Ancaman IS: Tentera Laut Malaysia Tubuh Pasukan Siber

Staf BeritaBenar
2015.12.17
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
151217-MY-TLDM620 Seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia TLDM)semasa bertugas di perkarangan bangunan Kementerian Pertahanan di Kuala Lumpur. 12 Mei 2014
AFP

Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM)  menubuhkan pasukan siber   dianggotai oleh pakarnya sendiri, sebagai usaha mengekang penyebaran ideologi militan Negara Islam (IS) dalam kalangan anggotanya.

Panglima TLDM Laksamana Ahmad Kamarulzaman Ahmad Baharuddin berkata, penubuhan pasukan itu merupakan inisiatif TLDM dalam usaha memantau anggotanya daripada terlibat dalam sebarang aktiviti berkaitan militan IS.

Katanya, pasukan itu akan dianggotai oleh beberapa pakar siber TLDM.

"Kita memantau anggota TLDM melalui laman-laman web media sosial...sekiranya terdapat unsur-unsur penyebaran ideologi IS, anggota terbabit akan dipanggil untuk melalui proses kaunseling," kata beliau di Kuala Lumpur pada Khamis.

Penubuhan pasukan itu juga dilihat bertepatan dengan waktunya berikutan penahanan beberapa anggota TLDM oleh pihak berkuasa kerana dipercayai terlibat dalam IS.

Pada Jun 2014, seorang anggota TLDM adalah antara mereka yang ditahan oleh Bahagian Counter Terrorism, Polis  DiRaja Malaysia (PDRM) kerana mempunyai kaitan dengan kumpulan militan di Sandakan, Sabah.

Pada April lepas, Panglima Tentera Laut ketika itu Laksamana Abdul Azizi Jaafar  berkata, beberapa anggota TLDM  sedang disiasat oleh PDRM berhubung penglibatan mereka dalam kumpulan militan IS.

Tanpa menyatakan jumlah anggota TLDM yang ditahan, beliau berkata, mereka ditahan kerana penglibatan dalam media sosial yang cenderung dan mirip IS.

Pada Ogos lepas, seorang anggota TLDM adalah antara 10 individu termasuk empat anggota Tentera Darat yang ditahan polis di enam lokasi di Semenanjung Malaysia, kerana dipercayai terlibat dengan kumpulan militan.

Sementara itu, Ahmad Kamarulzaman berkata, TLDM juga akan menggerakkan Kor Agama untuk mengadakan jelajah ke semua pangkalan tentera laut di seluruh negara dalam usaha memberi penerangan tentang ancaman ideologi IS kepada anggotanya.

“Dapatkan ilmu keagamaan dari sumber yang bertauliah. Elakkan dari dipengaruhi propaganda IS yang serong dan membinasakan,” kata beliau dalam akaun Twitter beliau pada Khamis.

Pada September lalu, Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein mengesahkan seramai 11 anggota tentera telah ditahan kerana terlibat dalam kumpulan militan IS sejak dua tahun lepas.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi semasa berucap di Parlimen pada Oktober lepas berkata, seramai 132 individu telah ditahan kerana disyaki terlibat dengan eleman keganasan termasuk kumpulan militan IS.

Daripada jumlah itu, seramai 22 orang ditahan mengikut Akta Pencegahan Keganasan (PoCA),  seramai 38 telah dibebaskan,  sebanyak 48 orang sudah didakwa, 14 orang diusir pulang ke negara mereka, manakala seorang lagi masih dalam siasatan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.