Kumpulan Hak Asasi: Thailand Seksa Suspek Pejuang Pembebasan

Nasueroh
2016.02.10
160210-my-th-report620 Yayasan Silang Budaya, Kumpulan Duay Jai dan Pertubuhan Hak Asasi Manusia Patani mengeluarkan laporan mengenai penyeksaan di Selatan Thailand, 10 Februari 2016.
BeritaBenar

Sekumpulan pertubuhan hak asasi manusia menuduh pegawai-pegawai Thailand melakukan penyeksaan sistemik terhadap suspek pejuang pembebasan yang dipenjarakan di Selatan Thailand, dan menggesa kerajaan tentera untuk bekerjasama dengan mereka bagi menghentikan penganiayaan itu.

Tuduhan itu dibangkitkan dalam satu laporan baru yang dikeluarkan bersama pada Rabu oleh Yayasan Silang Budaya (KPIK),  Kumpulan Duay Jai (Sokongan Kuat) dan Pertubuhan Hak Asasi Manusia Patani (HAP).

Kumpulan-kumpulan itu mengeluarkan laporan itu pada  satu seminar di  Prince of Songkla University di Pattani, sebuah wilayah di Selatan Thailand.

Pegawai-pegawai kerajaan mencabar hasil laporan itu.

Ketiga-tiga organisasi itu mendapat tahu bahawa dakwaan kes penyeksaan itu berlaku sejak 2004 hingga akhir 2015, dan menggesa kerajaan menggunakan hasil laporan itu untuk membetulkan sebarang salah laku, kata Pornpen Kongkajornkiat, pengarah Yayasan Silang Budaya.

"Kami mahu bersama-sama dengan kerajaan untuk membantu menyelesaikan masalah tersebut. Kami mahu kerajaan menubuhkan sebuah jawatankuasa berwibawa yang boleh kita boleh percaya untuk bersama-sama menyelesaikan masalah ini, " kata Pornpen kepada BeritaBenar.

"Kami tidak menuduh semua pegawai, tetapi kami percaya ada beberapa pegawai yang terus menggunakan penyeksaan. Tidak semua pegawai," kata beliau.

Somchai Hom-la-tor, yang merupakan pengarah satu daripada kumpulan penyokong hak asasi terbesar di Thailand, Yayasan Hak Asasi dan Pembangunan Manusia, juga menyokong gesaan oleh tiga badan bukan kerajaan itu.

Beliau mengingatkan bahawa, jika dibiarkan, penyeksaan itu boleh melemahkan usaha-usaha untuk menamatkan pemberontakan di selatan Thailand secara aman.

"Kita mahu semua pegawai-pegawai keselamatan yang terlibat dengan penangkapan, penahanan dan penyiasatan terhadap individu yang disyaki supaya menghentikan penyeksaan itu dengan serta merta. Kerajaan perlu menghukum orang yang melakukan salah laku, memberi keadilan kepada mangsa dan keluarga mereka, jika tidak, ia akan menjejaskan dengan teruk usaha-usaha untuk menyelesaikan masalah di Selatan Thailand, "kata Somchai dalam satu kenyataan akhbar.

Seorang timbalan jurucakap Perintah Operasi Keselamatan (ISOC) Wilayah 4 di Patani menganggap laporan setebal 49 muka surat itu sebagai  tidak tepat.

"Saya mengesahkan bahawa pegawai-pegawai tidak pernah menyeksa suspek yang ditahan. Pegawai-pegawai mematuhi undang-undang dengan ketat, "kata Kolonel Yutthanam Phetmuang kepada BeritaBenar melalui telefon.

Dakwaan penyeksaan


Laporan oleh tiga organisasi hak asasi manusia itu dibuat berdasarkan kepada akuan 54 orang suspek pejuang pembebasan yang berumur di antara 19 dan 48 tahun yang ditahan pihak tentera.

Undang-undang tentera, yang berkuat kuasa di seluruh kawasan yang ditenterakan di Selatan Thailand, membolehkan penahanan selama tujuh hari di kem tentera, manakala perintah darurat membolehkan penahanan tujuh hari di mana-mana tempat khas. Dengan kebenaran mahkamah, pegawai boleh menahan orang yang disyaki sehingga 30 hari.

"Walaupun undang-undang memberikan kuasa khas kepada pihak berkuasa untuk menyekat kebebasan orang dalam keadaan tertentu, namun tidak ada undang-undang sama ada tempatan dan antarabangsa yang memberi kuasa kepada pihak berkuasa untuk melakukan penyeksaan atau kekejaman, perbuatan tidak berperikemanusiaan atau menjatuhkan maruah dan hukuman," kata laporan itu.

Menurut laporan itu, semua tahanan adalah anak tempatan dari wilayah penduduk Islam dan bertutur Bahasa Melayu itu. Ia juga memperincikan kes penyeksaan yang berlaku apabila suspek ditahan, dan semasa suspek sedang dibawa dengan kenderaan dan ketika disoal.

Tahanan dinafikan peluang untuk berbincang dengan saudara mara atau peguam, mereka tidak dibenarkan diikat jamin, mempunyai lawatan keluarga terhad atau dikurung di tempat-tempat rahsia, kata laporan itu.

"Tahanan di bawah undang-undang khas  melalui proses siasatan yang dijalankan oleh pegawai-pegawai yang menyoal mereka sama ada mereka melakukan keganasan atau terlibat dengan mana-mana kumpulan pejuang pembebasan," kata laporan itu, yang mendakwa penyeksaan dilakukan bagi mendapatkan pengakuan daripada suspek.

Laporan itu menjurus kepada tiga kaedah penyeksaan - psikologi, fizikal dan perbuatan tidak berperikemanusiaan.

Penyeksaan fizikal termasuk merendamkan tahanan di dalam air,  penyeksaan air China - di mana air sejuk dan panas dituangkan ke dahi atau bahagian tubuh yang lain – diseksa menggunakan elektrik dan serangan seksual.

"Semasa mereka menyoal saya, mereka juga menyerang saya dengan menendang, menampar dan menumbuk. Tiga daripada tujuh pegawai membawa saya ke sebuah kolam ikan di Laman Pasukan Khas, kemudian mereka merendamkan saya di dalam kolam, " kata seorang tahanan yang mengimbau  kejadian pada Februari 2007.

CrCF berkata, lima tahanan mati semasa dalam tahanan sejak 2007. Bagaimanapun, kes terbaharu membabitkan kematian Abdullayi Dorloh, 42,  pada 4 Disember 2015, tidak menunjukkan sebarang tanda bahawa dia telah dipukul, menurut seorang doktor forensik di Prince of Songkla University.

Prayuth: Thailand bangunkan teknologi mengesan pelaku

Sejak 2004, lebih daripada 6,500 orang telah terbunuh dan hampir 12,000 cedera dalam lebih 15,000 insiden keganasan yang dikaitkan dengan konflik di wilayah sempadan Selatan Thailand.

Statistik itu memberi nama buruk kepada Thailand,  kata Perdana Menteri Prayuth Chan-o-cha pada mesyuarat ISOC di Bangkok pada Rabu.

"Apabila saya bertemu dengan rakan-rakan sejawatan asing di luar negara, mereka percaya Thailand mempunyai pengganas dan paling berisiko dengan serangan keganasan di ASEAN (Persatuan Negara-negara Asia Tenggara)," katanya.

Prayuth berkata serangan pemberontak hanya berlaku di Selatan Thailand.

Sejak 10 negara anggota blok serantau itu membentuk zon Kerjasama Ekonomi ASEAN untuk membolehkan lebih banyak kebebasan bergerak, beliau berkata kerajaan Thai telah membangunkan teknologi yang mencukupi, termasuk kamera, untuk mengelakkan orang yang disyaki terlibat dalam keganasan daripada menyeberangi sempadan.

"Berwaspadalah dengan ekstremis," kata beliau sambil menambah, "Saya tidak mahu Thailand menjadi sebahagian daripada mana-mana konflik. Kita mahu negara kita bebas, untuk membuat pilihan kita sendiri atau apa yang kita lakukan, tetapi masih mematuhi  kewajipan  antarabangsa.

"Jangan fikir negara kita selamat, kerana tidak ada negara yang selamat," katanya

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.