Malaysia Laksana Semula Ujian Misil Semasa Latihan Di Laut China Selatan

Ali Nufael
2019.07.24
Kuala Lumpur, Malaysia
190724-MY-Missile-Test1000.jpg Misil Exocet ditembak dari sebuah kapal Malaysia semasa satu latihan ketenteraan di Laut China Selatan, 16 Julai 2019.
[Tentera Laut Diraja Malaysia]

Malaysia melaksanakan semula ujian tembakan misil anti-kapal di Laut China Selatan selepas Beijing menguji sekurang-kurangnya satu misil di kawasan sekitar Kepulauan Spratly, namun penganalisis pada Rabu yakin tindakan ketenteraan itu tidak akan mencetuskan ketegangan.

Tembakan misil itu diadakan sebagai sebahagian daripada latihan besar di laluan perairan yang menjadi pertikaian itu, dan latihan itu dilaksanakan semula setelah dihentikan beberapa tahun berikutan faktor kos, kata Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia Laksamana Mohd Reza Mohd Sany kepada pemberita pada taklimat media minggu ini. China dan Malaysia adalah antara enam negara yang membuat tuntutan bertindih di Laut China Selatan.

"Kali terakhir misil dilepaskan ialah pada 2014. Selepas lima tahun, ia memberi kami peluang untuk menguji kesiapsiagaan peluru berpandu kami, platform peluru berpandu serta anggota yang ditugaskan," katanya kepada pemberita. "Peluru berpandu berkenaan menepati sasaran."

Tembakan misil itu dilaksanakan semasa Eksesais KerisMas. Ia disertai 12 kapal, sebuah kapal selam, empat helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia, empat pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia dan dua kapal pengangkut Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, kata laksamana itu.

Kira-kira 3,000 anggota terlibat dalam latihan  yang bermula dari 1 hingga 18 Julai. Antara latihan utamanya adalah tembakan misil Exocet MM40 Block II dari sebuah kapal dan misil Sea Skua dari sebuah helikopter.

Mohd Reza berkata eksesais itu adalah satu latihan standard dan tidak harus dilihat sebagai tindakan pencerobohan.

"Ia begitu penting bagi Tentera Laut Diraja Malaysia dalam membuktikan keupayaan kami kepada orang ramai dan negara-negara lain di rantau ini," katanya. "Selain itu, ia menunjukkan bahawa kami berada dalam kesiapsiagaan tertinggi untuk memastikan sistem aset dan senjata kami berfungsi."

Pada Jun lalu, semasa kerajaan China mengumumkan bahawa ia akan menjalankan latihan selama dua hari di Laut China Selatan, menteri pertahanannya memberi amaran bahawa negara itu akan "mengambil tindakan tegas " bagi mempertahankan tuntutan Beijing ke atas laluan perairan itu.

Sementara itu, pegawai Amerika Syarikat mendakwa bahawa China telah melakukan ujian peluru berpandu dari struktur buatan manusia berdekatan gugusan kepulauan yang menjadi pertikaian di Laut China Selatan pada akhir Jun lalu.

"Pentagon sedar tentang pelancaran peluru berpandu China dari struktur buatan manusia di Laut China Selatan berhampiran Kepulauan Spratly," jurucakap Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat Lt Kol David Eastburn dipetik sebagai berkata.

China menuntut sebahagian besar perairan yang kaya mineral itu, yang menjadi laluan paling utama perkapalan antarabangsa di dunia. Malaysia, Filipina, Brunei, Vietnam dan Taiwan turut membuat tuntutan bertindih ke atas wilayah itu.

Eksesais yang mahal


Lt. Kol Bersara Ahmad Ghazali Abu Hassan, penganalisis keselamatan, bersetuju dengan Mohd Reza bahawa latihan itu tidak akan menimbulkan ketegangan di rantau maritim itu. Beliau berkata tidak mungkin Malaysia mahu menimbulkan sebarang masalah dengan China.

"Seperti yang dikatakan oleh perdana menteri, kita tidak berminat dengan konflik antara kuasa-kuasa besar. Kita hanya mahu memperkukuhkan kedaulatan negara kita di bawah Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut 1982, di mana kita akan bersungguh-sungguh mempertahankan perairan kita."

"Pertikaian China adalah dengan Amerika Syarikat, seperti yang diperkatakan oleh Perdana Menteri Mahathir Mohamad 'kita tidak akan melibatkan diri tetapi kita berharap ia tidak akan berpanjangan' kerana kita mahu menjaga Laut China Selatan sebagai zon aman dan berkecuali," kata Ahmad Ghazali kepada BeritaBenar.

Kerajaan, katanya, menghabiskan banyak wang untuk mengadakan eksesais itu.

"Ia mahal. Eksesais tentera laut adalah yang paling mahal bagi angkatan bersenjata. Satu peluru berpandu boleh mencecah hampir RM1 juta (AS$243,000). Jika tiga peluru berpandu dilancarkan, kosnya lebih tinggi," kata beliau.

Ahmad Ghazali juga mendedahkan bahawa misil Exocet MM40 berada dalam inventori Tentera Laut Diraja Malaysia sejak 2000.

"Setiap peluru berpandu mempunyai tarikh luput sendiri. Memandangkan ia telah lama berada dalam senarai inventori, oleh itu, sudah tiba masanya ia digunakan dalam latihan," tambahnya lagi.

Penganalisis keselamatan lain, Lim Yew Ming dari Universiti Malaysia Sabah, berkata China tidak akan melihat latihan itu sebagai tindakan pencerobohan.

"Ia adalah latihan biasa. Saya tidak nampak mengapa China perlu merasa gelisah kerana ia adalah perkara biasa. China juga melaksanakan latihan sedemikian," katanya kepada BeritaBenar. "Malah, China juga kurang tegas terhadap kita berbanding Vietnam atau Filipina."

Kedua-dua penganalisis itu bersetuju bahawa Malaysia menganggap China sebagai rakan dagang yang utuh.

"Malaysia dan China menjalinkan hubungan rapat semasa kerajaan bekas Perdana Menteri Najib Razak dan kerajaan baru sekarang, walaupun ada sedikit ketegangan sebelum ini, telah menemui cara untuk bertindak dengan lebih baik," kata Lim.

Ahmad Ghazali pula berpendapat Malaysia tidak pernah berpihak kepada Amerika Syarikat atau China dalam pertikaian mereka kerana kerajaan sedar tentang risikonya.

"Malaysia berdagang dengan China dan Amerika Syarikat. Kita menjalinkan hubungan dengan Amerika Syarikat dan China apabila ia berkaitan dengan perdagangan, budaya dan pelancongan," katanya.

"Kita tidak boleh bertindak memihak kerana ia hanya membawa lebih banyak risiko. Apa yang saya tahu, kita tidak mempunyai masalah pun sama ada dengan China atau Amerika Syarikat. "


Radzi Razak di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.