Follow us

Laporan Anti-Pemerdagangan Manusia AS: Malaysia Kekal Tahap 2 Pemerhatian

Staf BeritaBenar
Washington
2020-06-25
E-mel
Komen
Share
Sekumpulan nelayan tempatan Aceh menolong pelarian Rohingya turun dari bot di Pantai Lancok, Aceh Utara, Indonesia, 25 Jun 2020.
Sekumpulan nelayan tempatan Aceh menolong pelarian Rohingya turun dari bot di Pantai Lancok, Aceh Utara, Indonesia, 25 Jun 2020.
[Muzakkir Nurdin/BeritaBenar]

Malaysia kekal berada pada Tahap 2 Pemerhatian dalam Laporan Pemerdagangan Manusia (TIP) bagi tahun ketiga berturut-turut dengan kebimbangan yang pemerintah negara itu tidak melakukan usaha yang mencukupi untuk mengadili keterlibatan pegawai dalam jenayah yang berkaitan dengan penyeludupan manusia juga tidak membuat pengumuman hasil siasatan terhadap jenayah tersebut.

Laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat pada Khamis itu juga berkata Putrajaya tidak menunjukkan peningkatan terhadap usaha keseluruhan berbanding tahun sebelumnya di mana penyiasatan, pendakwaan serta sabitan kes terhadap mereka yang terlibat dalam sindiket pemerdagangan manusia adalah sedikit berbanding dengan skala masalah berkenaan.

"Terdapat juga kebimbangan terhadap gejala rasuah yang menfasilitasikan pemerdagangan manusia, kerajaan juga didapati tidak melakukan usaha yang mencukupi untuk mendakwa anggota terlibat dalam jenayah itu ke muka pengadilan atau mengeluarkan hasil siasatan berhubung jenayah itu kepada orang awam,

“Memandangkan kerajaan memperuntukkan sumber mencukupi bagi perancangan bertulis yang, jika dilaksanakan, akan menjadi usaha signifikan dalam memenuhi standard minimum, Malaysia telah diberi pengecualian berdasarkan Akta Perlindungan Mangsa Perdagangan berbanding penurunan yang diperlukan ke Tahap 3. Oleh itu, Malaysia terus berada dalam Senarai Pemantauan Tahap 2 untuk tahun ketiga berturut-turut, ” kata laporan yang mengandungi rekod penilaian ke atas lebih 180 negara termasuk Malaysia dalam memerangi pemerdagangan manusia.

Selain itu, koordinasi antara agensi juga tidak mencukupi dan layanan terhadap mangsa masih kurang memadai, adalah antara sebab kenapa mangsa turut terlibat melakukan jenayah tersebut selain memberi kesan kepada kejayaan usaha penguatkuasaan undang-undang untuk mendakwa pemerdagangan manusia tidak berjaya.

Laporan tersebut mengenai pasti negara terbaik pada Tahap 1 dan paling teruk berada pada Tahap 3 di mana Tahap 1, adalah negara yang mematuhi sepenuhnya piawaian minimum dalam melindungi mangsa pemerdagangan manusia diikuti Tahap 2 melaksanakan usaha-usaha signifikan untuk memenuhi piawaian tersebut manakala Tahap 3 menampilkan prestasi paling buruk dalam memerangi masalah tersebut.

Kongres AS telah menggubal Akta Perlindungan kira-kira dua dekad  lalu bagi mencegah pemerdagangan manusia, membantu mangsa dan menghukum penyeludup manusia. Ia memerlukan Setiausaha Negara untuk membuat laporan tahunan mengenai pemerdagangan manusia dan memberi penarafan terhadap kerajaan-kerajaan asing berdasarkan usaha melaksanakan antipemerdagangan manusia.

"Kami memandang serius pemerdagangan manusia yang ditaja oleh kerajaan. Ini adalah penyelewengan oleh mana-mana kerajaan yang memberi alasan untuk terus  wujud: perlu melindungi hak, bukan menghancurkan mereka, ”kata Setiausaha Negara AS Mike Pompeo ketika mengumumkan edisi ke-20 Laporan Pemerdagangan Manusia.

"Amerika Syarikat tidak akan berdiam diri melihat mana-mana kerajaan melaksanakan dasar atau corak pemerdagangan manusia yang membuatkan rakyatnya menerima penindasan sebegini," tambahnya lagi.

Dalam pada itu, laporan berkenaan juga merekodkan bagi sepanjang tempoh penyediaan laporan, pihak berkuasa Malaysia hanya menjalankan 277 penyiasatan, dengan 20 pendakwaan, dan seramai 20 individu telah menjalani hukuman berbanding sebanyak 281 penyiasatan, 50 pendakwaan, dan 50 individu dihukum bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

Sehubungan itu, laporan tersebut mencadangkan kepada Malaysia untuk mengurangkan penundaan kes pendakwaan termasuk dengan memberikan panduan yang lebih baik kepada para pendakwa raya supaya berusaha mengemukakan pertuduhan pemerdagangan manusia, dan meningkatkan pengetahuan perundangan mengenai pelbagai jenayah pemerdagangan manusia terutamanya buruh paksa.

Laporan itu juga berkata kes rasuah melibatkan pegawai penguatkuasaan bagi memudahkan perdagangan manusia dan pegawai yang telah disabitkan dengan jenayah itu diumumkan kepada orang awam.

Penemuan Suruhanjaya Siasatan Diraja yang menyimpul siasatan terhadap skandal sindiket pemerdagangan manusia dan penemuan kubur dan mayat etnik Rohingya dan warga Bangladesh di kem-penyeludupan manusia sepanjang sempadan Malaysia dan Thailand pada Mei 2015 juga tidak diumumkan.

Malaysia juga mengekalkan usaha perlindungan yang tidak rata kepada mangsa pemerdagangan.

Myanmar, China, North Korea, Russia, Iran dan Syria adalah negara yang berada di Tahap 3 dalam laporan yang dikeluarkan itu.

Lihat Laman Penuh