Follow us

Malaysia Mula Edar 24.62 Juta Keping Topeng Muka Percuma

Noah Lee & Nisha David
Putrajaya, Malaysia
2020-04-08
E-mel
Komen
Share
Pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia lengkap berpakaian PPE (Personal Protective Equipment) bersedia untuk melakukan proses saringan COVID-19 di Flat Selangor Mansion di Kuala Lumpur, 7 April 2020.
Pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia lengkap berpakaian PPE (Personal Protective Equipment) bersedia untuk melakukan proses saringan COVID-19 di Flat Selangor Mansion di Kuala Lumpur, 7 April 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Pentadbiran Putrajaya pada Rabu mengumumkan lebih 24.5 juta keping topeng muka dalam proses edaran kepada setiap isi rumah di seluruh negara, satu langkah terbaru kerajaan membendung penularan COVID-19 selepas rekod kesihatan menunjukan peningkatan kes positif virus tersebut yang melangkaui 4,000 kes.

Selain itu, pengurusan tertinggi Polis DiRaja Malaysia (PDRM) turut mengumumkan tiada lagi pendakwaan di mahkamah atas kesalahan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebaliknya akan dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 (AS$229) jika seseorang itu ditahan.

"Sebanyak 24.62 juta topeng muka sedang dalam proses pengedaran kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) untuk diedarkan kepada daerah-daerah. Penghantaran topeng muka ke Sabah, Sarawak dan Labuan akan disegerakan dengan bantuan penerbangan khas Tentera Udara Diraja Malaysia," kata Menteri kanan kluster keselamatan, Ismail Sabri Yaakob dalam satu sidang media di Putrajaya.

Ismail berkata setiap rumah akan dibekalkan sebanyak empat keping topeng muka secara percuma di mana proses edaran sudah dimulakan di Semenanjung manakala Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan akan mula menerima bekalan produk perlindungan diri itu bermula Jumaat ini.

Namun, Ismail menegaskan bahawa kerajaan masih kekal dengan nasihat supaya topeng muka hanya digunakan oleh mereka yang bergejala sahaja, seperti yang disyorkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Menurut beliau, topeng berkenaan akan disalurkan mengikut daerah dengan petugas kerajaan membuat pengedaran dari rumah ke rumah.

Inisiatif pemberian topeng muka kepada semua rakyat Malaysia itu pernah disebut oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada 23 Mac lepas ketika mengumumkan bahawa kerajaan Malaysia telah membuat keputusan untuk memberikan sumbangan berbentuk topeng muka kepada semua.

"Saya nak umum, kita akan agih secara percuma kepada seluruh rakyat malaysia yang memerlukan, itu merupakan sumbangan kerajaan," kata Muhyiddin pada satu sidang media selepas beliau mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Noor Hisham Abdullah memberitahu yang jumlah keseluruhan kes COVID-19 di negara itu adalah sebanyak 4,119 kes dengan 156 kes baru dilaporkan pada Rabu.

“Terdapat pertambahan dua lagi kes kematian berkaitan COVID-19 dengan jumlah kumulatif  kes kematian di Malaysia adalah sebanyak 65 kes bersamaan 1.58 peratus  daripada  jumlah keseluruhan kes.

“Dua kematian itu melibatkan seorang wanita tempatan berusia 58 tahun di Hospital Tuanku Ja’afar, Negeri Sembilan manakala kematian kedua adalah seorang lelaki warga Pakistan berumur 69 tahun dan mempunyai sejarah menghadiri perhimpunan di Sri Petaling dan meninggal di Hospital Kuala Lumpur,” tambah beliau.

Beliau juga memberitahu seramai 1,487 pesakit atau 36 peratus telah pulih sepenuhnya.

Kematian warga Pakistan itu merupakan yang kedua bagi rakyat asing dijangkit COVID-19 di Malaysia dengan yang pertama seorang rakyat Indonesia baru-baru ini.

Sub-Kluster baru

KKM juga telah mengesan satu sub-kluster baru jangkitan COVID-19 di daerah Rembau di Negeri Sembilan, yang mempunyai kaitan dengan perhimpunan tabligh di Sri Petaling di mana sSeramai 27 orang telah dikenalpasti mendapat jangkitan menerusi sub-kluster tersebut, termasuk dua yang kini sedang menerima rawatan di ICU.

Katanya, ia melibatkan kakitangan sebuah sekolah dan penduduk empat kawasan dalam daerah Rembau, iaitu Pedas, Pilin, Kundur dan Batu Hampar.

"Kluster ini mula dikesan apabila keputusan ujian COVID-19 adalah positif bagi beberapa guru di sebuah sekolah. Penularan ini dipercayai berpunca daripada satu mesyuarat yang diadakan di sekolah berkenaan di mana ianya telah dihadiri oleh kes indeks (kes ke-448) yang merupakan salah seorang peserta perhimpunan di Sri Petaling.

"Guru-guru dan kakitangan sekolah yang dijangkiti seterusnya menjangkiti ahli keluarga mereka dan penduduk kampung, sehingga terdapat 3 generasi jangkitan.

"Siasatan juga mendapati terdapat aktiviti kunjung-mengunjung ke rumah saudara untuk melawat ahli keluarga yang tidak sihat, walaupun negara kini adalah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," tambah Noor Hisham.

Kluster perhimpunan Sri Petaling adalah kluster jangkitan COVID-19 terbesar dalam negara dengan 42 peratus daripada jumlah keseluruhan kes dan telah membabitkan 13 kematian setakat ini.

Selain itu, KKM juga mendapati ada tiga kluster besar yang lain, iaitu kluster dicetuskan seorang rakyat Malaysia yang balik dari Itali di Sarawak, kluster himpunan keagamaan dianjurkan sebuah gereja di Kuching pada hujung Februari, dan kluster majlis perkahwinan di Bangi pada bulan lepas.

Hukuman pesalah PKP


Sementara itu, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam PDRM, Acryl Sani Abdullah Sani berkata bahawa pesalah yang ingkar PKP akan dibawa ke balai polis dan dikenakan kompaun RM1,000.

"Mereka yang ingkar PKP akan dibawa ke balai polis terlebih dahulu sebelum diberikan kompaun dan sekiranya enggan membayar kompaun, mereka boleh meminta untuk dibicarakan,” katanya.

Tindakan itu adalah satu perubahan cara mengendalikan kes PKP berbanding sebelum ini yang menyaksikan polis membuka kertas siasatan dan sesetengah daripada suspek akan ditahan reman di lokap polis sebelum dibawa ke mahkamah untuk didakwa.

Penahanan pesalah PKP dan pendakwaan mereka di mahkamah telah menjadi isu hangat di Malaysia, termasuk perdebatan mengenai risiko penularan jangkitan COVID-19 di kalangan tahanan serta penjara.

Berdasarkan statistik pihak berkuasa, seramai 6,905 orang telah ditangkap atas kesalahan berkaitan pematuhan PKP sejak ia mula dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu hingga Selasa.

Acryl turut mendedahkan bahawa sehingga Rabu, seramai 66 pegawai dan anggota PDRM telah disahkan positif COVID-19, manakala yang dikuarantin pula sejumlah 1,225 termasuk 155 pegawai dan 654 anggota, manakala 35 lagi adalah pegawai awam yang berkhidmat dengan pasukan itu, dan 381 lagi adalah ahli keluarga yang ada kontak
rapat.

"Kami memantau rapi perkembangan mereka," tambah beliau.


Lihat Laman Penuh