Serangan Akhiri Gencatan Senjata Ramadan di Selatan Thailand

Mariyam Ahmad, Matahari Ismail, Nisha David & Muzliza Mustafa
2022.05.26
Pattani, Narathiwat di Thailand, dan Kuala Lumpur
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
Serangan Akhiri Gencatan Senjata Ramadan di Selatan Thailand Pegawai tentera Thai memeriksa sebuah kereta yang dibakar dalam satu serangan ke atas stesen polis marin di daerah Tak Bai di Narathiwat, Thailand, 26 Mei 2022.
[BenarNews]

KEMASKINI pada 10 pagi waktu tempatan ETS - 2022-05-27

Satu serangan bersenjata berlaku di sebuah stesen polis di Tak Bai, Narathiwat pada Rabu oleh 10 penyerang bersenjatakan senapang automatik dan bom tangan hingga mencederakan tiga anggota pasukan keselamatan Thailand, kata polis berhubung kejadian lewat malam itu yang sekali gus mengakhiri keamanan di wilayah Selatan Thailand sejak kegiatan ganas di wilayah itu dihentikan sementara pada Ramadan lepas.

Setakat ini, belum ada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab melakukan serangan tersebut manakala polis pada Khamis menyatakan bahawa ia mungkin dilakukan oleh kumpulan penyeludup atau pemberontak yang diketepikan daripada rundingan damai yang disertai kerajaan Thailand dan Barisan Revolusi Nasional (BRN) iaitu kumpulan pemisah terbesar di wilayah Selatan Thailand.

Dalam kejadian itu, yang terburuk sejak gencatan senjata 40 hari dicapai bersama BRN pada Ramadan lalu, penyerang bersenjata melemparkan bom tangan dan melepaskan tembakan ke arah sebuah pejabat kastam dan kedai runcit selain menyerang balai polis marin yang terletak di sebelah Sungai Kolok.

"Tiga anggota cedera dalam kejadian berbalas tembakan itu," kata ketua polis daerah Tak Bai, Kolonel Polis Narawi Binwae-arong kepada wartawan di luar balai polis yang diseraang itu pada Khamis.

Mereka yang cedera berada dalam keadaan stabil, katanya.

Belum ada kumpulan atau individu yang mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu setakat ini, katanya dan memberitahu bahawa penyerang menyasarkan empat premis dalam serangan terancang itu.

"Berdasarkan siasatan awal dan maklumat saksi, penyerang dibahagi kepada...kumpulan, dengan satu memasuki stesen polis marin sebelum melempar bom paip dan menggunakan senapang M16 untuk menembak ke arah anggota keselamatan yang berada di dalam, manakala satu lagi kumpulan menunggu di luar untuk melakukan tembakan perlindungan kepada rakan mereka selain menghalang bantuan tambahan anggota pasukan keselamatan," kata beliau.

Beberapa kumpulan lain pula menyerang Pejabat Kastam Tak Bai dan meletupkan bom buatan sendiri di sebuah kedai serbaneka berhampiran kira-kira lima minit selepas itu, kata Narawi.

Sebelum melaksanakan serangan tersebut, kumpulan berkenaan telah menumbangkan enam batang tiang elektrik yang terletak di sepanjang jalan di kawasan itu serta menaburkan paku di atas jalan dengan tujuan membocorkan tayar kenderaan yang melalui jalan berkenaan.

"Pihak berkuasa sedang menyiasat kes ini, memeriksa kamera keselamatan untuk mengumpul bukti dan mengeluarkan waran tangkap," kata pegawai itu.

Beberapa kenderaan yang musnah terbakar akibat letupan bom tangan masih berada di dalam kawasan premis polis itu pada Khamis. Masih tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab ke atas serangan sehingga kini.

Penyerang mungkin 'pengendali perniagaan haram'

"Serangan malam tadi agak mengejutkan. Ia mengambil masa untuk dianalisis," kata Mejar Jeneral Pramote Prom-in, timbalan pengarah pusat arahan ketenteraan wilayah ISOC-4, ketika ditemui pemberita semasa memeriksa lokasi serangan.

"Kami [sedang melihat] dua faktor: sama da ia dilakukan oleh kumpulan pemisah yang tidak bersetuju dengan rundingan damai atau [mereka] yang diketepikan daripada rundingan itu."

Pramote berkata pihak berkuasa bagaimanapun percaya ia mungkin dilakukan oleh "pengendali perniagaan haram" yang telah "dihapuskan kami" dari "April hingga Mei" lepas. Beliau merujuk kepada kumpulan yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan barangan di sempadan, terutama membabitkan dadah.

Serangan tersebut adalah yang pertama berlaku sejak gencatan senjata Ramadan, yang dirundingkan melalui Malaysia dan berakhir pada 14 Mei. Phak berkuasa merekodkan lima kejadian ganas dalam tempoh ia berkuat kuasa tetapi kebanyakan daripadanya disahkan tidak mempunyai kaitan dengan aktiviti pemberontakan.

Empat daripada kejadian yang direkodkan itu didapati berkaitan dengan perbalahan peribadi atau ketagihan dadah, manakala hanya satu dilakukan oleh satu lagi kumpulan pemberontak di Selatan Thailand iaitu Pertubuhan Pembebasan Bersatu Patani (PULO). Pemimpin PULO mengaku bahawa kumpulan tersebut bertanggungjawab ke atas serangan di bulan Ramadan itu kerana ia telah diketepikan daripada rundingan damai dan menuntut supaya dilibatkan dalam proses berkenaan.

Pemimpin PULO bagaimanapun menafikan bahawa kumpulan berkenaan bertanggungjawab ke atas serangan pada Rabu.

"Serangan malam tadi tidak ada kaitan dengan rundingan damai... PULO tidak ada kaitan dengan kejadian malam tadi," kata pemimpin PULO Kasturi Mahkota kepada BenarNews pada Khamis.

Rahim Noor, koordinator rundingan damai Malaysia, juga menyatakan bahawa kejadian pada Rabu itu tidak akan mempunyai kesan kepada rundingan.

"Kita tidak tahu siapa yang melakukannya dan kenapa mereka berbuat demikian. Kejadian ini tidak akan mengganggu siri rundingan yang seterusnya. Ini pendapat saya," kata Noor kepada BenarNews ketika dihubungi melalui telefon pada Khamis.

BenarNews cuba menghubungi BRN bagi mendapatkan komen namun tidak dibalas.

Di bawah Inisiatif Keamanan Bulan Ramadan, kumpulan pemisah BRN dan pasukan keselamatan Thai telah bersetuju untuk menghentikan kegiatan permusuhan di sepanjang bulan umat Islam berpuasa itu sehingga ke pertengahan Mei. Satu lagi persetujuan tambahan, yang merupakan kali pertama dicapai antara kedua belah pihak, adalah kebenaran untuk pemberontak yang tidak bersenjata melawat keluarga mereka sepanjang tempoh tersebut.

Inisiatif itu telah dipersetujui dalam rundingan bersemuka antara wakil kerajaan Thailand dan BRN yang diusahakan oleh Malaysia di sebuah hotel di Kuala Lumpur antara 31 Mac dan 1 April lepas.

Selatan Thailand meliputi wilayah Pattani, Narathiwat dan Yala serta empat daerah dalam wilayah Songkhla, di mana majoriti penduduknya adalah orang Melayu Islam yang tinggal di kawasan sempadan tersebut. Sejak pemberontakan tercetus semula pada Januari 2004, lebih 7,000 orang telah terbunuh manakala 13,500 lagi cedera dalam serangan ganas, menurut badan pemikir tempatan Deep South Watch.

Gerakan pemisah bersenjata menentang Thailand yang majoriti penduduknya beragama Buddha sejak 1960-an lagi. Tuntutan utama mereka ialah supaya wilayah Selatan Thailand diberikan kemerdekaan.

Satu proses rundingan damai secara rasmi bermula pada 2013 untuk mencari penyelesaian terhadap masalah itu, namun tiada sebarang kemajuan dilaporkan.

'Ada kepentingan'

Leftenan Jeneral Nanthadech Yoinual, komander biro polis wilayah ke-9 di Selatan Thailand, berkata adalah penting untuk memahami bahawa "para penyerang telah mengeluarkan klip video serangan tersebut untuk mempromosi keganasan di Selatan Thailand bagi menunjukkan kewujudan dan kebolehan mereka."

"Secara realitinya, keamanan dicapai dalam 50 ke 60 hari. Tetapi satu kumpulan kecil pemberontak tidak mahukan sebarang keamanan di wilayah ini kerana mereka ada kepentingan sendiri. Hanya segelintir sahaja yang mahukan keganasan."

"Terdapat pelbagai kemungkinan dari segi motif di sebalik kejadian ini, sama ada disebabkan oleh tangkapan terhadap puluhan anggota kumpulan dadah, atau sindiket penyeludupan manusia ke Malaysia. Kami tidak menolak sebarang kemungkinan," kata Nanthadech.

Seorang penganalisis politik juga menyatakan bahawa serangan pada Rabu adalah satu cubaan untuk menunjukkan kekuatan.

"Serangan malam tadi adalah untuk menunjukkan kewujudan kumpulan pemisah," kata Srisompob Jitpiromsri, yang mengetuai Deep South Watch, kumpulan pemikir di Pattani.

"Siapa sebenarnya mereka ini? Kita perlu menunggu pihak berkuasa untuk memastikannya. Kesabaran diperlukan bagi membentuk keamanan yang berkekalan."

Sementara itu, pihak berkuasa Malaysia berkata tidak ada pembabitan rakyat Malaysia dalam serangan tersebut.

"Apa yang berlaku adalah di Selatan Thailand, tetapi buat masa ini, tidak ada sebarang pengumuman mengenai penglibatan rakyat Malaysia," kata Menteri Dalam Negeri Malaysia, Hamzah Zainudin.

"Tidak ada juga sebarang maklumat bahawa mereka yang bertanggungjawab itu bersembunyi di Malaysia. Kita sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Thai dalam hal ini," kata Muhamad Zaki Harun, pemangku ketua polis Kelantan, kepada BenarNews.

Pihak berkuasa tidak akan menutup sempadan Malaysia-Thailand, kerana ia seperti "memutuskan hubungan diplomatik dengan Thailand dan bermaksud bahawa "kita tunduk kepada ancaman,” katanya.

Subel Rai Bhandari di Bangkok dan Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh