Wang Kelian: Malaysia dakwa warga Thailand dengan pertuduhan penyeludupan manusia
2023.06.23
Kangar, Perlis & Bangkok
Sebuah mahkamah Malaysia pada Jumaat mendakwa empat warga Thailand atas pertuduhan pemerdagangan dan penyeludupan migran dari Myanmar sehari selepas Thailand buat pertama kali mengekstradisi rakyatnya untuk membuktikan kesungguhan negara itu membanteras penyeludupan manusia.
Kesemua warga Thailand itu dibawa ke Mahkamah Sesyen Kangar di Perlis untuk didakwa di hadapan Hakim Musyiri Peet berhubung kes penemuan lebih 100 kubur mangsa penyeludupan manusia etnik Rohingya dan Bangladesh di sempadan Malaysia-Thailand pada 2015.
Arun Kaeofainok, 30, Jepha Lapi-E, 51, Somphon A-dam, 51, dan Amree Nesalaeh, 58, yang tidak diwakili peguam, telah didakwa di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Arun, Jepha dan Somphon didakwa melakukan perbuatan itu ke atas warga Myanmar, Mohd Belal di antara Ogos 2014 hingga 10 Mac 2015 di Bukit Wang Burma, Wang Kelian dalam daerah Padang Besar di Perlis.
Amree pula didakwa melakukan perbuatan itu ke atas seorang lagi warga Myanmar, Zedul Islam di antara bulan Februari dan April 2013 di lokasi sama.
Semua tertuduh mengangguk faham apabila pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Thai oleh jurubahasa mahkamah. Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan.
Pendakwaan dikendali oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Asyraf Md Kamal, V.V. Suloshini dan Lee Jun Keong.
Pada prosiding itu, Muhammad Asyraf memaklumkan bahawa pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan kepada kesemua tertuduh memandangkan kes itu tidak boleh dijamin mengikut Seksyen 13 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012.
Beliau turut memaklumkan bahawa pihak pendakwaan akan memohon untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi Kangar.
"Mahkamah menetapkan 25 Julai depan untuk sebutan semula kes," kata Hakim Musyiri.
Keempat-empat warga Thailand telah diektradisi ke Malaysia pada tengah hari Khamis dan berlepas dari Bangkok dengan penerbangan khas milik angkatan tentera selepas rundingan selama dua tahun.
Dalam pada itu di Bangkok pada Jumaat, Timbalan Ketua Polis Thailand Jeneral Surachate Hakparn berkata tindakan menghantar keempat-empat suspek ke Malaysia merupakan proses ekstradisi bersejarah bagi negara itu.
Beliau berkata buat julung kalinya, pihak berkuasa Thailand telah bertindak mengekstradisi rakyatnya untuk berdepan pertuduhan jenayah di negara asing tetapi langkah itu dilakukan kerana kes pemerdagangan dan penyeludupan manusia adalah jenayah yang serius.
“Kerjasama ini akan membuktikan kepada dunia bahawa kita memandang serius pemerdagangan manusia dan bersedia untuk memerangi sebarang bentuk jenayah rentas sempadan bermula detik ini melalui jaringan antarabangsa yang utuh di antara pihak berkuasa nasional seperti hari ini,” katanya kepada media di Bangkok.
Malaysia pada 2017 telah memohon untuk mengekstradisi 10 suspek dari Thailand tetapi Bangkok menyatakan seorang daripada mereka berasal dari Bangladesh.
“Sembilan suspek yang dikehendaki Malaysia didapati terlibat dalam aktiviti pemerdagangan manusia,” kata Surachate.
“Mangsa mencari peluang yang lebih baik dalam kehidupan tetapi mereka telah ditipu, dipaksa, ditahan dalam hutan dan akhirnya dibunuh.”
Surachate berkata hanya seorang atau dua baki suspek masih menjalani hukuman penjara di Thailand manakala yang lain telah meninggal dunia. Beliau bagaimanapun tidak memberikan butiran lanjut mengenai perkara itu.
"Apabila mereka selesai menjalani hukuman, kami akan menghantar mereka ke Perlis (di Malaysia)," katanya.
Polis Thailand mengawal empat warganegaranya yang akan diekstradisi ke Malaysia berhubung penemuan kubur cetek mangsa pemerdagangan dan penyeludupan manusia pada 2015, di Bangkok, 22 Jun 2023. [Ihsan Polis Diraja Thailand]
Di Perlis, Timbalan Ketua Polis Negeri Baderulhisham Baharudin memberitahu media selepas prosiding mahkamah bahawa seorang lagi suspek warga Thailand dalam kes Wang Kelian telah ditahan di Johor tahun lepas dan didakwa pada April lalu atas pertuduhan menyeludup manusia.
Suchat Tohdin, 34, yang merupakan peniaga gerai makanan, telah didakwa menyeludup warga Myanmar antara Ogos 2014 dan Mac 2015 di Bukit Wang Burma, Wang Kelian. Perbicaraan kes itu masih berjalan, kata Baderulhisham.
Pada Januari 2015, pihak berkuasa Malaysia menemukan 139 kubur besar dan 28 kem transit di kawasan berbukit sepanjang sempadan negara dan Thailand, di Bukit Wang Burma, Wang Kelian namun hanya bertindak mengeluarkan kesemua mayat empat bulan selepas itu.
Lebih 100 rangka manusia, dipercayai milik individu etnik minoriti Muslim Rohingya dari Myanmar, ditemukan di dalam kubur terbabit manakala bakinya dipercayai milik warga Bangladesh yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.
Tiada rakyat Malaysia yang didakwa berhubung penemuan kubur besar pada 2015 itu. Hanya empat warga asing telah disabitkan dan dihukum penjara bagi kesalahan itu.
Bagaimanapun di Thailand, pihak pendakwaan telah mengheret 102 orang yang dikaitkan dengan 32 kubur yang ditemukan di sempadannya pada Mei 2015 ke mahkamah. Daripada 62 individu yang disabitkan kesalahan, seorang adalah jeneral tiga bintang dan beliau telah meninggal dunia ketika menjalani hukuman penjara 82 tahun.
Iskandar Zulkarnian di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.