Buruh Paksa: AS Sekat Import Sarung Tangan Syarikat Malaysia

John Bechtel & Noah Lee
2020.07.16
Washington & Kuala Lumpur
200716-MY-US-gloves-620.JPG Seorang pekerja memeriksa sarung tangan di kilang Top Glove di Klang, Malaysia, 3 Mac 2020.
(Top Glove/Anas Zakwan/diberikan melalui Reuters)

Amerika Syarikat melarang import sarung tangan pakai buang oleh pengeluar terkemuka dunia, Top Glove Malaysia, berikutan adanya "bukti munasabah" penggunaan buruh paksa dengan mendakwa tindakan itu tidak akan memberi kesan negatif terhadap pengimportan produk tersebut ketika negara itu bergelut memerangi pandemik COVID-19 terburuk dunia.

Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP) telah mengeluarkan notis di laman sesawangnya pada Rabu yang mengumumkan mengenai Perintah Menahan Pelepasan (WRO) terhadap Top Glove Sdn Bhd dan anak syarikatnya TG Medical Sdn Bhd.

Top Glove mempunyai 40 kilang di Malaysia, empat di Thailand dan satu  di China. Keputusan itu tidak menjejaskan import sarung tangan getah yang dikeluarkan oleh kilang itu di Thailand.

"Bukti menunjukkan pelbagai petunjuk Pertubuhan Buruh Antarabangsa mengenai penggunaan buruh paksa termasuk tunggakan hutang, kerja lebih masa melampau, penyimpanan dokumen pengenalan diri serta keadaan pekerjaan dan kehidupan yang buruk," kata jurucakap CBP dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada Khamis bagi menjelaskan mengapa agensi itu mengenakan perintah itu terhadap kedua-dua syarikat Malaysia berkenaan.

“Undang-undang Persekutuan A.S melarang sebarang pengimportan barangan yang dihasilkan dengan menggunakan buruh paksa kerana ia menimbulkan risiko signifikan kepada pengguna dan rangkaian korporat, kerajaan dan tentera merangkumi masalah kesihatan dan keselamatan hinggalah kepada pelanggaran hak harta intelek serta risiko keselamatan nasional."

Perintah itu dikeluarkan walaupun A.S mendahului dalam catatan kes jangkitan dan kematian koronavirus. Negara itu mencatatkan hampir 3.5 juta daripada lebih 13.5 juta kes COVID-19 di seluruh dunia dan mencatatkan lebih 137,000 daripada hampir 585,000 kematian setakat Khamis, menurut pakar penyakit di Universiti Johns Hopkins.

Di Malaysia, pegawai Top Glove berjanji untuk bekerjasama dengan pegawai CBP bagi menyelesaikan isu itu dalam masa dua minggu.

"Kami percaya ia langkah terbaik bagi semua pihak dengan mencari jalan penyelesaian segera agar sarung tangan getah pakai buang kami dapat disalurkan kepada pihak yang memerlukan ketika tempoh mencabar semasa COVID-19 ini,” menurut kenyataan syarikat itu beberapa jam sebelum CBP mengeluarkan kenyataan yang lebih terperinci pada Khamis.

Top Glove berkata “ia sudah pun menghubungi CBP, pelanggan dan perunding menerusi pejabatnya di A.S bagi memahami isu berkenaan dengan lebih baik dan berharap ia dapat diselesaikan dengan segera”.

Menurut Top Glove ia mempunyai seramai 19,000 pekerja yang menghasilkan 78.7 bilion sarung tangan setiap tahun untuk lebih 2,000 pelanggannya di 195 negara.

"Ada kemungkinan perkara ini berkaitan dengan isu pekerja asing, yang telah kami selesaikan, selain daripada isu mengenai yuran pengambilan pekerja yang dibayar oleh pekerja kami kepada ejen-ejen pekerjaan sebelum 2019, yang dibuat tanpa pengetahuan kami,” kata syarikat pengeluar itu sambil menjelaskan bahawa ia telah pun membayar yuran pengambilan pekerja tersebut.

"Sejak beberapa bulan lalu, kami telah menangani isu ini yang melibatkan penyiasatan secara menyeluruh dalam menentukan jumlah yang tepat untuk dibayar kepada pekerja kami," kata syarikat itu. "Kami menganggarkan jumlah kira-kira RM20 juta (AS$4.7 juta) hingga RM50 juta (AS$11.7 juta)."

Agensi berita Reuters melaporkan bahawa pada 2018, beberapa pekerja migran yang bekerja di Top Glove bertanggungjawab membayar sebanyak RM20,000 (AS$4,685) kepada ejen pengambilan pekerja.

Sementara itu, seorang aktivis pekerja migran di Malaysia memuji langkah tersebut, menurut laporan Reuters.

"Tindakan pihak berkuasa A.S dibuat tepat pada masanya," kata penyelaras Migrant Care, Alex Ong.

"Jutaan sarung tangan dihasilkan dan digunakan untuk menyelamatkan nyawa, namun sarung tangan ini dihasilkan oleh tenaga yang dieksploitasi."

‘Keperluan Kritikal’

Di Washington, seorang pegawai A.S menyatakan bahawa sekatan itu adalah terhad.

"Ia tidak mempengaruhi import sebahagian besar sarung tangan getah pakai buang ke Amerika Syarikat. Import dari Top Glove Thailand dan negara-negara lain masih boleh diterima masuk ke Amerika Syarikat, kerana CBP pada masa ini tidak mempunyai bukti bahawa operasi pembuatan itu membabitkan keadaan secara buruh paksa,” kata jurucakap CBP.

Kerajaan A.S berkata bahawa ia tidak menjangka yang keputusan itu akan memberi kesan buruk terhadap sarung tangan pakai buang yang dikeluarkan dan dihantar dari negara lain.

CBP menyedari keperluan kritikal bagi sarung tangan getah pakai buang semasa pandemik COVID-19 dan akan terus membenarkan kemasukan sarung tangan itu yang dihasilkan oleh pengeluar lain,” kata jurucakap itu.

Menurut agensi itu, ia sedang bekerjasama dengan agensi A.S lain "untuk memastikan bahawa peralatan pelindung diri, alat perubatan dan farmaseutikal yang berkaitan dengan COVID-19 boleh dibawa masuk secepat mungkin, sambil menjelaskan bahawa barangan itu perlu dibenarkan dan selamat digunakan. "

Top Glove adalah pengeluar sarung tangan pakai buang kedua di Malaysia yang dikenakan Perintah Larangan Pelepasan kerana masalah buruh paksa. Kerajaan A.S pada Mac membatalkan WRO yang dikeluarkan pada September 2019 terhadap WRP Asia Pacific Sdn Bhd selepas syarikat itu menangani kebimbangan yang dibangkitkan oleh pegawai kastam A.S.

Sehari kemudian, pengeluar sarung tangan getah Malaysia merayu kepada kerajaan untuk mengecualikan syarikat mereka daripada Perintah Kawalan Pergerakan seluruh negara akibat penularan  COVID-19, dengan mengingatkan bahawa adanya "kekurangan kronik" produk itu di tengah-tengah peningkatan permintaan.

Persatuan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia yang mengeluarkan kenyataan pada masa itu mendakwa bahawa ahli-ahlinya dijangka dapat menghantar 225 bilion sarung tangan perubatan atau kira-kira 65 peratus daripada keperluan dunia iaitu sebanyak 330 bilion pada tahun ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.