Follow us

Laporan Anti-Pemerdagangan Manusia AS: Kedudukan Thailand Dinaikkan, Malaysia Diturunkan

Imran Vittachi
Washington, District of Columbia
2018-06-28
E-mel
Komen
Share
Anggota-anggota pasukan forensik polis memeriksa mayat yang ditemui di kubur tidak bertanda di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand di Wang Kelian, pinggir bandar di negeri utara Malaysia, 26 Mei 2015.
Anggota-anggota pasukan forensik polis memeriksa mayat yang ditemui di kubur tidak bertanda di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand di Wang Kelian, pinggir bandar di negeri utara Malaysia, 26 Mei 2015.
[AP]

Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) pada Khamis menaikkan kedudukan Thailand dalam penilaian tahunan tentang prestasi negara-negara di seluruh dunia melaksanakan usaha untuk menghentikan pemerdagangan manusia, tetapi menurunkan tahap Malaysia berbanding kedudukannya pada tahun sebelum itu.

Negara-negara Asia Tenggara berjiran itu, yang secara efektifnya bertukar tempat dalam kedudukan terbaru yang diputuskan oleh Jabatan Negara AS itu, menjadi tumpuan dalam skandal tiga tahun lalu apabila sejumlah kubur tidak bertanda yang menempatkan maat-mayat etnik Rohingya dan rakyat Bangladesh yang diperdagangkan ditemui di kem-kem hutan di kedua-dua sempadan bersama negara mereka .

Dalam Laporan Pemerdagangan Manusia (TIP) 2018 yang dikeluarkan di Washington pada  Khamis, jabatan itu menaikkan tahap Thailand daripada Senarai Pemantauan Tahap 2 kepada Tahap 2, dengan menyatakan bahawa walaupun Thailand tidak memenuhi standard minimum untuk menghapuskan pemerdagangan manusia pada 2017 namun, ia telah menunjukkan "peningkatan usaha" untuk memperbaiki prestasinya berbanding 2016, temasuk dengan mendakwa dan mensabitkan lebih banyak penyeludup manusia dan mengurangkan masa pendakwaan dalam kes tersebut.

Tetapi, Jabatan Negara itu menurunkan kedudukan Malaysia dengan menempatkannya dalam Senarai Pemantauan Tahap 2, hanya setahun selepas menaikkan kedudukannya ke Tahap 2.

Kerajaan Malaysia menunjukkan "usaha yang signifikan" dalam memerangi pemerdagangan manusia dengan mensabitkan lebih banyak penyeludup, antara langkah yang telah dilakukannya, tetapi "kerajaan tidak menunjukkan peningkatan usaha yang menyeluruh berbanding tahun sebelumnya," kata laporan itu.

Usaha perlindungan mangsa di Malaysia "masih kekal tidak mencukupi dan kerajaan mengenal pasti mangsa yang sedikit" berbanding pada 2016, kata laporan itu.

Menurut laporan  itu, keterlibatan pegawai penguatkuasaan undang-undang telah menjejaskan beberapa usaha anti-pemerdagangan manusia, dan pegawai yang bertanggungjawab nampaknya cuba mengelakkan pendakwaan dan hukuman.

Laporan itu turut menarik perhatian kepada skandal terdahulu yang pernah berlaku di sepanjang sempadan Thailand-Malaysia.

"Tidak ada pegawai Malaysia, termasuk pegawai yang disyaki terlibat, didakwa atas kemungkinan melakukan jenayah pemerdagangan manusia yang dibongkarkan di sempadan Thailand pada 2015," kata laporan itu.

Di seberang sempadan di Thailand, bagaimanapun, seramai 62 orang termasuk bekas jeneral tiga bintang tentera Thailand telah disabitkan kesalahan pada tahun lalu sebagai sebahagian daripada kes jenayah yang berpunca daripada penemuan kubur-kubur yang mengerikan dan kem-kem penyeludupan di hutan di sepanjang sempadan selatan dengan Malaysia pada Mei 2015.

Negara-negara yang diturunkan kedudukan ke Senarai Pemantauan Tahap 2 telah mengambil tindakan untuk melakukan usaha-usaha signifikan bagi memenuhi piawaian yang ditetapkan itu tetapi gagal memberikan bukti berhubung peningkatan usaha itu, menurut penjelasan Jabatan Negara mengenai empat tahap dalam sistem penarafannya. Laporan TIP menilai prestasi individu negara-negara dalam memerangi pemerdagangan manusia sepanjang tahun sebelumnya.

Negara Tahap 1 mematuhi sepenuhnya piawaian minimum dalam melindungi mangsa pemerdagangan manusia. Negara Tahap 2 melaksanakan usaha-usaha signifikan untuk memenuhi piawaian tersebut manakala negara-negara yang dikategorikan di bawah Tahap 3 menampilkan prestasi paling buruk dalam memerangi masalah tersebut.

Dalam penilaian terkini terhadap negara-negara lain di rantau ini, Jabatan Negara itu mengekalkan Bangladesh pada Senarai Pemantauan Tahap 2. Ia menyatakan bahawa keterlibatan pihak rasmi dalam jenayah pemerdagangan manusia "tetap menjadi masalah yang serius" dan menyatakan bahawa hanya satu penyeludup yang disabitkan kesalahan di negara itu tahun lepas.

Sementara itu, dua negara yang mempunyai penduduk paling ramai di Asia Selatan dan Asia Tenggara iaitu India dan Indonesia terus berada di Tahap 2 manakala Filipina diberikan kedudukan Tahap 1 bagi tahun ketiga berturut-turut.

Tetapi, berhubung laporan tentang Filipina, Laporan TIP itu mengkritik kerajaannya kerana tidak menambah baik "ketersediaan dan kualiti perkhidmatan perlindungan serta khidmat bantuan untuk mangsa pemerdagangan," seperti perkhidmatan kesihatan mental dan program latihan dan penempatan pekerjaan.

Lihat Laman Penuh