Malaysia duduki tangga teratas dunia minta turunkan kandungan TikTok

Putrajaya menegaskan tindakan itu bagi mengekang penyebaran sentimen perkauman dan fanatik agama.
Noah Lee
2024.06.07
Kuala Lumpur
Malaysia duduki tangga teratas dunia minta turunkan kandungan TikTok Seorang pengguna Internet mengakses aplikasi TikTok menggunakan telefon pintar miliknya di Kuala Lumpur, 7 Jun 2024
[S. Mahfuz/BenarNews]

Malaysia berada di tempat teratas dalam senarai pentadbiran di dunia yang mengemukakan permintaan kepada TikTok supaya menurunkan kandungan di platform media sosial itu dalam tempoh separuh kedua tahun lepas, menurut data dikeluarkan syarikat tersebut pada Jumaat, sebulan selepas negara itu jatuh 34 anak tangga dalam indeks kebebasan media antarabangsa tahun ini.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada minggu lalu tidak menghiraukan kemerosotan negara itu dalam senarai kebebasan media, sebaliknya mempertahankan bahawa kerajaan perlu bertindak tegas terhadap pihak yang mencetuskan sentimen perkauman dan agama di negara yang berbilang kaum serta kepercayaan itu.

Menurut data TikTok, syarikat itu menyatakan ia telah mengambil tindakan terhadap sejumlah 2,970 kandungan pada separuh kedua 2023 kerana dilaporkan telah melanggar undang-undang Malaysia manakala 2,514 lagi diambil tindakan setelah dikesan melanggar garis panduan komuniti TikTok sendiri.

Platform video pendek TikTok menerima 2,202 permintaan Putrajaya untuk mengalih keluar lebih 6,000 muatnaik kandungan, demikian menurut "Laporan Permintaan Pembuangan Kerajaan" tahunan TikTok bagi 2023.

Kebanyakan permintaan – 1,862 daripada jumlah keseluruhan – iaitu dari Julai hingga Disember telah diambil tindakan oleh platform perkongsian video itu kerana didapati melanggar undang-undang negara.

TikTok bagaimanapun tidak memperincikan bentuk pelanggaran undang-undang atau garis panduan komuniti berhubung permintaan dan tindakan yang diambil.

Syarikat milik ByteDance itu menegaskan bahawa ia telah meneliti setiap permintaan mana-mana kerajaan dan hanya mengambil tindakan berdasarkan garis panduan dan terma perkhidmatan platform itu serta undang-undang yang terpakai kepadanya.

Selain itu, TikTok menjelaskan bahawa ia tidak menurunkan kandungan dalam semua tindakan yang mereka ambil, sebaliknya mengehadkan hantaran yang didapati melanggar undang-undang tempatan daripada disiarkan di kawasan di mana ia menjadi satu kesalahan.

"Sekiranya kami percaya sesuatu permintaan itu tidak sah di sisi undang-undang atau tidak melanggar garis panduan komuniti, kami akan menolak permintaan tersebut," kata TikTok.

BenarNews menghubungi TikTok untuk mendapatkan butiran tentang jenis siaran yang diminta oleh kerajaan Malaysia untuk diturunkan tetapi tidak mendapat maklum balas.

Jumlah permintaan daripada kerajaan Malaysia untuk penyingkiran kandungan adalah 29 kali lebih tinggi pada tahun lepas berbanding 75 pada 2022.

Selepas Malaysia, antara negara lain yang membuat permintaan tertinggi untuk menurunkan kandungan TikTok bagi separuh kedua 2023 adalah Australia (651), Kazakhstan (421) dan Rusia (396).

Dalam rantau Asia Tenggara, Indonesia merekodkan bilangan kedua tertinggi dengan 351 permintaan, diikuti Vietnam (138), Filipina (113), Thailand (70), Singapura (47) dan Kemboja (7).

BenarNews juga cuba menghubungi Menteri Komunikasi Malaysia Fahmi Fadzil dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, pengawal selia internet, untuk mendapatkan butiran tentang mengapa permintaan pengalihan keluar kandungan lima kali lebih tinggi pada separuh kedua 2023 berbanding dengan yang pertama, dan 29 kali lebih tinggi pada 2023 berbanding tahun sebelumnya. Kedua-duanya tidak menjawab pertanyaan.

MY-pic-TWO (2).jpg

Anggota keselamatan Malaysia yang bersenjata sedang mengawal trak beras dan makanan lain untuk membantu mereka yang terjejas oleh rusuhan kaum di Kuala Lumpur, 21 Mei, 1969. [AP]

Gagal penuhi janji

Malaysia mengadakan enam pilihan raya negeri pada separuh kedua tahun lalu, pada 12 Ogos 2023. Setahun sebelumnya pada Oktober-November, semasa pilihan raya umum, negara itu menyaksikan lonjakan ucapan kebencian dan maklumat salah dalam talian, dengan parti pembangkang seperti PAS (Parti Islam Se-Malaysia) menggunakan retorik perkauman, demikian menurut kajian yang dijalankan.

Fahmi pada Oktober lepas berkata bahawa usaha TikTok untuk mengurangkan penyebaran berita palsu di Malaysia adalah sangat tidak mencukupi dan beliau telah mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi platform media itu dengan memberitahu mesyuarat mereka perlu mematuhi undang-undang negara berkenaan.

Pada April lalu, beliau yang membuat susulan dengan memberi mandat bahawa semua platform media sosial, termasuk TikTok dan Facebook Meta, perlu mengetatkan dasar mereka terhadap kandungan berbahaya, dalam langkah untuk membendung siaran provokatif mengenai kaum, agama dan raja – dirujuk sebagai 3R di Malaysia.

Ketiga-tiga isu tersebut sangat sensitif di Malaysia, di mana etnik Melayu yang semuanya beragama Islam merangkumi 70 peratus penduduk, etnik Cina 22.6 peratus dan India 6.6 peratus.

Pada Mei pula, indeks kebebasan media yang dikeluarkan oleh Reporters Without Borders (RSF) menunjukkan kedudukan Malaysia merudum sebanyak 34 anak tangga kepada 107 ekoran tindakan kerajaan terhadap banyak pihak atas ucapan atau penulisan yang didakwa menghina raja-raja Melayu dan mengguriskan perasaan penganut agama lain dan kaum.

Dalam penilaian pertama kali di bawah pentadbiran Anwar, perdana menteri reformis itu dilihat masih gagal memenuhi janji-janji pilihan raya untuk menyemak atau membatalkan undang-undang yang menyekat kebebasan bersuara selain mengancam pandangan yang tidak bersetuju dengan kerajaan.

Anwar bagaimanapun, dilaporkan bersikap 'acuh tak acuh' dengan kritikan terhadap pentadbirannya ekoran kemerosotan indek kebebasan media itu dan menyatakan bahawa kerajaan tidak boleh membenarkan sentimen perkauman berkembang kerana ia membahayakan negara.

"Saya tak kisah. Tidak mengapa jika kita diturunkan kerana kita tegas menentang perkauman dan fanatik agama.

"Oleh kerana pada pandangan saya (sekatan) untuk menyelamatkan negara ini, melindungi hak majoriti dan minoriti adalah lebih penting daripada mendapat markah tinggi atau pengiktirafan antarabangsa," kata beliau ketika berucap pada Hari Wartawan Nasional 2024 di Sarawak pada 27 Mei lalu.

Perkara luar biasa

Dalam pada itu, pensyarah kanan media dan komunikasi di Universiti Taylor, Benjamin Loh menyatakan permintaan kerajaan untuk sesebuah platform menurunkan kandungan media sosial bukan satu perkara luar biasa, namun ia termasuk dalam apa yang dikategorikan sebagai sekatan kepada kebebasan.

Beliau bersetuju bahawa kerajaan perlu mengawal isu agama, kaum dan raja-raja (3R) disebabkan kewujudan pihak yang gemar mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan, namun percaya undang-undang sedia ada perlu dirombak bagi mengekang salah guna oleh kerajaan.

"Definisi teras dalam Akta Hasutan yang menjadi asas penguatkuasaan terhadap kandungan berunsur 3R adalah terlalu umum dan tidak jelas. Jadi ia perlu disemak bagi menghalang potensi penyalahgunaannya oleh kerajaan," katanya BenarNews.

Josef Benedict dari CIVICUS Asia Pasifik, sebuah gabungan organisasi masyarakat sivil mengkritik peningkatan permintaan oleh Malaysia kepada TikTok itu sebagai tidak selari dengan tanggungjawab hak asasi manusia.

Kata beliau, walaupun sesetengah permintaan itu mungkin berasas, campur tangan kerajaan dalam memadamkan kandungan media sosial memberikan kesan terhadap kebebasan bersuara serta privasi selain boleh menjadi satu bentuk tapisan.

"Kami menyeru kerajaan Malaysia supaya bersikap telus mengenai permintaan mereka kepada TikTok untuk mengehadkan kandungan di platform tersebut. Pengguna seharusnya mempunyai peluang yang efektif untuk membuat rayuan terhadap sebarang keputusan yang dilihat sebagai tidak adil.

"Sepatutnya mahkamah yang bebas menentukan sama ada sesuatu kandungan itu mematuhi undang-undang atau sebaliknya dan bukannya oleh kerajaan," kata beliau.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.