Follow us

Malaysia Cabar Keputusan Tribunal Timbang Tara di Mahkamah Tinggi London

Hadi Azmi
Kuala Lumpur, Malaysia
2018-10-30
E-mel
Komen
Share
Peguam Negara Malaysia Tommy Thomas, dua dari kanan, mengetuai pendakwaan terhadap bekas perdana menteri semasa bercakap kepada media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, 4 Julai 2018.
Peguam Negara Malaysia Tommy Thomas, dua dari kanan, mengetuai pendakwaan terhadap bekas perdana menteri semasa bercakap kepada media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, 4 Julai 2018.
AP

Malaysia akan mencabar keputusan Tribunal Timbang Tara di Mahkamah Tinggi London, yang meminta syarikat dana negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membayar balik pinjaman AS$5.78 bilion kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) Abu Dhabi, kerana terdapat unsur penipuan semasa keputusan tersebut dibuat.

Peguam Negara Tommy Thomas berkata, kerajaan akan memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi London untuk mengetepikan syarat persetujuan antara kedua-dua syarikat seperti yang telah diputuskan oleh tribunal tersebut.

“Kami yakin yang kami ada kes yang kukuh,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh pejabat itu di Putrajaya pada Selasa.

Beliau berkata, permohonan asal timbangtara itu dibuat oleh IPIC ketika mereka mengetahui bahawa terdapat dakwaan serius yang telah dilontarkan oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) terhadap bekas Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Najib Razak, pihak utama di dalam IMDB.

Keputusan tersebut yang direkodkan pada 9 Mei 2017 di Mahkamah Timbangtara Antarabangsa London menyatakan bahawa Malaysia dikehendaki membayar sebanyak AS$5.78 bilion kepada IPIC, iaitu pemegang bon.

“Pihak mereka berpengetahuan, “inter alia”, sebelum sidang media oleh Peguam Negara Amerika Syarikat Loretta Lynch pada Julai 2016 ketika beliau mengumumkan bahawa DOJ telah memfailkan beberapa saman sivil untuk membekukan aset-aset yang dibeli oleh penipu-penipu yang menggunakan hasil yang dicuri, dan ini dianggap sebagai kleptokrasi terbesar dalam sejarah moden,” kata Thomas.

Disebabkan publisiti global berikutan kenyataan DOJ itu, Malaysia berpendapat IPIC sebagai plaintif turut mengetahui tentang penipuan yang dilakukan yang berlaku.

“Najib dikenal pasti sebagai “MO1” dalam dokumen DOJ  dan mana-mana pembaca yang rasional yang membaca dokumen tersebut dengan serta merta akan menyedari peranan utama beliau untuk menipu 1MDB bagi manfaat dirinya sendiri, anak tirinya dan Jho Low,” tegas Thomas dalam kenyataan media itu.

Pada 2012, 1MDB mengeluarkan dua bon 10 tahun bernilai AS$1.75 bilion setiap satu untuk pembelian dua pusat janakuasa tenaga dan dijamin oleh 1MDB dan anak syarikat IPIC, Aabar Investment PJS (Aabar).

Kepincangan timbul apabila 1MDB didapati telah membuat pembayaran balik berjumlah AS$1.37 bilion kepada ‘Aabar BVI’ yang tidak ada kena mengena dengan Aabar yang sebenar walaupun diuruskan oleh pengarah urusan IPIC, Khadem Al Qubaisi dan ketua pengarah eksekutif firma itu, Mohamed Badawy Al-Husseiny.

“Malaysia menuntut bahawa akibat penipuan itu, kami perlu dilepaskan daripada sebarang tanggungjawab untuk membayar baki AS$4.32 bilion kepada IPIC atau Aabar di bawah syarat persetujuan dan juga mempunyai hak untuk mendapatkan semula AS$1.46 bilion yang sudah dibayar,” katanya.

Malaysia ada asas kukuh


Najib kini berdepan 38 tuduhan pecah amanah, salahguna kuasa dan pengubahan wang haram yang rata-rata berkaitan dengan skandal 1MDB.

Bercakap dengan BeritaBenar, Penasihat Kanan Hubungan Antarabangsa Asian Strategy and Leadership Institute Oh Ei Sun berkata penglibatan pimpinan tertinggi IPIC dalam skandal tersebut menjadi asas yang kukuh bagi Malaysia mencabar keputusan tersebut.

“Satu keputusan yang diperolehi secara penipuan selalunya akan terbatal tanpa mengambil kira pihak mana yang melakukan penipuan tersebut,” kata Oh.

Beliau juga berkata perjanjian timbangtara selalunya membuka ruang untuk mencabar sesuatu keputusan jika terdapat syak berlakunya penipuan.

James Chin, Pengarah Asia Institute Tasmania di University of Tasmania berkata beliau yakin tindakan Malaysia itu adalah untuk mewujudkan satu ‘precedence’ bagi kes-kes yang akan datang.

“Ini merupakan kes pertama di dunia sepanjang pengetahuan saya di mana penipuan dijadikan asas untuk mengubah keputusan timbangtara. Ini jarang berlaku.

“Jika Peguam Negara menang kes ini bermakna kerajaan boleh menggunakan keputusan itu sebagai asas untuk menunda dan mencabar pembayaran-pembayaran lain berkaitan 1MDB,” kata Chin.

Tambah beliau lagi, oleh kerana Malaysia telah pun bersetuju membayar jumlah terdahulu, kerajaan cuma perlu meneruskan pembayaran jika tewas dalam usaha mencabar keputusan timbangtara.

“Risikonya sangat rendah berbanding dengan manfaatnya sekira Malaysia menang,” katanya lagi.

BNM turun transaksi tunai

Sementara itu, Bank Negara mengumumkan bahawa pihaknya akan mengenakan syarat bagi (pengguna) untuk melaporkan transaksi wang tunai (CTR) berjumlah 25,000 ringgit (AS$6,000), jumlah yang lebih rendah daripada 50,000 ringgit (AS$12,000) sebelum ini, dalam usaha kerajaan untuk mengurangkan jenayah kewangan.

Bercakap di Persidangan Antarabangsa mengenai Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Keganasan yang ke-sepuluh di Kuala Lumpur, Gabenor Bank Negara Nor Shamsiah Yunus berkata jumlah sebelum ini terlalu tinggi dan tidak munasabah jika dibandingkan dengan ekonomi negara terutama sekali dari sudut kuasa membeli.

“Kami tidak menjangkakan sebarang impak dari segi ekonomi tetapi sebaliknya peningkatan kecekapan dalam menangani ekonomi gelap yang masih lagi bergantung kepada transaksi wang tunai,” jelas Nor Shamsiah.

Mengulas hal ini, penganalisa kanan di Penang Institute Lim Chee Han memberitahu BeritaBenar bahawa beliau kurang yakin dengan hasil keputusan ini memandangkan kebanyakan urusan di pasaran gelap dan wang hasil dari jenayah sering dilakukan sepenuhnya dengan menggunakan wang tunai.

“Ini jelas dapat dilihat dalam kes Najib Razak di mana serbuan di rumahnya berjaya membongkar jutaan ringgit wang tunai yang disembunyikan,”kata Lim.

Beliau berkata jumlah ini (yang dikenakan Bank Negara) walaupun sedikit akan  menyusahkan serta melambatkan pelaku jenayah daripada menggerakkan dan mengubah wang haram mereka.

Syarat baru Bank Negara itu hanya akan bermula pada 1 Jan. 2019.

Lihat Laman Penuh