Kurangnya Gencatan Senjata Jadi Rintangan Proses Damai Thailand

Razlan Rashid & Don Pathan
2016.12.29
Kuala Lumpur & Yala, Thailand
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
161228-TH-Pattani-1000.jpg Seorang anggota polis berjalan melepasi kedai serbaneka 7-Eleven di wilayah Patani di Selatan Thailand selepas ia dibom pada malam sebelumnya, 3 November 2016.
AFP

Selepas dua tahun mengadakan perbincangan tinjauan, junta Thailand dan panel yang mewakili kumpulan pemberontak Selatan masih belum mencapai persetujuan tentang gencatan senjata terhad yang dilihat sebagai prasyarat bagi memulakan semula rundingan secara rasmi.

Dalam satu artikel bagi menandakan ulang tahun kedua proses damai semasa, jurucakap perunding pemberontak berkata, beliau menjangkakan kedua-dua pihak dapat memuktamadkan beberapa bentuk perjanjian mengenai apa yang dipanggil sebagai "zon keselamatan" pada Jun 2017.

"Adalah dijangka bahawa dalam tempoh separuh pertama 2017, Zon Keselamatan akan dijadikan sebagai projek perintis di kawasan yang ditetapkan," kata jurucakap MARA Patani Abu Hafiz al-Hakim dalam artikel yang ditulisnya dan disiarkan pada 24 Dis di laman web Deep South Watch, sebuah badan pemikir yang berpangkalan di kawasan sempadan Selatan Thailand yang majoriti penduduknya beragama Islam dan berbahasa Melayu.

Sumber pihak kerajaan Thailand pula nampaknya kurang yakin bahawa gencatan senjata terhad boleh dilaksanakan dalam tempoh tersebut. Mereka berkata, ia bergantung kepada sama ada ahli-ahli tegar Barisan Revolusi Nasional (BRN)-kumpulan pemberontak terbesar dan paling berkuasa di Selatan Thailand–bersedia menerima dan menyokongnya.

Bercakap kepada BeritaBenar, seorang pegawai keselamatan Thailand yang ditugaskan untuk menganalisis dialog di antara Thailand dan MARA Patani berkata,  "tiada tempoh masa yang ditetapkan" untuk melaksanakan gencatan senjata terhad.

"Abu Hafiz ingin melihat idea ini menjadi kenyataan dalam tempoh enam bulan pertama tahun 2017. Tidak ada jaminan bahawa ini boleh dicapai. Ia bergantung jika [MARA] boleh mendapatkan militan bersenjata untuk menerima idea itu, "kata pegawai itu, yang enggan namanya disiarkan, kepada BeritaBenar.

Zon Keselamatan itu disebut-sebut sebagai langkah membina keyakinan dan langkah pertama ke arah memulakan semula rundingan damai rasmi buat pertama kali sejak Disember 2013, ketika kerajaan awam memerintah Thailand.

Masih awal

Pegawai-pegawai MARA Patani telah membalas kritikan bahawa panel itu tidak mewakili mereka yang berpangkat rendah BRN dengan menyatakan bahawa ia berunding bagi sekurang-kurangnya tiga puak kumpulan itu.

Pada Rabu, Abu Hafiz memberitahu BeritaBenar bahawa kedua-dua pihak belum bersetuju secara rasmi mengenai gencatan senjata awal di kawasan yang belum ditentukan di kawasan Selatan Thailand.

"Belum ada apa yang diputuskan lagi," katanya. "Saya hanya membuat jangkaan berdasarkan kepada perkembangan baru-baru ini."

Dalam artikelnya, jurucakap itu berkata, sekurang-kurangnya enam pusingan mesyuarat oleh pasukan teknikal atau panel penuh yang mewakili kedua-dua pihak telah diadakan pada 2016.

Beliau juga menyatakan dalam ceramah baru-baru ini bahawa MARA telah meminta kerajaan Thailand supaya memberi perlindungan kepada ahli-ahli panel pemberontak serta membebaskan pemberontak yang dalam tahanan Thailand, yang merupakan antara langkah dalam membina keyakinan.

Tetapi pegawai keselamatan Thailand menganggap pembebasan pemberontak yang ditahan sebagai syarat untuk melanjutkan lagi proses damai itu adalah "amat sukar untuk dicapai."

"Bagi saya, proses rundingan masih lagi di peringkat awal. Kejayaan yang kukuh masih belum dapat dilihat, " kata Kasturi Mahkota, pemimpin Pertubuhan Pembebasan Bersatu Patani (PULO), satu daripada kumpulan pemberontak yang diwakili MARA Patani.

Selain itu,beliau memberi amaran bahawa pelaksanaan Zon Keselamatan itu boleh memberi kesan kepada MARA Patani.

"Bagi saya, isu Zon Keselamatan adalah sangat sensitif dan jika ia tidak diperincikan dan dibincangkan dengan baik, ia boleh memberikan kelebihan kepada Thailand ...," kata Kasturi kepada BeritaBenar.

"Proses ini akan ditentang dengan meluas oleh pemberontak di medan, dan hanya akan diterima oleh segelintir masyarakat, yang antara mereka adalah NGO, ahli akademik dan pihak berkepentingan."

‘BRN sebenar'

Perbincangan tahun ini dijalankan dengan berlatarkan pembunuhan berterusan di wilayah itu, di mana konflik pemisah berlarutan sejak 1960-an.

Sejak 2 Sept lalu, semasa kumpulan berkenaan bertemu di ibu negara Malaysia dan bersetuju untuk membincangkan tentang Zon Keselamatan pada mesyuarat akan datang, seramai 32 orang telah terbunuh dan 69 yang lain cedera dalam kejadian tembakan dan pengeboman yang dilakukan oleh mereka yang disyaki pemberontak. Kesemuanya  lebih daripada 6,700 orang telah terbunuh dalam keganasan yang dikaitkan dengan pemberontakan sejak 2004, kata Deep South Watch.

Seorang lagi pegawai Thailand, seorang pegawai kanan perisikan tentera yang memantau rapat usaha damai itu, menyarankan bahawa Thailand mampu meneruskan perbincangan itu buat selama-lamanya.

"[Dengan] bercakap kepada MARA Patani, kita berharap bahawa BRN sebenar - mereka yang mengawal pemberontak di medan - akhirnya akan sedar dan menyertai proses ini. Kami merasakan bahawa masa berada di pihak kami – ini bermakna lebih lama ia berlanjutan, lebih banyak tekanan akan dikenakan terhadap BRN untuk menimbang semula dasar mereka untuk tidak bercakap ..., " kata pegawai perisikan itu kepada BeritaBenar, yang turut meminta namanya tidak disiarkan.

"Idea beliau untuk melanjutkan proses dialog ini dengan MARA Patani dalah untuk membolehkan  BRN sebenar berubah fikiran dan tampil ke meja rundingan,”katanya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.