Kerajaan baharu perlu tekad politik selesai kemelut Selatan Thailand
2024.09.06
Pattani, Thailand
Penduduk wilayah sempadan selatan Thailand menggesa agar kerajaan baharu Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra menggunakan "tekad politik" untuk menyelesaikan masalah ekonomi dan menjayakan rundingan damai di wilayah yang dilanda pemberontakan.
Wilayah yang majoritinya Melayu Islam dan dipenuhi gerakan ketenteraan di sempadan Malaysia sudah lama bergelut dengan cabaran berkaitan pemberontakan dan ekonomi yang kompleks.
Dengan Kabinet baharu Thailand dijadual mengangkat sumpah pada minggu ini, rakyat, ahli akademik dan aktivis hak asasi manusia menggesa tindakan segera dilakukan melibatkan kedua-dua pihak.
“Isu paling mendesak yang perlu ditangani segera oleh kerajaan ialah masalah ekonomi. Orang ramai di sini bergelut sehingga tidak tahu apa yang perlu dilakukan lagi,” kata Ummee Yusoh, 44, yang memiliki ladang getah di wilayah Pattani kepada BenarNews.
Pattani bersama dengan wilayah Narathiwat dan Yala, serta empat daerah di wilayah Songkhla membentuk Selatan Thai.
Parti Pheu Thai yang menerajui kerajaan campuran, berkempen mengenai dasar ekonomi yang bercita-cita tinggi termasuk menjanjikan pemberian sekali bayar 10,000 bath (AS$297) bagi skim dompet digital kepada setiap warga Thailand. Namun bayaran tersebut masih belum menjadi kenyataan.
Sementara itu, Majlis Pembangunan Ekonomi dan Sosial Negara (NESDC) mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Thailand untuk 2024 pada kadar sederhana 2.3 hingga 2.8 peratus, menggariskan cabaran ekonomi yang dihadapi pentadbiran baharu.
Perangkaan negara baru-baru ini melakarkan gambaran bercampur-campur mengenai pemulihan ekonomi Thailand selepas pandemik.
Pengarah Pejabat Perangkaan Kebangsaan mendedahkan bahawa kadar pengangguran pada suku pertama 2024 telah menurun kepada 1 peratus, bermakna kira-kira 410,000 kekurangan pekerjaan di seluruh negara.
Walaupun ini menunjukkan penambahbaikan, keadaan di wilayah selatan masih mencabar. Kadar pengangguran agak lebih tinggi di wilayah sempadan selatan, menurut kajian yang diterbitkan pada 2022.
Sae Eiso, 29, seorang usahawan di wilayah Yala menyatakan keadaan yang teruk berlaku di wilayah sempadan apabila jualan merosot kerana faktor pengurangan kuasa beli dalam kalangan orang ramai.
“Jualan merosot kerana orang ramai tiada wang. Siswazah baharu masih menganggur, jadi mereka beralih kepada menjual barang. Kini kami mempunyai lebih ramai penjual berbanding pembeli,” katanya kepada BenarNews.
Kerajaan telah mengumumkan rancangan untuk menubuhkan Lembah Halal Thailand, sebuah pembangunan perindustrian khusus untuk produk halal, dengan peruntukan 1.23 bilion baht [AS$34.5 juta].
Projek itu bertujuan meletakkan Thailand sebagai hab makanan halal ASEAN menjelang 2027.
Asmeenudiya Eiso, 32, seorang vendor di Pattani, berkata pihaknya melihat potensi dalam inisiatif ini.
“Lebih 80 peratus penduduk di sini beragama Islam. Kita sudah mempunyai asas halal dalam penternakan, penyembelihan dan penyediaan makanan. Kami hanya memerlukan sokongan yang konkrit,” katanya.
Perikanan dan pengeluaran getah telah menjadi industri utama di rantau ini.
Kebimbangan pemberontakan
Walaupun isu ekonomi merupakan perkara utama, pemberontakan yang berterusan masih menjadi kebimbangan. Deep South Watch, kumpulan pemantau konflik tempatan melaporkan bahawa wilayah itu telah menyaksikan lebih 22,200 insiden keganasan sejak 2004, mengakibatkan lebih 7,500 kematian dan 14,000 kecederaan.
Rundingan damai antara kerajaan Thai dan kumpulan pemisah bermula 2013 tetapi telah mencapai kemajuan yang perlahan dan kecil, di tengah-tengah pelbagai perubahan kerajaan.
Dialog semasa yang bermula pada 2020 melibatkan rundingan langsung yang dibantu Malaysia sebagai orang tengah antara wakil Thai dan Barisan Revolusi Nasional (BRN), kumpulan pemisah utama di rantau itu.
Walaupun usaha untuk mencapai persetujuan secara aman dibuat, aktivis hak asasi manusia melaporkan tindakan berterusan oleh pihak berkuasa Thailand dilakukan terhadap aktivis tempatan.
Pada awal 2024, lebih 30 organisasi hak asasi manusia di wilayah sempadan selatan mengutuskan surat terbuka kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendesak siasatan terhadap dakwaan pencabulan hak oleh pihak berkuasa Thailand.
Laporan Cross Cultural Foundation menyebut bahawa sejak 2017, sekurang-kurangnya 40 aktivis di wilayah sempadan selatan telah dipanggil oleh polis untuk menghadapi tuduhan jenayah.
Profesor Madya Srisompob Jitpiromsri, pengarah Deep South Watch menekankan kepentingan komitmen politik yang jelas daripada kerajaan baharu.
“Perdana menteri baharu mesti mengumumkan keazaman politiknya dengan jelas untuk menggunakan pendekatan dialog bagi menyelesaikan masalah itu,” katanya kepada BenarNews.
Awal minggu ini, Raja Thailand mengesahkan Kabinet melibatkan 36 anggota bagi Perdana Menteri Paetongtarn.
Paetongtarn merupakan ahli ketiga keluarga Shinawatra yang memegang jawatan politik tertinggi Thailand - bapanya, Thaksin dan ibu saudaranya, Yingluck - kedua-duanya disingkirkan oleh rampasan kuasa tentera.
Harapan adalah tinggi untuk pendekatan baharu untuk menghadapi cabaran di Selatan Thai.
Kerajaan telah memperuntukkan 5.78 bilion baht (AS$171.8 juta) dalam Belanjawan 2025 untuk menangani isu-isu di wilayah sempadan selatan dalam usaha mengurangkan 80 peratus keganasan dan kehilangan nyawa.
Pelantikan Chatchai Bangchuad sebagai ketua awam pertama panel dialog damai pada akhir 2023 dilihat sebagai langkah positif.
Namun, aktivis hak asasi manusia Anchana Heemmina, presiden organisasi masyarakat sivil, Duay Jai berkata lebih banyak perkara perlu dilakukan.
“Tentera perlu memainkan peranan sokongan dalam rundingan kerana mereka yang mempunyai senjata tidak seharusnya mengetuai rundingan,” katanya kepada BenarNews.
Nontarat Phaicharoen di Bangkok menyumbang kepada laporan ini.