Kedudukan “D” Bagi Pencegahan Rasuah Pertahanan Malaysia

Staf BeritaBenar
2015.11.04
151105-MY-ARMY620 Kenderaan Angkatan Tentera Malaysia semasa perarakan Hari Tentera di Kuala Lumpur. 6 Mac 2011.
AFP

Badan pemantau rasuah antarabangsa, Transparency International – Malaysia (TI-M) menggesa kerajaan Malaysia menubuhkan jawatankuasa khas di peringkat Parlimen bagi memantau perbelanjaan perolehan pertahanan negara dalam usaha mengekang gejala rasuah terutamanya yang melibatkan proses pembelian dan rundingan terus.

Saranan itu dibuat oleh Presiden TI-M Akhbar Satar selepas mengeluarkan laporan Indeks Pencegahan Rasuah Pertahanan Kerajaan (GI 2015) oleh badan pemerhati antarabangsa itu, dengan Malaysia mendapat markah “D” secara keseluruhannya.

Kedudukan tersebut adalah berdasarkan kepada skor penilaian yang terdiri daripada 77 soalan dengan peratusan pemarkahan keseluruhan ditentukan oleh lima kategori risiko, iaitu, Risiko Politik, Risiko Kewangan, Risiko personel, Risiko Operasi dan Risiko Perolehan. Pada laporan tahun 2013, Malaysia mendapat  "D-" secara keseluruhannya.

Enam belas negara lain turut mendapat markah "A", iaitu markah terbaik,  dan "F" terburuk.

New Zeland mendapat markah “A” manakala Australia, Taiwan, Jepun, Singapura mendapat “B”; Korea Selatan “C”; India, Malaysia, Filipina, Indonesia dan Bangladesh berada dalam kategori yang sama “D”.

China, Thailand, Pakistan dan Sri Lanka dilingkaran “E” diikuti dengan Kemboja dan Myanmar di tahap “F”.

‘Risiko tinggi’

Akhbar berkata, kebanyakan pembelian senjata atau kelengkapan ATM oleh Kementerian Pertahanan dilakukan melalui rundingan terus dan ini meletakkan pembelian tersebut di dalam ruang risiko tinggi dan boleh mengakibatkan terjadinya rasuah.

"Di sinilah letaknya keperluan untuk membentangkan di Parlimen laporan pembelian senjata dan kelengkapan oleh ATM bagi membolehkan ahli-ahli Parlimen membuat penelitian dan penilaian yang sesuai, dan bagi memastikan tidak berlakunya rasuah ataupun terdapat rundingan terselindung di antara pegawai yang terlibat dalam urusan pembelian dengan pihak pembekal,’’ katanya kepada BeritaBenar pada Rabu.

Beliau memberitahu, pembentangan di Parlimen juga boleh memastikan proses perolehan dilakukan dengan telus. Dengan ini, perkara seperti menaikkan harga bagi tujuan memberi komisen kepada orang tengah ataupun pembelian yang diuruskan oleh sebuah syarikat yang dilantik oleh kerajaan dapat dielakkan.

“Pada masa ini, bajet pertahanan dibentangkan di Parlimen, tetapi maklumat berkaitan peruntukan tertentu tidak lengkap.

“Parlimen juga mempunyai masa yang terhad untuk meluluskan keseluruhan bajet yang dilaporkan, yang sekaligus tidak memberi ruang kepada penelitian yang berkesan," katanya.

Akhbar menambah, pendedahan perbuatan rasuah masih berlaku disebabkan oleh beberapa faktor seperti kelemahan proses penelitian pihak legislatif, perbelanjaan yang tersembunyi dan memastikan perlindungan kepada pemberi maklumat.

"Oleh itu, kerajaan perlu melihat kepada keperluan untuk mengeluarkan laporan lengkap bajet tahunan pertahanan yang merangkumi perbelanjaan melibatkan semua fungsi pertahanan seperti kajian dan rekabentuk, latihan, penggajian, perolehan, pelupusan aset, penyelenggaraan dan perbelanjaan kakitangan," katanya.

Beliau juga mencadangkan supaya proses penelitian oleh pihak legislatif ke atas perbelanjaan dan polisi pertahanan diperkemaskan, sambil menegaskan peranan berkenaan pada waktu ini dijalankan secara tidak rasmi.

"Pihak legislatif tidak dibekalkan dengan maklumat yang lengkap tentang bajet pertahanan, termasuk perkara-perkara rahsia, melangkaui jumlah agregat untuk perbelanjaan operasi dan pembangunan yang mendedahkan kepada kurangnya penelitian membabitkan perbelanjaan pertahanan dan keputusan yang diambil dari segi perolehan," katanya lagi.

Akhbar turut mencadangkan Malaysia mengamalkan doktrin operasi yang khusus mengakui risiko rasuah sebagai isu operasi strategik; menyediakan latihan yang komprehensif dan sistematik dan petunjuk bagi komander dan kakitangan mengenai risiko rasuah yang dihadapi dalam operasi, termasuk dalam hal berkaitan dengan kontrak,

Menggunakan profesional terlatih yang mampu memantau rasuah, dengan memastikan bahawa laporan-laporan ini terbuka kepada orang ramai sekurang-kurangnya dalam bentuk ringkasan.

Hata Wahari menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.