Malaysia kekal Tahap 3 Laporan Pemerdagangan Manusia

Kedudukan Malaysia tidak berubah kerana langkah menangani isu pemerdagangan manusia tidak mencukupi, menurut Laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat.
Noah Lee & Nisha David
2022.07.20
Kuala Lumpur
Malaysia kekal Tahap 3 Laporan Pemerdagangan Manusia Dua orang pekerja ladang warga Indonesia mengendali gerabak bermotor semasa membuat kutipan buah kelapa sawit yang telah siap dipetik, di Kampung Parit No. 6 di Batu Pahat, Johor, 3 Mei 2021.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Malaysia gagal untuk keluar daripada tahap terendah dalam laporan tahunan Washington mengenai usaha melawan kegiatan penyeludupan manusia tahun ini kerana Putrajaya tidak mengambil langkah mencukupi dalam menangani dakwaan pemerdagangan buruh di kalangan industri yang menggunakan tenaga kerja asing, menurut Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS).

Dalam pada itu, aktivis hak asasi pekerja asing kumpulan Migrant Care, Alex Ong pula berkata walaupun Malaysia mempunyai peruntukan perundangan baharu untuk menangani amalan buruh paksa dan pemerdagangan manusia di negara tersebut, Jabatan Tenaga Kerja di bawah Kementerian Sumber Manusia tidak serius dalam melaksanakan peraturan undang-undang tersebut.

Jabatan Negara Amerika Syarikat dalam Laporan Pemerdagangan Manusia (TIP) 2022 yang dikeluarkan pada Selasa berkata Malaysia kekal pada Tahap 3 - iaitu tahap yang paling rendah - kerana Putrajaya tidak memenuhi standard minima dalam menghapuskan aktiviti pemerdagangan manusia serta tidak melakukan usaha signifikan ke arah tersebut.

"Kerajaan Malaysia tidak memenuhi standard minima dalam menghapuskan aktiviti pemerdagangan (manusia) serta tidak menjalankan usaha signifikan ke arah itu, walaupun setelah diambil kira impak pandemik COVID-19 kepada kebolehan kerajaan untuk menghalang kegiatan pemerdagangan manusia.

"Oleh itu, Malaysia kekal pada Tahap 3," kata laporan itu, yang disiarkan di laman sesawang Jabatan Negara AS pada Selasa.

Pihak berkuasa AS itu bagaimanapun memperakui bahawa Putrajaya ada mengambil beberapa langkah untuk menangani masalah penyeludupan manusia, termasuk membuat pindaan ke atas undang-undang anti-pemerdagangan dan Akta Buruh bagi meliputi definisi buruh paksa yang lebih meluas, sabitan bersalah ke atas lebih ramai penyeludup berbanding pada tahun sebelumnya, serta mengadakan satu Pelan Tindakan Kebangsaan AntiPemerdagangan Orang untuk tempoh lima tahun antara 2021 dan 2025.

"Bagaimanapun, kerajaan Malaysia terus mencampuradukkan jenayah pemerdagangan manusia dengan penyeludupan tenaga kerja asing, satu perkara yang menghalang usaha penguatkuasaan undang-undang dan usaha mengenalpasti mangsa.

“Siasatan terhadap aktiviti pemerdagangan manusia juga telah berkurangan, selain kerajaan juga tidak mendakwa atau mensabitkan pegawai kerajaan yang dikatakan terlibat dengan jenayah pemerdagangan manusia," demikian kata laporan berkenaan.

Malaysia sebelum ini berada dalam Senarai Pemerhatian Tahap 2 selama tiga tahun, sebelum diturunkan ke Tahap 3 dalam Laporan TIP 2021.

Pengekalan Tahap 3 dalam Laporan TIP 2022 itu meletakkan Malaysia bersama-sama dalam satu kumpulan dengan 21 negara lain termasuk Afghanistan, Brunei, Burma, Kemboja, China, Cuba, Korea Utara, Syria, Rusia, Venezuela dan Vietnam.

Laporan TIP itu mengenal pasti negara terbaik berada pada Tahap 1 dan paling teruk pada Tahap 3.

Negara Tahap 1 mematuhi sepenuhnya piawaian minimum dalam melindungi mangsa pemerdagangan manusia. Negara Tahap 2 melaksanakan usaha-usaha signifikan untuk memenuhi piawaian tersebut manakala negara-negara yang dikategorikan di bawah Tahap 3 menampilkan prestasi paling buruk dalam memerangi masalah tersebut.

Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri Malaysia tidak memberikan sebarang komen terhadap Laporan TIP terbaru dikeluarkan Washington itu, manakala pihak Polis DiRaja Malaysia menyatakan bahawa satu sidang media akan diadakan dalam masa terdekat mengenai perkara tersebut.

Prestasi rendah

Sementara itu, Alex Ong, penyelaras pertubuhan bukan kerajaan yang membela hak pekerja asing Migrant Care, ketika dihubungi BenarNews mendakwa bahawa prestasi rendah Malaysia dalam TIP 2022 itu disebabkan beberapa faktor, termasuk kadar kejayaan yang rendah dalam membuat pendakwaan terhadap kes pemerdagangan manusia.

"Kebanyakan kes pemerdagangan manusia sebaliknya telah berubah menjadi kes pertikaian buruh, dan bukan penyeludupan.

"Negara juga perlu mengubah struktur birokrat dalam Jabatan Tenaga Kerja yang gagal menangani kelompongan pelaksanaan serta keberkesanan polisi kerajaan. Ia sudah menjadi norma untuk (jabatan itu) mencari alasan dan menyalahkan agensi lain berbanding mencari jalan penyelesaian," kata Ong.

Beliau mendakwa bahawa polisi kerajaan yang kurang baik telah mewujudkan defisit pekerja asing yang tidak dapat dipenuhi. Ini termasuk kekurangan pekerja asing di sektor perladangan yang mempunyai permintaan sekurang-kurangnya 300,000 buruh.

"Masalah kepimpinan dalam Jabatan Tenaga Kerja juga menyebabkan ketidakseriusan dalam melaksana polisi kerajaan. Selain itu, amalan tidak baik di kalangan agensi penguatkuasaan telah membuka peluang rasuah dan eksploitasi manusia," tambah aktivis itu lagi.

Sebelum ini, isu pemerdagangan manusia dan buruh paksa juga telah menyebabkan beberapa syarikat gergasi Malaysia yang terlibat dalam sektor pembuatan sarung tangan getah dan minyak sawit diambil tindakan oleh pihak berkuasa kastam AS, termasuk sekatan import dan rampasan produk yang dipercayai dibuat menggunakan elemen buruh paksa.

Antaranya ialah Sime Darby Plantation yang diambil tindakan pada Januari lepas oleh pihak berkuasa Kastam dan Perlindungan Sempadan AS selepas ia menemui terdapatnya penggunaan buruh paksa dalam produk keluaran konglomerat pengeluar minyak sawit terbesar berkenaan.

Selain itu, beberapa syarikat pengeluar sarung tangan getah seperti Kumpulan YTY, WRP Asia Pacific Sdn. Bhd serta Top Glove Corporation Bhd juga pernah dikenakan sekatan import oleh AS atas dakwaan serupa.

Dalam usaha untuk menangani isu buruh paksa dalam pelbagai sektor, kerajaan Malaysia bersama Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) pada tahun lepas telah bekerjasama merangka satu pelan tindakan nasional, bertujuan mencari kaedah terbaik untuk mengatasi isu berkaitan buruh paksa.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.