Tiga Anggota TLDM Dituduh Bunuh, Cederakan Dua Rakan

Hata Wahari
2017.10.13
Kuala Lumpur
171013-my-tldm620.jpg Dua daripada tiga anggota TLDM dibawa keluar dari mahkamah selepas dituduh membunuh dan mencederakan anggota TLDM di Mahkamah Majistret Seri Manjung di Perak, 13 Okt. 2017.
(Hata Wahari/BeritaBenar)

Seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seri Manjung, Perak pada Jumaat atas tuduhan membunuh dua anggota yang berpangkat Laskar Kelas Pertama di Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi, Sitiawan, Perak baru-baru ini.

Laskar Kanan Muhd Izhrifikri Roslee, 29, dituduh membunuh Nik Muhammad Baihaqy Nik Mat, 28 dan Muhammad Lailaltuiman Mohd Sukri, 26  di antara pukul 10.30 pagi hingga 3.20 petang, 29 September tahun ini.

Muhd Izhrifikri dilihat hanya menganggukkan kepala tanda memahami sebaik sahaja kedua-dua pertuduhan itu dibacakan secara berasingan oleh pegawai mahkamah di hadapan Majistret Nur Syaqira Ibrahim.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada Muhd. Izhrifikri .

Pendakwaan dijalankan oleh Ketua Unit Pendakwaraya Perak, Yusaini Amer Abd. Karim yang mendakwa Muhd Izhrifikri di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 12 Disember depan untuk sebutan semula kes tersebut.

Sementara itu, dua lagi anggota, Laskar Kanan TLDM, Hamzah Zakaria, 35, dan Mohd Farid Musa, 32, yang juga bertugas sebagai pengawal bilik tahanan ketika kejadian, didakwa atas tuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Nik Muhammad Baihaqy dan Muhammad Lailaltuiman di mahkamah yang sama.

Hamzah dan Mohd Farid didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Ketiga-tiga tertuduh merupakan pengawal bilik tahanan di bilik tahanan TLDM Sungai Wangi, Sitiawan, Perak, kira-kira 146 batu dari ibunegara Kuala Lumpur.

Kedua-duanya mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas tuduhan tersebut dengan Majistret Nur Syaqira menetapkan jaminan RM4,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 30 Oktober.

Hujung September lepas, Nik Muhammad Baihaqy Nik Mat, 29 dan Muhammad Lailal Tuiman Mohd Sukri, 26, meninggal dunia dan kematian mereka telah diklasifikasikan sebagai kematian mengejut tetapi laporan bedah siasat menunjukkan kedua-dua mangsa mati akibat pendarahan dalaman dipercayai didera.

Sehubungan dengan itu lima anggota TLDM ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung kematian dua anggotanya manakala dua lagi mengalami kecederaan semasa berada di bilik tahanan unit TLDM berkenaan, dipercayai akibat penderaan.

BeritaBenar di fahamkan bahawa keempat-empat anggota yang terlibat dalam penderaan itu merupakan anggota dari kumpulan elit Pasukan Khas Laut (PASKAL) TLDM

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak, Gan Tian Kee Tian Kee dalam satu kenyataan berkata, “Hasil bedah siasat mengenai punca kematian Nik Muhammad Baihaqy dan Muhammat Lailal Tuiman adalah disebabkan berlakunya 'pendarahan paru-paru serta trauma tumpul pada tisu lembut', semasa mereka didera dalam tahanan pihak polis tentera itu.

Sementara itu, Zalil Mohd Mess yang merupakan peguam pemerhati kepada keluarga Muhammad Lailaltuiman memberitahu mahkamah, bahawa permohonan telah dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tentera.

Zalil memberitahu, permohonan itu dibuat memandangkan kes itu jika dibicarakan di mahkamah awam akan mengambil masa sehingga 10 tahun untuk diselesaikan tetapi jika dibicarakan di mahkamah tentera akan mengambil masa yang lebih pendek.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.