Malaysia: Rasuah Bertambah Buruk, Tiada Kemajuan Usaha Tentang, Transparency International

Skor indek rasuah Malaysia merosot, salahguna kuasa dan rasuah di kalangan penjawat awam antara faktor yang menyumbang.
Nisha David & Noah Lee
2021.01.28
Kuala Lumpur
Malaysia: Rasuah Bertambah Buruk, Tiada Kemajuan Usaha Tentang, Transparency International Seorang pegawai kanan Kementerian Pertahanan Malaysia mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas pertuduhan rasuah selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, 27 Oktober, 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Rasuah bertambah buruk, tiada kemajuan dalam usaha menentang rasuah sepanjang tahun lalu di Malaysia, demikian menurut badan pemerhati antarabangsa Transparency International dalam laporan tahunan Indek Persepsi Rasuahnya yang dikeluarkan pada Khamis.

Presiden Transparency International Malaysia Muhammad Mohan berkata, skor Malaysia di dalam Indeks Persepsi Rasuah TI merosot dua mata bagi tahun 2020, dan kejatuhan itu disebabkan beberapa faktor seperti salahguna kuasa, rasuah kalangan penjawat awam yang terus berlaku, penangguhan usaha reformasi institusi serta akses terhad terhadap kepentingan umum.

Dengan kemerosotan skor itu, tambah beliau kedudukan Malaysia jatuh enam anak tangga dalam skala global, menjadikannya kini di tangga ke-57 di seluruh dunia berbanding tangga ke-51 sebelum ini, ketinggalan di belakang Arab Saudi, Mauritius dan Itali.

“Walaupun kemerosotan sebanyak dua mata adalah sesuatu yang tidak signifikan di dalam statistik, tetapi hasilnya tidak boleh diketepikan dan kerajaan perlu sedar bahawa kejatuhan kedudukan di dalam CPI bermakna negara tidak mempunyai kemajuan dalam usaha menentang rasuah berbanding dengan negara-negara lain," kata Muhammad semasa membentangkan laporan berkenaan secara dalam talian, pada Khamis

Menurut skala yang digunakan oleh TI, skor 0 menandakan sesuatu negara itu sangat korup manakala skor 100 pula menandakan ia adalah negara yang sangat bersih.

Markah CPI dan kedudukannya adalah berdasarkan 13 tinjauan dan penilaian pakar yang mengukur tanggapan tahap rasuah di dalam sektor awam sesebuah negara.

"Keputusan kajiselidik menunjukkan skor Malaysia menurun kepada 51 pada tahun 2020, berbanding 53 markah pada tahun 2019. Kedudukan Malaysia di dalam CPI juga merosot daripada tangga 51 pada 2019 kepada tangga 57 pada tahun 2020, daripada keseluruhan 180 negara yang disenaraikan di dalam tinjauan.

“Markah yang kita lihat untuk Malaysia (tahun lepas) mungkin secara statistiknya tidak signifikan, tetapi trajektori (menurun) yang kita lihat itu membimbangkan.. kerajaan mesti sedar bahawa kedudukan kita yang jatuh enam anak tangga bermakna kita juga tidak menjadi lebih baik dalam usaha memerangi rasuah,”  katanya lagi.

Beliau berkata, faktor penyumbang kepada kemerosotan prestasi adalah kekurangan akses terhadap maklumat berhubung perkara berpekentingan awam dengan contoh terbaik ialah keengganan kerajaan mengumumkan jumlah pampasan kepada Singapura ekoran pembatalan projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR).

"Faktor lain adalah beberapa keputusan membebaskan atau melepas tanpa membebaskan (DNAA) kes rasuah berprofil tinggi tahun lalu. Mereka (ahli politik) yang sudah pun diputuskan bersalah dan menunggu rayuan, mereka patut mengosongkan kedudukan dan tidak bergerak bebas seperti yang berlaku hari ini,” katanya.

Muhammad berkata TI-M mengambil maklum bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mustapa Mohamed memetik klausa kerahsiaan yang menghalang Malaysia daripada mendedahkan jumlah itu, meskipun Singapura menyatakan jumlah kos yang dikenakan sebanyak S$270 juta (RM891 juta).

“Kita faham, tetapi pampasan ini berkaitan dengan duit pembayar cukai. Mereka berhak untuk tahu,” tegas Muhammad sambil menambah ketelusan lebih baik menerusi pengkhususan skop Akta Rahsia Rasmi 1972 boleh membawa kepada persepsi awam yang lebih baik.

Menurutnya, reformasi institusi kerajaan yang tergendala, seperti janji-janji yang tidak dipenuhi untuk membentangkan rang undang-undang (RUU) pembiayaan politik dan RUU Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) turut menjadi pendorong kepada kemerosotan prestasi CPI.

Malaysia mendapat 51 daripada 100 dalam laporan terbaru. Pada 2019, ia mencapai skor 53, peningkatan ketara daripada 47 sebelum pilihan raya umum 2018 – yang terendah sejak metodologi itu disemak semula pada 2012.

Kemerosotan CPI juga berlaku di beberapa negara Asia Tenggara yang berada dalam liputan BeritaBenar seperti Indonesia, Thailand dan Filipina.
Indonesia merosot 17 tangga dari 85 ke 102, Thailand dari 101 ke 104 dan Filipina dari 113 ke 115.

"Ketika kerajaan di seluruh dunia berperang dengan wabak COVID-19, CPI mendedahkan berlaku “krisis rasuah” di sebalik krisis kesihatan yang didepani.

"Hasil tinjauan tahunan itu diterbit Khamis di kala langkah-langkah fiskal diambil kerajaan bagi menangani peruntukan berkaitan COVID-19, termasuk perbelanjaan yang mungkin tidak melalui prosedur semak dan imbang yang sepatutnya," katanya.

Muhammad berkata markah purata bagi 180 negara yang ditinjau tahun lepas hanya 43 mata daripada 100 mata.

Dalam kalangan 10 negara Asean, Malaysia berada di tangga ketiga iaitu di belakang Singapura dan Brunei. Singapura menjadi negara mempunyai prestasi terbaik dari semua negara di Asia Tenggara, dengan 85 markah.

Ia juga berada tangga keempat secara keseluruhan. Negara republik itu di belakang Denmark (88 mata), New Zealand (88 mata) dan Finland (85 mata).

Rasuah dalam kerajaan

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Pusat Bagi Memerangi Rasuah dan Kroni (C4), Cynthia Gabriel berkata kemerosotan CPI menandakan rasuah menular masuk ke dalam kerajaan dan pentadbiran yang memerintah negara ini.

"Faktor-faktor yang mempengaruhi termasuk akses terhad kepada maklumat mengenai hal-hal kepentingan awam, penyalahgunaan kuasa dan rasuah yang berterusan oleh agensi penguatkuasaan, dan kurangnya kemahuan politik untuk memerangi rasuah adalah tidak baik bagi masa depan kita," katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.

Menurut Cynthia, kerajaan Perikatan Nasional secara tegas tidak memberi perhatian kepada banyak inisiatif yang dimulakan oleh pemerintah Pakatan Harapan sebelumnya, hingga menangguhkan pilihan raya dan fungsi Parlimen, yang menumbangkan kedaulatan undang-undang, tonggak utama dalam menegakkan pemerintahan yang baik.

"Isu seperti ini adalah sangat membimbangkan, dan C4 mendesak kerajaan untuk bangkit, dan bergerak menuju ketelusan, terutama dalam isu keselamatan negara, dan untuk meminda Akta Perlindungan Pemberi Maklumat," katanya sambil menambah Perdana Menteri Muhyiddin Yasin perlu memperbaiki pemerintahannya, memperkuatkan kebebasan, mengembalikan kepercayaan pada ekonomi, politik, dan perundangan.

Sementara itu, Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menyatakan rakyat Malaysia tidak boleh berdiam diri apabila melihat kemerosotan CPI kerana turut bertanggungjawab ke atas punca kejatuhan dan mengetepikan bersikap tidak ambil peduli.

Presiden MCW, Jais Abdul Karim berkata, usaha keras Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam membongkar dan menyiasat pelbagai kes rasuah perlu diteruskan dan disokong oleh semua lapisan masyarakat.

"SPRM perlu dibebaskan daripada tekanan politik dam bertanggungjawab terus kepada Yang di-Pertuan Agong melalui Parlimen. Sistem pencegahan rasuah di Malaysia masih jauh ketinggalan berbanding negara maju yang lain,” katanya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.