TLDM: Lima Ditahan Reman Bantu Siasatan Kematian dan Kecederaan

Hata Wahari
2017.10.02
Kuala Lumpur
tldm.jpeg Seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia [TLDM] semasa bertugas di perkarangan bangunan Kementerian Pertahanan di Kuala Lumpur. 12 Mei 2014.
[AFP]

Lima anggota Tentera Laut Diraja Malaysia [TLDM] ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung kematian dua anggotanya manakala dua lagi mengalami kecederaan semasa berada di Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi, Sitiawan, Perak, dipercayai akibat penderaan.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Seri Manjung terhadap kelima-lima lelaki berusia antara 29 dan 44 tahun pada Ahad dan Isnin.

Pada Jumaat lalu, dua anggota dikenali sebagai Laskar Kelas Pertama Nik Muhammad Baihaqy Nik Mat, 29 dan Muhammad Lailal Tuiman Mohd Sukri, 26, meninggal dunia dan kes itu telah diklasifikasikan sebagai kematian mengejut tetapi laporan bedah siasat menunjukkan kedua-dua mangsa mati akibat pendarahan dalaman dipercayai didera.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak, Gan Tian Kee Tian Kee memberitahu tiga suspek pertama, yang juga merupakan anggota TLDM yang bertugas di bilik tahanan itu, telah ditahan reman selama tujuh hari bermula Sabtu lepas bagi membantu siasatan berhubung kematian Nik Muhammad Baihaqy dan  Muhammat Lailal Tuiman dalam bilik tahanan polis tentera itu.

Sementara itu Ketua Polis Perak Hasnan Hassan mengesahkan mengenai dua lagi anggota TLDM yang bertugas di bilik tahanan itu turut ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung kecederaan melibatkan dua lagi anggota TLDM dalam bilik tahanan yang sama, yang kini sedang menerima rawatan di hospital.

BeritaBenar di fahamkan bahawa keempat-empat anggota yang terlibat dalam penderaan itu merupakan anggota dari kumpulan elit Pasukan Khas Laut (PASKAL) TLDM

“Hasil bedah siasat mengenai punca kematian Nik Muhammad Baihaqy dan  Muhammat Lailal Tuiman adalah disebabkan berlakunya 'pendarahan paru-paru serta trauma tumpul pada tisu lembut', semasa mereka didera dalam tahanan pihak polis tentera itu,”

“Siasatan melibatkan kes itu kini ditukar dan diklasifikasi sebagai membunuh menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” kata Tian Kee

Beliau juga menambah dengan berkata, polis turut memeriksa lapan rakaman percakapan tahanan yang terdapat dilokasi kejadian serta bersama 11 pengawal bilik tahanan yang bertugas di tempat kejadian.

Katanya, pihak polis telah merampas set CCTV, tujuh T-baton, satu buku log bertugas, buku log SOP (perintah tetap bilik tahanan Unit Sg Wangi) dan tiga  buah telefon bimbit.

Sementara itu Panglima Tentera Laut, Jeneral Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin mengesahkan bahawa kedua-dua anggota TLDM yang meninggal dunia pada Jumaat sebelum dimasukan ke dalam bilik tahanan berada dalam keadaan sihat.

Katanya dalam satu kenyataan bahawa, perintah tetap TLDM mengkehendaki setiap anggota menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum dimasukan ke pusat tahanan.

Manakala Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Raja Mohamed Affandi Raja Mohamaed menegaskan pada Isnin ketika ditemui selepas Majlis Perbarisan Hari Pahlawan di Putrajaya bahawa penderaan bukan sebahagian dari budaya TLDM.

Katanya, sekiranya budaya penderaan sebahagian daripada TLDM maka akan berlaku kematian setiap hari di bilik tahanan  sambil menegaskan ia merupakan kes terpencil.

“Setiap bilik tahanan tentera di seluruh negara perlu mematuhi perintah tetap dimana setiap anggota yang perlu menjalani tahanan hendaklah dihantar menjalani pemeriksaan kesihatan, bagaimanapun kita menyedari tidak semua yang mematuhi perintah tetap ini,” jelasnya.

Beliau memberitahu, pihaknya menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan dan akan membantu sebaik mungkin untuk menyelesaikan kes tersebut.

'Tidak sembunyi maklumat'

Dalam pada itu, Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein berjanji yang Kementerian itu tidak akan menyembunyikan sebarang maklumat berhubung siasatan kematian dua anggota itu.

"Saya telah arah TLDM untuk beri sepenuh kerjasama kepada pihak PDRM untuk lakukan siasatan. Tiada perkara akan disembunyikan. Itu janji saya.

"Saya konsisten bahawa tiada sesiapa akan terlepas daripada tindakan undang-undang jika didapati bersalah. Buat masa ini, biar pihak PDRM teruskan siasatan," kata beliau dalam laman Twitter rasminya pada Isnin.

Dalam pada itu,  Mohamad Imran Abdul Hamid, bekas Laksamana Tentera Laut dan kini merupakan seorang ahli parlimen pembangkang menegaskan, TLDM perlu memastikan perintah tetap dan anggota-anggota yang ditugas di bilik tahanan mematuhi dan tidak menggunakan kekerasan terhadap anggota yang ditahan.

“Menggunakan kekerasan kepada anggota merupakan satu tindakan tidak berdisiplin  dan sama ada mereka bersalah atau tidak itu bergantung kepada siasatan pihak polis,” katanya kepada BeritaBenar pada Isnin.

Katanya, kebanyakan anggota yang ditahan dibilik tahanan hanya melakukan kesalahan disiplin maka perintah tetap telah memberi garis panduan latihan yang perlu mereka jalani semasa didalam bilik tahanan.

Beliau meminta TLDM bantuan diberikan kepada keluarga anggota yang meninggal dunia dan anggota yang cedera kerana dipercayai didera.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.