Dua dekad sudah berlalu, keluarga mangsa Insiden Tak Bai masih berjuang tuntut keadilan

Kesemua plaintif dari selatan Thailand itu menuntut agar pertuduhan jenayah dikenakan terhadap sembilan pegawai kerajaan termasuk tiga jeneral berhubung insiden pembunuhan beramai-ramai pada 2004.
Mariyam Ahmad
2024.04.26
Narathiwat, Thailand
Dua dekad sudah berlalu, keluarga mangsa Insiden Tak Bai masih berjuang tuntut keadilan
[Ihsan Yayasan Cross Cultural]

Setelah hampir dua dekad berlalu selepas Insiden Tak Bai di mana lebih 80 orang terkorban di kawasan sempadan wilayah selatan Thailand yang dilanda krisis sehingga mengakibatkan pemberontakan, keluarga mangsa akhirnya memfailkan saman pada Khamis terhadap para pegawai kerajaan yang didakwa terlibat dalam tragedi yang meragut banyak nyawa itu.

Seramai 48 plaintif, yang diiringi sekumpulan peguam, tiba di Mahkamah Wilayah Narathiwat bagi menuntut keadilan berhubung insiden pada 25 Okt 2004 itu yang meragut 85 nyawa serta mencederakan 49 lagi sebelum statut limitasi 20 tahun dalam kes itu luput.

Insiden itu masih dianggap sebagai tragedi maut paling menggemparkan di selatan Thailand yang merupakan kawasan majoriti penduduk Melayu beragama Islam di mana pemberontakan telah dicetuskan semula oleh puak pemisah pada Januari 2004. Tujuh puluh lapan daripada 85 mangsa telah meninggal dunia akibat sesak nafas selepas dihumban ke dalam penjara dalam keadaan tangan terikat dan bertindih seperti kayu balak.

Jehamiah Hayee Mayeng, yang kehilangan anak lelakinya yang berumur 19 tahun, adalah seorang daripada plaintif yang berhimpun di Mahkamah Narathiwat.

“Kami memfailkan tuntutan agar pertuduhan serius dikenakan terhadap pelaku bagi pembunuhan yang disengajakan. Ia terjumlah kepada pembunuhan yang sudah dirancang. Meskipun tiada niat secara langsung, kita boleh melihat bahawa tindakan yang dilambil dalam insiden ini boleh membawa kepada kematian sekali gus memenuhi kriteria berhubung perkara itu di sisi undang-undang,” kata Jehamiah kepada BenarNews.

Saman itu, yang difailkan terhadap sembilan pegawai tentera, polis dan kerajaan, membabitkan plaintif 1 hingga 34 yang mewakili tiga individu yang maut susulan kecederaan akibat tembakan di balai polis atau hospital manakala 31 lagi meninggal dunia dalam perjalanan akibat pengangkutan yang dilakukan secara kejam. Plaintif ke-35 hingga 48 pula adalah mangsa yang terselamat dalam insiden itu dan mengalami kecederaan ringan.

Antara sembilan pegawai itu adalah dua jeneral tentera dan seorang jeneral polis.

Para plaintif diwakili peguam daripada Yayasan Cross-Cultural, Pusat Peguam Muslim dan Pusat Rekonsiliasi Perundangan Wilayah Sempadan Selatan Thailand.

Meskipun Mahkamah Wilayah Songkhla telah menjalankan inkues bagi menyiasat kematian mangsa, pegawai penyiasat tidak memanjangkan kes itu untuk pendakwaan, kata Abdulqahar Awaeputeh, Pengarah Pusat Peguam Muslim.

“Sudah hampir 20 tahun dan kami juga berasa khuatir berhubung bukti namun semuanya telah direkodkan. Selepas insiden itu, beberapa jawatankuasa semakan fakta diwujudkan dan mereka yang terlibat telah diminta memberikan penjelasan yang menjadi sebahagian daripada bukti bagi kes ini,” kata Abdulqahar kepada BenarNews.

25-TH-tak-bai2.jpg
Keluarga mangsa Insiden Tak Bai berhimpun di luar Mahkamah Wilayah Narathiwat di Thailand sebelum memfailkan aduan jenayah bagi pihak 85 individu yang terbunuh dan 49 yang cedera dalam insiden pada tahun 2004, 25 April 2024. [Mariyam Ahmad/BenarNews]

“Kami telah mengumpul jejak bukti berhubung insiden yang mempunyai kaitan dengan tindakan pegawai terbabit daripada pelbagai media sosial, yang boleh dikenal pasti. Apa yang lebih penting, mangsa yang cedera masih hidup dan mereka boleh memberikan penjelasan. Kami percaya bukti itu cukup penting untuk dipertimbang oleh mahkamah,” katanya.

Para plaintif menuntut agar pertuduhan pembunuhan dikenakan bagi tindakan menyeksa mangsa dengan kejam, ugutan yang mendatangkan ketakutan untuk membahayakan nyawa, badan dan kebebasan, penahanan atau pemenjaraan yang menyalahi undang-undang dan salah laku dalam kalangan pegawai kerajaan difailkan terhadap kesemua sembilan pegawai terbabit.

Mahkamah Wilayah Narathiwat menerima aduan itu dan menjadualkan pemeriksaan awal terhadap kesemua sembilan defendan pada 24 Jun.

Pada 2019 yang merupakan ulang tahun ke-15 insiden itu, ahli keluarga mengumumkan bahawa mereka tidak akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang bertanggungjawab. Ketika itu, seorang daripada mangsa yang terselamat iaitu Yaena Salaemae memaklum BenarNews bahawa beliau dan yang lain mempunyai tempoh selamat lima tahun lagi sebelum statut limitasi dalam kes itu luput.

“Semua orang bersetuju untuk mengakhirinya kerana kami tidak mempunyai sumber untuk menentang negara," kata Yaena ketika upacara memperingati yang dihadiri oleh kira-kira 100 orang di Wilayah Narathiwat.

Dikunjungi oleh penggubal undang-undang

Pada 10 Mac, waris mangsa Insiden Tak Bai telah menyerahkan satu petisyen kepada Chaturon Chaisang, Pengerusi Jawatankuasa Khas mengenai Keamanan di Wilayah Sempadan Selatan Thailand di Parlimen, meminta agar siasatan dilakukan berhubung dakwaan intimidasi yang dilakukan oleh pegawai berpakaian biasa. Mereka berkata individu terbabit yang mendakwa sebagai pegawai polis berpakaian biasa telah mendekati mereka bagi membincangkan pampasan sehingga menyebabkan distres yang ketara.

Tiga hari selepas itu, Pusat Peguam Muslim membangkitkan kebimbangannya mengenai isu itu kepada Jawatankuasa Parlimen mengenai Hal Ehwal Perundangan, Keadilan dan Hak Asasi Manusia, menggesa mereka agar menyiasat insiden tersebut.

Susulan itu, jawatankuasa berkenaan telah memanggil pegawai yang terbabit dalam siasatan yang mendakwa fail inkues telah menyatakan bahawa pegawai penyiasat kes itu merumuskan bahawa para pelaku tidak dapat dikenal pasti. Jawatankuasa itu juga tidak dapat menentukan status potensi kes jenayah yang dikaitkan dengan insiden itu.

“Kes ini akan menguji keupayaan badan kehakiman Thailand dalam menyelesaikan konflik secara bebas dan profesional dengan membongkarkan kebenaran pada perbicaraan kes di mahkamah. Selain itu, penerimaan mahkamah terhadap kes ini adalah penting bagi proses damai bagi menangani konflik yang berlanjutan sejak sekian lama dan mengekalkan kedaulatan undang-undang di Thailand,” kata Pornpen Khongkachonkiet, Pengarah Yayasan Cross-Cultural.

Insiden Tak Bai

Pada 25 Okt 2004, penduduk berhimpun di depan balai polis Tak Bai bagi mendesak pembebasan enam ahli jawatankuasa kampung yang telah ditahan polis atas dakwaan menyeleweng harta awam dan memfailkan aduan palsu selepas senapang patah milik kerajaan dalam simpanan mereka hilang.

Pihak berkuasa menggunakan kekerasan bagi menyuraikan mereka sehingga menyebabkan kematian enam tahanan terbabit. Berpuluh-puluh penunjuk perasaan kemudian dibawa ke Kem Ingkhayutthaborihan di Nong Chik, Pattani, kira-kira 150 km (93 batu) dari Tak Bai. Para pegawai polis telah memaksa kesemua tahanan membuka pakaian mereka dan mengikat tangan serta meletakkan mereka dalam keadaan bertindih dalam sebuah trak GMC yang menyebabkan 79 lagi kematian. Yang lain cedera termasuk beberapa orang yang cacat atau hilang.

Pada Mei 2009, Mahkamah Wilayah Songkhla memutuskan bahawa kematian mangsa adalah disebabkan oleh sesak nafas semasa tahanan oleh para pegawai yang bertugas.

Pada Jun 2012, waris mangsa telah merayu agar keputusan siasatan kematian itu diketepikan namun ditolak oleh mahkamah. Sehingga hari ini, tiada pegawai yang terlibat dalam insiden itu diminta bertanggungjawab.

Bagaimanapun, kerajaan Thailand pada 2013 telah meluluskan pampasan bagi Insiden Tak Bai yang berjumlah 641.45 juta baht (AS$17.3 juta) kepada mereka yang terbunuh dan cedera.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.