Amerika Syarikat Naikkan Kedudukan Malaysia Dalam Kad Laporan Pemerdagangan Manusia

Oleh Imran Vittachi & Nani Yusof
2015.07.27
150727-MY-TIP620 Seorang lelaki Malaysia melihat ke dalam liang lahad semasa pengebumian semula mayat mangsa pemerdagangan manusia di Kampung Tualang, Kedah, Malaysia. 22 Jun 2015
AFP

Jabatan Negara Amerika Syarikat pada Isnin menaikkan kedudukan Malaysia dari tahap paling rendah dalam Laporan Pemerdagangan Manusia 2015 (TIP), walaupun mendapat bantahan daripada para aktivis hak asasi manusia yang mendakwa Malaysia tidak layak diberi kedudukan baru itu dan ia tidak boleh dikaitkan dengan urusan perdagangan antarabangsa.

"Kerajaan Malaysia tidak mematuhi standard minima untuk membanteras pemerdagangan sepenuhnya; bagaimanapun, ia berusaha gigih untuk berbuat demikian, " kata laporan itu, yang dikeluarkan Jabatan Negara pada pagi Isnin (waktu Washington).

Tahun lalu, Jabatan Negara menurunkan kedudukan Malaysia dan negara jirannya, Thailand kepada Tahap 3, kedudukan yang paling rendah yang boleh mencetuskan sekatan terhadap negara yang diberi kedudukan itu.

Laporan tahun ini mengekalkan Thailand pada kedudukan paling bawah namun melonjakkan Malaysia ke Senarai Pengawasan Tahap 2.

Laporan tahunan TIP menyenaraikan kedudukan 188 negara termasuk Amerika Syarikat, mengenai cara ia menangani pemerdagangan manusia, dan memberikan negara-negara berkenaan satu daripada empat peringkat: Tahap 1, Tahap 2, Senarai Pengawasan Tahap 2 dan Tahap 3.

Nafi ada kaitan

Setiausaha Negara bagi Keselamatan Awam, Demokrasi dan Hak Asasi Manusia, Sarah Sewall, di dalam satu taklimat kepada media di Washington, menafikan langkah menaikkan kedudukan Malaysia ada kaitan dengan penyertaannya dalam perjanjian Perdagangan Perkongsian Trans-Pasifik (TPP), yang mensyaratkan pihak yang menandatanganinya perlu memenuhi piawaian minima hak asasi manusia.

"Kebimbangan kami adalah benar-benar tentang fakta laporan TIP...," kata Sewall kepada pemberita.

Kad laporan TIP Malaysia adalah semata-mata berdasarkan kepada penilaian fakta yang dikumpulkan sejak lebih setahun lalu tentang prestasi negara itu mengambil langkah untuk mendakwa penyeludup, melindungi mangsa dan mencegah pemerdagangan manusia, kata Sewall.

"Senarai Pengawasan Tahap 2 Malaysia menunjukkan masih ada banyak ruang untuk memperbaikki usaha anti- pemerdagangan yang dilakukan kerajaan itu...," katanya.

"Walaupun kami masih bimbang mengenai negara yang masih dalam T2WL termasuk Malaysia, kerajaan Malaysia telah berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mematuhi standard minima," tambah beliau.

Bagaimanapun, laporan itu tidak mengambil kira kubur-kubur pendatang haram yang ditemui di kem-kem pemerdagangan manusia yang terbiar di sepanjang sempadan Thailand-Malaysia pada Mei lalu, kerana bulan berkenaan tidak termasuk dalam tempoh laporan tahunan TIP, kata Sewall.

Laporan TIP meliputi tempoh bermula pada 1 April tahun lalu dan berakhir pada 31 Mac tahun berikutnya.

Sewall berkata, para pendatang di sepanjang sempadan Malaysia dan Thailand tertakluk kepada pelbagai penindasan di dalam kem-kem ini, dan Amerika Syarikat telah bekerjasama dengan kerajaan dan organisasi antarabangsa di rantau itu untuk memerangi jenayah yang mengakibatkan kematian.

Dalam pada itu, kumpulan hak asasi manusia memuji Jabatan Negara kerana mengekalkan Thailand pada kedudukan paling bawah TIP.  Tetapi mereka menyelar dasar luar kerajaan Amerika Syarikat kerana menaikkan kedudukan Malaysia, dan berkata ia dilakukan untuk memberi laluan kepada negara Asia Tenggara itu berikutan  perjanjian perdagangan TPP.

Surat kepada Setiausaha Negara

Human Rights Watch (HRW) yang berpejabat di AS adalah antara 25 kumpulan yang menghantar surat bersama pada Isnin kepada Setiausaha Negara John Kerry, yang memuji kedudukan TIP bagi Thailand.

"Keputusan Jabatan Negara akan mengekalkan tekanan kepada Bangkok untuk melakukan perubahan substantif," kata surat itu.

Tetapi, HRW menyelar keputusan untuk menaik taraf kedudukan Malaysia dalam TIP.

Di Malaysia, Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi, melalui satu kenyataan yang dikeluarkan pada lewat malam Isnin (waktu Malaysia) berkata, langkah menaikkan kedudukan Malaysia kepada Senarai Pengawasan Tahap 2 dianggap sebagai pengiktirafan terhadap usaha dan komitmen Malaysia di dalam memerangi jenayah kejam pemerdagangan manusia itu.

Penubuhan Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC) mengenai Pemerdagangan Manusia di Malaysia untuk menangani isu-isu kritikal yang dibangkitkan oleh Laporan TIP 2014 telah dijadikan satu struktur kekal bagi badan pembuat dasar utama mengenai pemerdagangan manusia di negara ini, Zahid.

Beliau berkata pindaan kepada Akta Anti-Pemerdagangan Manusia dan Anti-Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 terus mengukuhkan Majlis Anti-Pemerdagangan Manusia dan Anti-Penyeludupan Migran (MAPO) melalui penambahan beberapa kementerian yang terlibat iaitu Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Pertahanan (MINDEF), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) dan Kementerian Belia dan Sukan.

Katanya, semua kementerian ini akan menyuntik kepakaran dan pengalaman mereka di dalam bidang-bidang berkaitan bagi memberi sumbangan secara berkesan untuk menangani jenayah tersebut.

“Komponen kritikal terhadap pindaan baru-baru ini akan memberi perlindungan kepada mangsa termasuk keupayaan untuk mangsa bergerak dengan bebas, tinggal di luar rumah perlindungan dan peluang untuk bekerja,” tambah Ahmad Zahid.

Beliau berkata, peruntukan di dalam pindaan itu meliputi bayaran pampasan dan pembayaran tunggakan gaji kepada mangsa yang diperdagangkan. Kekangan ndang-undang sebelum ini tidak membenarkan mangsa yang diperdagangkan untuk bekerja dan mereka tidak berhak untuk menerima pampasan atau gaji tertunggak.

Katanya, perubahan lain termasuk penyertaan lebih banyak badan bukan kerajaan (NGO) dalam menyediakan pusat perlindungan untuk mangsa yang diperdagangkan dan untuk bertindak sebagai pegawai perlindungan.

“Ini konsisten dengan amalan terbaik yang diguna pakai oleh kebanyakan negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, Australia dan Britain

“Selain itu usaha gigih Malaysia dalam menangani pemerdagangan manusia bukan semata-mata untuk memperbaiki kedudukan dalam Laporan Tahunan TIP tetapi juga untuk memenuhi kewajipan negara di bawah Penilaian Universal Berkala (UPR) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di bawah Majlis Hak Asasi Manusia,” tambah beliau.

Beliau berkata, bagi tujuan ini, Malaysia secara terbuka bersedia menerima lawatan Maria Grazia Giammarinaro, Pelapor Khas PBB mengenai Pemerdagangan Manusia terutamanya bagi Wanita dan Kanak-kanak ke Malaysia pada Februari lepas.

“Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN mengenai Jenayah Rentas Sempadan berhubung pergerakan tidak teratur manusia di Asia Tenggara yang berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini telah menunjukkan kepimpinan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN di dalam mencari penyelesaian serantau untuk memerangi pemerdagangan manusia,” tambah beliau.

Dalam perkembangan yang sama Timbalan Pengarah HRW Asia Phil Robertson dalam satu kenyataan pada Isnin berkata "Rekod Malaysia dalam menghentikan  pemerdagangan manusia adalah tidak mencukupi untuk mewajarkan Washington memberi kenaikan taraf  ini.... perbincangan laporan Malaysia penuh dengan apa yang hanya boleh dipanggil sebagai faktor pemanis Jabatan Negeri, proses kemenangan bertulis diplomatik  dan bukannya kesan sebenar,”

"Peningkatan taraf  ini adalah lebih  kepada tentang TPP dan politik perdagangan AS berbanding apa yang  Malaysia lakukan untuk memerangi pemerdagangan manusia sejak setahun lalu, tetapi malangnya tindakan ini juga menjejaskan dengan ketara kredibiliti laporan yang merupakan bahagian penting dalam usaha global untuk memerangi perhambaan , "katanya.

Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar, yang mengulas mengenai laporan itu melalui akaun Twitternya, mengucapkan tahniah kepada Zahid, Kementerian Dalam Negeri, serta pihak PDRM.

“Malaysia amat menghargai keputusan Jabatan Negara AS menaikkan kedudukan negara dalam isu pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran. "Ini bermakna AS mengiktiraf usaha-usaha Malaysia dalam menangani isu berkenaan. Kita akan terus meningkatkan usaha ke arah membanteras aktiviti pemerdagangan orang," katanya seperti dilaporkan oleh akhbar Berita Harian pada Isnin.

Duta Malaysia ke Amerika Syarikat, Awang Adek Hussin semasa dihubungi BeritaBenar berkata, langkah-langkah yang diambil kerajaan untuk menangani isu pemerdagangan manusia telah disambut baik oleh kerajaan Amerika Syarikat dan ia merupakan satu petanda baik kepada negara.

Manakala Ahli Parlimen pembangkang Charles Santiago yang Pengerusi Parlimen ASEAN bagi Hak Asasi Manusia (APHR) mempertikaikan langkah menaik taraf kedudukan negara itu.

Beliau menganggapnya sebagai sesuatu yang melucukan, dan berkata ia jelas "didorong oleh kepentingan perniagaan dan perdagangan”  dan akan membolehkan Malaysia untuk menandatangani TPP.

"Kita hanya boleh membuat kesimpulan bahawa laporan TIP 2015 telah direka untuk menggalakkan kepentingan perdagangan dan geo-politik Amerika Syarikat," kata ahli parlimen itu.

"Dan pada pandangan saya, laporan ini lebih baik berfungsi sebagai kertas tandas kerana mulai dari sekarang, tidak ada kerajaan yang akan mengambil serius tentang Laporan TIP."


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.