Malaysia perbaiki pencapaian Indeks Persepsi Rasuah antarabangsa
2024.01.30
Kuala Lumpur

Malaysia membaiki kedudukan dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) antarabangsa yang dikeluarkan oleh Transparency International (TI) dengan mencatatkan skor 50 mata pada 2023 berbanding 47 mata pada tahun sebelumnya.
Pencapaian tersebut turut meletakkan negara itu pada kedudukan tangga ke-57 daripada keseluruhan 180 negara, meningkat berbanding tangga ke-61 pada CPI 2022.
Presiden TI-Malaysia (TI-M) Muhammad Mohan berkata lonjakan itu disumbangkan oleh tindakan tegas mendakwa beberapa ahli politik berprofil tinggi, namun beliau turut menyuarakan keresahan mengenai “perkembangan yang membimbangkan” sejak akhir-akhir ini.
“Peranan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Peguam Negara mendakwa beberapa ahli politik berprofil tinggi termasuk bekas perdana menteri merupakan antara pendorong kepada lonjakan skor CPI.
“Faktor lain yang turut menyumbang adalah kedudukan badan kehakiman negara yang bebas,” katanya kepada media ketika membentangkan laporan berkenaan pada Isnin.
Menurut beliau lagi, faktor lain yang mungkin turut menyumbang kepada penambahbaikan itu adalah proses peralihan kuasa yang lancar dalam pilihan raya umum ke-15 serta penglibatan pengundi muda 18 tahun dalam proses pilihan raya.
Sejak tahun 2019, kedudukan Malaysia dalam persepsi rasuah antarabangsa merudum setelah jatuh enam mata selama tiga tahun berturut-turut.
CPI dinilai berdasarkan 13 tinjauan dan penilaian pakar yang mengukur tahap andaian amalan rasuah di dalam sektor awam di 180 buah negara dan wilayah di seluruh dunia.
Denmark berada pada kedudukan teratas dengan 90 mata, diikuti oleh Finland (87 mata) dan New Zealand (85 mata) bagi tinjauan 2023 manakala Syria, Venezuela dan Somalia berada pada tangga tercorot.
Mengulas mengenai laporan CPI, SPRM berkata suruhanjaya itu komited untuk terus membanteras amalan rasuah di negara itu.
“SPRM komited dan bertekad untuk meneruskan usaha pencegahan dan operasi bagi menghapuskan gejala rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan dalam bidang kuasanya sebagai agensi penguat kuasa tunggal yang diamanahkan untuk membasmi rasuah di negara ini.
“Sehubungan itu, SPRM menyeru semua pihak agar meneruskan kerjasama serta memainkan peranan masing-masing, di samping mempunyai iltizam politik untuk menambahbaik strategi pencegahan dan pengurusan tata kelola baik demi mencapai hasrat kerajaan untuk meletakkan Malaysia pada kedudukan ke-25 dalam pengukuran CP| menjelang 2033,” ujar SPRM dalam kenyataan berkenaan.
Malaysia Corruption Watch (MCW) sebuah badan bebas pemantau rasuah mengucapkan tahniah kepada SPRM dan Peguam Negara di atas pencapaian Malaysia.
Begitupun, CWM menegaskan kerajaan perlu menangani isu-isu berkaitan persepsi rasuah, termasuk keputusan melibatkan pemimpin politik.
“Walau bagaimanapun, terdapat isu-isu berkaitan persepsi rasuah yang masih belum selesai, termasuk keputusan proses undang-undang yang berkaitan dengan pemimpin politik.
“Rancangan jangka panjang dan kerjasama diperlukan untuk mencapai sasaran meningkatkan kedudukan Malaysia dalam CPI,” ujar CWM dalam satu kenyataan pada Selasa.
Perkembangan membimbangkan
Di sebalik pencapaian Malaysia bagi 2023, TI-M menyuarakan kebimbangan mengenai apa yang disifatkan sebagai “perkembangan membimbangkan”.
Muhammad menzahirkan kebimbangan keputusan membebaskan tanpa melepaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduan rasuah membabitkan Yayasan Akalbudi mungkin akan memberi kesan kepada kedudukan Malaysia untuk tinjauan bagi tahun 2024.
“Kebimbangan saya yang terbesar adalah kedudukan kita dalam CPI (bagi 2024) mungkin akan merosot. Justeru, jangan terlalu gembira apabila kita melonjak tiga mata. Ini yang ingin saya tekankan di sini pada hari ini,” ujarnya kepada media.
Beliau menyeru kerajaan untuk plan yang jelas dalam mencapai sasaran Malaysia berada pada kedudukan 25 teratas dalam senarai CPI menjelang tahun 2023.
“Biarpun kerajaan telah menetapkan sasaran CPI yang tinggi dalam tempoh 10 tahun, kerajaan belum menerangkan bagaimana Malaysia mahu mencapainya.
“Tanpa perancangan yang jelas dengan sasaran pencapaian dan sasaran kecil bagi tempoh 10 tahun akan datang, kita mungkin akan kecewa, seperti mana sasaran-sasaran CPI yang tidak dicapai sebelum ini,” jelasnya lagi.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan mengenai kekurangan ketelusan dalam pembangunan projek-projek mega di negara itu seperti projek MRT3 dan HSR.
MRT3 adalah cadangan pembangunan projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) dengan anggaran kos sebanyak RM50.2 bilion manakala HSR pula adalah cadangan pembangunan keretapi laju menghubungkan Singapura dan Kuala Lumpur sepanjang 350 kilometer dengan aggaran kos melebihi RM100 billion.
Pada awal 2021, Malaysia dan Singapura telah menamatkan projek berkenaan setelah kedua-dua negara berjiran gagal mencapai kata sepakat berhubung perubahan dicadangkan Malaysia.