Kumpulan Pemberontak Thailand BRN Rombak Kepimpinan: Sumber Keselamatan

Staf BeritaBenar
2016.11.21
Narathiwat, Thailand
161121-TH-carbomb-620.jpg Anggota skuad bom Thailand memeriksa kawasan pengeboman sebuah kereta yang mencederakan lima orang di wilayah Narathiwat, 18 November, 2016.
AFP

Kepimpinan Barisan Revolusi Nasional (BRN), kumpulan pemberontak Islam bersenjata dan terbesar di wilayah Selatan Thailand, telah dirombak, menurut sumber keselamatan Thailand.

Sumber-sumber menunjukkan kepada BeritaBenar senarai rasmi yang dibocorkan mengenai badan induk semasa BRN, yang mengenal pasti pemimpin tidak dikenali sebagai sebahagian daripada panel pemberontak yang terlibat dalam rundingan damai awal dengan kerajaan Thailand.

Senarai tujuh ahli itu adalah berdasarkan rombakan pada 28 Sept berhubung majlis pentadbiran BRN, yang dikenali dalam bahasa Melayu sebagai Dewan Pimpinan Parti (DPP),  kata seorang pegawai keselamatan Thailand kepada BeritaBenar, dengan syarat namanya tidak disiarkan.

Ia mengenal pasti Safie Basoe (juga dikenali sebagai Spae-ing Basoh) sebagai pengerusi baru badan itu, dan Abdullah Wan Mat Noor (alias Doonloh Wae-mano) sebagai setiausaha baru. Kedua-dua mereka sudah menjadi ahli majlis namun tidak jelas sama ada Safie, bekas setiausahanya, digantikan sebagai pengerusi, kata sumber itu.

BRN yang terkenal dengan kerahsiaannya, adalah kumpulan pemberontak paling berkuasa dan paling lama  aktif  di wilayah Selatan, dengan menyambut ulang tahunnya yang ke-56 baru-baru ini. Ia berpecah kepada tiga puak dan dikuasai oleh seorang daripada mereka, BRN-Selaras (BRN-C).

Ketiga-tiga puak itu dipercayai diwakili dalam MARA Patani, panel tujuh ahli yang menyertai perbincangan awal dengan kerajaan Thailand bagi menyelesaikan konflik pemisah yang mengorbankan lebih 6,700 orang sejak ia tercetus 12 tahun lalu.

Senarai itu yang dikatakan dikeluarkan oleh BRN tidak mengandungi nama-nama tokoh BRN, yang dikatakan bertindak sebagai wakil-wakil puak dalam panel rundingan MARA Patani. Panel itu telah diperkenalkan kepada umum pada Ogos 2015 dan tiada kemas kini keahliannya yang diumumkan sejak itu.

Ketika dihubungi mengenai laporan rombakan majlis BRN pada Isnin, seorang pegawai kanan MARA Patani yang tidak bergabung dengan kumpulan pemberontak itu memberitahu BeritaBenar bahawa beliau tidak tahu menahu mengenai perubahan.

"Ini berita buat saya," katanya.

'Ia tidak boleh laksanakan zon keselamatan'


Sejak awal September lalu, insiden tembakan dan pengeboman yang dipersalahkan ke atas pemberontak, telah membunuh 21 orang di wilayah Selatan. Delegasi Thailand dan MARA Patani telah membincangkan tentang  apa yang dipanggil "zon keselamatan," kawasan gencatan senjata terhad yang dilihat sebagai pencapaian berpotensi dalam proses damai itu yang dipermudahkan oleh Malaysia, semasa mesyuarat mereka baru-baru ini.

Menurut seorang pakar keselamatan wilayah itu, perubahan dalam kepimpinan BRN membawa tanda tidak baik bagi perbincangan itu.

"MARA Patani tidak mempunyai ahli berpengaruh seperti Abdullah Wan Mat Noor. MARA Patani tidak boleh mengarahkan RKK untuk berhenti. Ia tidak boleh melaksanakan zon keselamatan, " kata Jen Bersara Samrej Srirai, bekas timbalan komander Tentera Thailand di wilayah itu, kepada BeritaBenar.

RKK adalah singkatan nama unit tempur BRN yang dikenali sebagai Runda Kumpulan Kecil.

Senarai (ditunjukkan di bawah) mengenal pasti lima ahli majlis lain sebagai Din Wan Cik, pemimpin sayap tentera; Muhd. Arsad Wansor, bendahari; Abdul Munir, pemimpin sayap politik BRN; Hasan Khatib, ketua sayap politik antarabangsa; dan Bustaman Salih, penasihat DPP.

Safie adalah bekas guru besar sebuah sekolah agama, Yayasan Sekolah Thammawittaya, yang terletak di Yala, wilayah Selatan. Beliau juga dianggap sebagai "pemimpin kerohanian" dalam kalangan pemberontak Islam di kawasan sempadan Thailand yang majoriti penduduknya berbahasa Melayu dan beragama Islam, menurut pegawai-pegawai tentera kanan Thailand yang telah bersara dan mengetahui dengan mendalam mengenai kawasan itu.

Abdullah, pemimpn No. 2 yang baru dalam BRN, adalah bekas guru besar sekolah di Patani - satu lagi wilayah di Selatan - yang melarikan diri dari Thailand pada 2004 selepas didakwa melakukan pemberontakan kerana didakwa melatih pemberontak di kawasan sekolah beliau, kata sumber.

"Kenaikan pangkatnya bukanlah satu kejutan," kata anggota unit RKK kepada BeritaBenar pada Isnin, yang merujuk kepada Safie.

"Terdapat perubahan dalam susunan kepimpinan, tetapi dasar-dasar BRN kekal sama, di mana ia mengisytiharkan wilayah Selatan sebagai medan perang," katanya.

Waran tangkap masih ada untuk Safie, kata Kol. Songsak Saksakul, pengarah Jabatan Siasatan Khas, kepada BeritaBenar.

 

 

 

 

 

 

 

Razlan Rashid di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.