maut di tempat kejadian.
Dalam satu kejadian yang menyedihkan, 78 lagi orang mati lemas ketika diangkut ke kem tentera dengan diikat dan disusun dalam trak. Ramai yang lain cedera, hilang upaya atau hilang selepas itu.
Meskipun kejadian itu teruk, prosiding undang-undang telah menghasilkan sedikit akauntabiliti.
Pada 2009, mahkamah memutuskan bahawa kematian berlaku semasa operasi yang sah oleh pegawai manakala rayuan oleh keluarga mangsa pada 2012 telah ditolak, menyebabkan tiada pegawai yang bertanggungjawab atas kematian tersebut.
Bagaimanapun, pada 2013, kerajaan meluluskan pampasan berjumlah 641.45 juta Baht (AS$17.3 juta) untuk keluarga mereka yang terbunuh dan cedera dalam insiden Tak Bai.
Ketika mahkamah bersiap sedia untuk perbicaraan pada September, tumpuan peguam bela hak asasi manusia dan masyarakat antarabangsa akan berada di Thailand, memerhati sama ada kes ini mungkin menjadi contoh baharu untuk akauntabiliti kepada kerajaan negara itu.