Keganasan di Selatan Thailand Catat Rekod Paling Rendah pada 2017

Mariyam Ahmad
2017.12.27
Pattani, Thailand
171227-my-th-deepsouth.jpg Seorang anggota tentera Thailand memeriksa lokasi kejadian pengeboman di tepi jalan di Thung Yang Daeng, sebuah daerah di selatan wilayah Pattani yang bergolak, 19 Jun 2017.
[Mariyam Ahmad/BeritaBenar]

Keganasan akibat pemberontakan di Selatan Thailand menurun ke paras paling rendah dalam sejarah pada 2017, kata penganalisis, meskipun rundingan damai gagal menarik pembabitan semua pihak dan menghasilkan gencatan senjata yang sekian lama ditunggu-tunggu.

Insiden berkaitan pemberontakan berada di tahap paling rendah selepas konflik berdekad lamanya dengan puak pemisah di wilayah selatan yang majoriti penduduknya beragama Islam dan bertutur dalam Bahasa Melayu tercetus pada 2004, menurut Deep South Watch, sebuah badan pemikir yang berpangkalan di wilayah Pattani.

“Permulaan rundingan pada 2013 merupakan titik penting bagi keganasan di Selatan Thailand. Secara amnya, keganasan merosot dan ia memberi manfaat kepada rakyat,” kata Profesor Srisompob Jitpiromsri, yang mengetuai badan pemikir itu kepada BeritaBenar.

Beliau merujuk kepada rundingan damai dengan pemberontak yang bermula empat tahun lepas di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri ketika itu, Yingluck Shinawatra. Pada 2015, sebuah kerajaan yang dipimpin tentera menggulingkan Yingluck dalam satu rampasan kuasa , telah memulakan perbincangan bagi meneroka kemungkinan perdamaian dengan sebuah kumpulan baharu, MARA Patani, sebuah panel yang mendakwa memayungi pelbagai kumpulan dan puak pemberontak dalam rundingan yang dipelopori Malaysia.

Sejak 2004, hampir 7,000 orang terbunuh dan lebih 13,000 cedera dalam keganasan berkaitan pemberontakan di wilayah yang dikawal ketat oleh tentera, menurut Deep South Watch.

Bagaimanapun keganasan semakin berkurangan sejak 2013, katanya.
Tahun ini, sejumlah 235 orang terbunuh manakala 356 lagi cedera dalam 545 insiden di seluruh pelusuk Selatan Thailand, berbanding jumlah yang korban tinggi iaitu 892 orang manakala 1,681 lagi cedera pada 2007.

Statistik 2017 tidak termasuk serangan dua suspek pemberontak yang membunuh seorang anggota tentera dan mencederakan enam lagi pada Selasa di Narathiwat, sebuah lagi wilayah di selatan Thailand.

“Sejak dua tahun lepas, kami tidak dapat melakukan banyak keganasan kerana banyak sebab. Tentera ada di mana-mana, di kampong dan sebagainya,” kata seorang anggota Barisan Revolusi Nasional (BRN), kumpulan pemberontak terbesar dan paling berkuasa di Selatan Thailand kepada BeritaBenar.

“Bagaimanapun terdapat arahan untuk melakukan serangan, dan ada kalanya kami gagal,” kata pemberontak itu yang enggan namanya disiarkan.

Zachary Abuza, seorang pakar dalam pemberontakan di Selatan Thailand yang berpangkalan di Amerika Syarikat, berkata kemerosotan keganasan adalah berikutan penambahan bilangan pusat pemeriksaan tentera dan perubahan taktik oleh BRN, yang mengalami perubahan kepimpinan berikutan kematian dua pengasasnya pada 2017.

“Keganasan berkurangan kerana pemberontak melihat tiada keperluan untuk berbuat demikian. Mereka telah mengusir penganut Buddha dari kawasan selatan yang besar itu,” tulis Abuza baru-baru ini dalam satu ruangan untuk BeritaBenar.

“Pemberontak BRN di selatan Thailand telah menunjukkan bahawa mereka mampu melakukan keganasan jika mahu,” katanya.

Perseteruan

Sementara itu, persoalan yang bermain di fikiran sepanjang 2017 ialah sama ada MARA Patani benar-benar mewakili semua kumpulan pemberontak di Selatan Thailand dan sama ada BRN terlibat dalam proses damai ketika ini.

Abu Hafiz Al-Hakim, seorang jurucakap MARA Patani yang berpangkalan di Malaysia, menegaskan dalam satu temu bual dengan BeritaBenar bahawa tahun ini, panel itu mewakili BRN kerana pemimpin BRN menduduki tiga kerusi dalam MARA.

Pada April, dalam satu kenyataan yang jarang dikeluarkan, BRN mengkritik rundingan ketika itu antara Thailand dan MARA, serta mendakwa panel berkenaan tidak benar-benar mewakili kumpulan tersebut. BRN mendesak diberikan peranan langsung dalam satu rundingan baharu yang akan dipelopori anggota komuniti antarabangsa yang “tidak memihak”.

Don Pathan, seorang penyumbang BeritaBenar dan pakar keselamatan yang berpangkalan di selatan Thailand, berkata sumber telah memaklumkan beliau pada September bahawa terdapat “perseteruan antara BRN dan MARA Pattani, dan perkara berkenaan mengambil masa untuk ditangani.”

Srisompob, pengarah Deep South Watch, berkata beberapa rundingan damai yang berbeza, termasuk dengan pemimpin BRN, boleh dimulakan pada bila-bila masa tahun depan di Arab Saudi.

“Kami menerima laporan bahawa kumpulan serpihan BRN, Doonloh Wae-mano, ingin menyertai rundingan. Saya dengar ia bakal berlangsung di Arab Saudi, bukan Malaysia. Itu satu trend yang bagus,” kata Srisompob kepada BeritaBenar.

Kemajuan Apa?


Meskipun terdapat pengurangan dalam keganasan, pemberontak melancarkan beberapa serangan maut pada 2017, dan penduduk tempatan berkata mereka masih hidup dalam ketakutan terhadap BRN.

Kumpulan itu dipercayai telah mencetuskan banyak keganasan pada 2017, termasuk tiga serangan hendap berasingan di tepi jalan pada bulan April dan Jun yang setiap satunya membunuh enam anggota tentera.

Keganasan tahun ini menyasarkan orang awam. Pada 10 Mei, dua bom kereta meletup di luar Big C, sebuah pusat membeli-belah di bandar Pattani, mencederakan sekurang-kurangnya 69 orang. Meskipun BRN tidak mengaku bertanggungjawab melakukan serangan itu, seorang penyokongnya memberitahu BeritaBenar bahawa kumpulan pemberontak itulah yang melancarkan pengeboman berganda tersebut.

Antara orang awam yang terbunuh tahun ini adalah saudara “Dah,” seorang penoreh getah di wilayah Yala.

Wanita itu telah ditembak mati di rumahnya, kata Dah kepada BeritaBenar.

“Saya dan anggota keluarga mengesyaki pemberontak BRN yang telah membunuh saudara kami ini. Kami tidak tahu jika mangsa telah melakukan sesuatu kepada mereka atau sebaliknya sehingga menyebabkan dia dibunuh. Keluarga kami kini amat takut,” kata Dah.

Memberikan alasan bimbangkan keselamatan dirinya dan terdapat laporan bahawa anggota militan muda BRN telah menyusup masuk ke kampungnya, Dah meminta BeritaBenar menggunakan hanya nama samaran beliau.

Dah turut melahirkan keraguan berhubung rundingan damai pada 2017.

“Kerajaan telah menyatakan bahawa rundingan damai itu mencapai kemajuan, tetapi bagaimana? Mereka tidak mampu menjelaskan bagaimana dan mengapa orang ramai terus terbunuh,” kata Dah.

‘Zon selamat’ yang sukar digapai

Pada 2017, delegasi penuh mewakili MARA Patani dan kerajaan Thailand bertemu sebanyak dua kali di Kuala Lumpur – sekali pada Februari dan sekali lagi pada September. Perbincangan mereka menyentuh tentang pelaksanaan sebuah “zon selamat,” atau gencatan senjata terhad, di sebuah daerah yang belum dinamakan di Selatan Thailand.

Namun, setelah hampir setahun kedua-dua pihak bersetuju pada Februari terhadap satu kerangka bagi perdamaian sedemikian, tiada sebarang gencatan senjata telah berlaku.

Menurut seorang anggota keselamatan Thailand, gencatan senjata itu telah ditangguhkan kerana perwakilan MARA meminta imuniti daripada pihak pendakwaan bagi membolehkan mereka melakukan perjalanan ke Selatan Thailand bagi memantau pelaksanaan zon selamat, dan isu ini belum diselesaikan.

Memasuki tahun 2018, perunding Thailand akan membawa sebuah pelan komprehensif untuk sebuah zon selamat pada pertemuan seterusnya dengan MARA Patani, kata Mejar Jeneral Sithi Trakulwong, setiausaha delegasi Thailand kepada BeritaBenar.

Pelan itu termasuk sebuah rumah keselamatan di mana anggota kedua-dua pihak boleh bertemu dalam keadaan selamat, katanya.

“Rumah Keselamatan merupakan satu koordinasi pejabat di mana wakil setiap kumpulan, pegawai kerajaan Thailand dan masyarakat sivil tempatan akan bekerjasama untuk menangani penduduk tempatan bagi mendengar pandangan mereka berkaitan apa zon selamat patut ada,” kata Sithi.

Selepas itu, beliau berkata ia mungkin mengambil masa tiga bulan lagi untuk melaksanakan gencatan senjata terhad.

Srisompob dari Deep South Watch berkata beliau optimistik tentang proses damai dan pertemuan di ‘rumah keselamatan’ dijangka berlangsung bulan depan.

“Rundingan damai akan lebih dirasai memandangkan zon selamat sedang disusun atur.”

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.