Terbang salah ketinggian punca utama dua helikopter tentera laut Malaysia terhempas
2024.05.30
Kuala Lumpur
Lembaga siasatan insiden helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam laporan akhirnya pada Khamis merumuskan salah sebuah helikopter yang terlibat dalam pelanggaran udara semasa sesi raptai lintas hormat di Lumut, Perak tidak berada pada ketinggian dan haluan yang ditetapkan dan ia merupakan faktor utama kemalangan itu berlaku sehingga mengorbankan kesemua 10 anggota tentera laut itu, pada April lalu.
Bagaimanapun, penyiasat tidak dapat menentukan bahawa nahas tersebut disebabkan faktor kesilapan manusia kerana pesawat Fennec yang salah ketinggian dan haluan itu tidak dilengkapi dengan kotak hitam sehingga tiada data dapat diketahui mengenai kejadian berkenaan, kata laporan tersebut.
Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Abdul Rahman Ayob berkata laporan siasatan itu tidak menyatakan mengenai faktor kesilapan manusia kerana tiada bukti sedemikian ditemui oleh pihak berkuasa semasa siasatan nahas dijalankan.
"…Dalam laporan kita tidak nyatakan langsung human error (kesilapan manusia). Laporan yang dibuat cuma menyatakan Fennec tidak berada pada ketinggian dan haluan yang ditetapkan.
"Kenapa diputuskan sedemikian? Kerana pesawat Fennec tidak ada data atau statement (kenyataan) yang boleh merumus atau mengaitkan dengan human error oleh pilot (juruterbang) Fennec," katanya semasa mengumumkan hasil laporan akhir itu di Kementerian Pertahanan di Kuala Lumpur pada Khamis.
Dalam kejadian pada 23 April lalu, Helikopter Operasi Maritim (HOM) AgustaWestland AW-139 dan Eurocopter AS555SN Fennec bertembung di udara sebelum terhempas semasa raptai lintas hormat sempena Hari Ulang Tahun TLDM ke-90 di Pangkalan Tentera Laut Malaysia di Lumut, Perak.
Nahas itu menyebabkan tujuh kru dalam pesawat AW139 manakala tiga lagi yang menaiki helikopter Fennec disahkan maut di tempat di kejadian.
Menurut kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh TLDM, laporan akhir lembaga siasatan itu menyatakan terdapat dua punca yang menyebabkan kemalangan udara di pangkalan TLDM itu.
"Setelah diteliti, Lembaga Siasatan telah membuat kesimpulan bahawa faktor penyebab kemalangan yang utama adalah (disebabkan) pesawat Fennec tidak berada pada ketinggian dan haluan yang telah ditetapkan serta memasuki laluan pesawat AW139.
"Faktor sekunder pula adalah disebabkan 'channelised attention' oleh kru pesawat AW139 yang tertumpu ke arah penukaran haluan telah mengehadkan reaksi mengelak pelanggaran," kata kenyataan tersebut.
Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Abdul Rahman Ayob pada sidang media mengumumkan laporan akhir siasatan insiden nahas udara dua helikopter TLDM di Kuala Lumpur, 30 Mei 2024. [S. Mahfuz/BenarNews]
Lembaga siasatan yang ditubuhkan pada hari kejadian mengambil masa kira-kira sebulan untuk menjalankan siasatan, termasuk analisis terhadap kotak hitam pesawat AW139 serta simulasi penerbangan menggunakan mesin simulator dan penerbangan sebenar.
Pihak berkuasa itu mendapati bahawa kesemua kru udara terlibat mempunyai tahap kesihatan yang baik untuk mengendalikan pesawat, manakala kedua-dua helikopter juga telah diselenggara mengikut prosedur dan rutin yang ditetapkan.
Analisis kotak hitam
Berdasarkan laporan analisis kotak hitam, lembaga siasatan mendapati pesawat AW139 tidak mengalami sebarang masalah teknikal, manakala bagi pesawat Fennec yang tidak dilengkapi kotak hitam, ia telah ditentukan tidak mengalami masalah teknikal melalui analisis visual dan bunyi serta dokumentasi.
“Keadaan cuaca pada hari kejadian adalah baik dan sesuai untuk melaksanakan penerbangan,” kata laporan itu.
Siasatan juga mendapati laporan autopsi mengesahkan tiada isu berkaitan hypoglycemia (faktor kekurangan gula dalam darah) atau unsur-unsur keletihan terhadap semua kru atau melibatkan penggunaan bahan terlarang.
Siasatan yang dilakukan secara komprehensif turut mengesahkan kesemua kru terbabit mempunyai tahap kemampuan yang baik untuk melakukan penerbangan atau ‘fit to fly’.
“Kematian kesemua 10 mangsa adalah berpunca daripada pelbagai kecederaan akibat nahas udara,” kata laporan itu.
Kejadian itu menyaksikan 10 pegawai pelbagai pangkat yang berpangkalan di Lumut dan Kota Kinabalu, Sabah terkorban.
Senarai rasmi yang dikeluarkan oleh TLDM menyatakan mangsa yang terkorban di dalam helikopter AW-139 ialah Muhammad Firdaus Ramli, Wan Rezaudeen Kamal Zainal Abidin, Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi, Muhammad Faisol Tamadun, Noorfarahimi Mohd Saedy, Noor Rahiza Anuar dan Joanna Felicia Rohna.
Mangsa yang menaiki helikopter Fennec pula ialah Muhamad Amir Mohamad, Sivasutan Thanjappan dan Mohd Shahrizan Mohd Termizi.
Mereka merupakan sebahagian daripada pegawai tentera laut yang terlibat dalam latihan bagi menyambut ulang tahun ke-90 TLDM yang dijadual berlangsung di Lumut pada 27 April. Acara tersebut bagaimanapun telah dibatalkan ekoran nahas tersebut.
Sementara itu, waris salah seorang mangsa menyatakan bahawa keluarganya menerima dan akur dengan hasil siasatan itu.
Noryani Tamadun, 50, kakak kepada Muhammad Faisol, berkata mereka menerima ketentuan Tuhan dan berharap keluarga mangsa yang lain juga dapat bersabar dengan apa yang telah berlaku.
"Kami ada baca laporan di media tadi. Saya menerima ketentuan qada dan qadar Ilahi yang sudah tertulis untuk adik bongsu saya.
"Kami sekeluarga menerima keputusan laporan akhir siasatan punca nahas helikopter hari ini segala-galanya sudah berlaku kami reda. Saya harap keluarga mangsa yang lain pun dapat menerima dengan baik dan bersabar," kata beliau kepada BenarNews.