Bicara Kes Najib: Peguam Negara Umum Undur Diri Ketuai Pasukan Pendakwa Raya

Hadi Azmi
2018.08.31
Kuala Lumpur, Malaysia
180831-MY-TommyThomas620.jpg Peguam Negara, Tommy Thomas tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 4 Julai 2018.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Peguam Negara Malaysia pada Jumaat mengumumkan pengunduran diri daripada mengetuai pasukan pendakwaan di dalam perbicaraan yang melibatkan bekas perdana menteri Najib Razak di dalam kes berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) atas alasan beban kerja yang tinggi.

Thomas menamakan peguam terkenal Sulaiman Abdullah sebagai pengganti beliau untuk mengetuai pasukan pendakwa raya dengan dibantu oleh bekas hakim mahkamah persekutuan Gopal Sri Ram sebagai timbalan pendakwaraya kanan.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan di Kuala Lumpur pada Jumaat, Thomas berkata perbicaraan yang penting dan kompleks itu memerlukan tumpuan dan fokus yang tidak berbelah bahagi daripada ketua pendakwaraya.

Beliau menambah dengan berkata bukan sahaja ketika perbicaraan itu berlangsung tetapi juga beberapa bulan sebelum dan selepas perbicaraan.

“Malangnya, tuntutan yang sama penting dan perkara lain bersangkutan negara tidak membenarkan saya untuk memberikan tumpuan kepada perbicaraan itu,” kata Thomas.

Beliau turut memberitahu bahawa jawatan sebagai Peguam Negara, ditambah pula sebagai pendakwaraya, selepas tiga bulan ini merupakan suatu tuntutan yang berat terutama ketika kerajaan sedang melalui proses perubahan.

Tambahnya lagi, Sulaiman sangat berkelayakan dan mempunyai pengalaman yang secukupnya dalam undang-undang jenayah termasuk dalam kes jenayah kolar putih.

“Kepakaran beliau tidak dapat ditandingi dan beliau juga sangat bijaksana,” kata Thomas.

Kedua-duanya - Sulaiman dan Sri Ram pernah menjadi peguam kepada Anwar Ibrahim ketika perbicaraan kes sodomi kedua.

Thomas turut mengumumkan bahawa Sulaiman dan Sri Ram akan mengambil alih tugas itu tanpa sebarang bayaran dan upah.

Kenyataan itu turut mengatakan selain dari satu kertas siasatan terhadap ahli perniagaan Jho Low dan bapanya yang menghasilkan pendakwaan serta notis tangkapan keatas kedua mereka, pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) masih belum menghantar kertas siasatan yang dibuka atas penjanjian lain yang dikaitkan dengan 1MDB kepada pejabat peguam negara.

Peguam Najib, Shafee Abdullah sebelum ini memberitahu Hakim Nazlan Ghazali bahawa sebelum pelantikan Thomas sebagai Peguam Negara, beliau telah membuat satu kenyataan tersirat seolah-olah anak guamnya sudah didapati bersalah dan bukti kenyataan itu diserahkan kepada mahkamah pada 10 Ogos ketika pendengaran kes untuk mendapatkan had sekatan seperti yang diminta oleh pasukan peguam bela.

Kewujudan bukti itu telah disebut oleh Shafee pada 6 Julai, di mana beliau berkata mereka akan membuat satu permohonan rasmi kepada mahkamah tinggi untuk membatalkan kelayakan peguam negara untuk mengetuai pasukan pendakwa raya dalam kes berkenaan.

Najib Razak berdepan dengan tiga pertuduhan pengumpulan wang haram dan dua kes jenayah melibatkan pecah amanah dan penyalahgunaan kuasa berkaitan dana RM42 juta milik bekas anak syarikat 1MDB, SRC International.

Najib mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Bekas perdana menteri itu boleh disabitkan dengan hukuman 125 tahun penjara dan denda berjumlah RM210 juta jika didapati bersalah untuk kesemua dakwaan yang dikenakan ke atas beliau.

Mahkamah Tinggi menetapkan 19 hari di antara 18 hingga 28 Februari, 4 hingga 8 Mac dan 11 hingga 15 Mac 2019 sebagai tarikh perbicaraan.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.