Top Glove Mula Buat Bayaran Balik Yuran Pengambilan Pekerja Migran

Hadi Azmi
2020.08.10
Kuala Lumpur, Malaysia
200810-MY-Glove1000.jpg Kakitangan syarikat penerbangan AirAsia memakai pelindung muka dan sarung tangan semasa menjalankan pemeriksaan di kaunter daftar masuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 di Sepang, Malaysia, 29 April 2020.
[AFP]

Pengeluar sarung tangan pakai buang terkemuka dunia pada Isnin telah membuat pembayaran balik pertama yuran berjumlah RM4.4 juta kepada kakitangan migrannya selepas hampir sebulan dikenakan sekatan import oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP) baru-baru ini, demikian menurut Top Glove Malaysia.

Top Glove dalam satu kenyataan kepada Bursa Saham Malaysia memaklumkan mengenai pembayaran balik pertama berjumlah RM4.4 juta yang merupakan sebahagian daripada pakej RM53 juta (AS$12.5 juta) yang perlu dibayarnya untuk dikeluarkan daripada sekatan import yang dikenakan agensi kastam AS selepas dipercayai terlibat dalam salahlaku buruh paksa.

“Top Glove dengan sukacitanya ingin mengumumkan bahawa hari ini telah membuat pembayaran pemulihan pertama sebanyak RM4.4 juta untuk pekerja migran yang menyertai syarikat sebelum pelaksanaan Dasar Pengambilan Sifar Kos pada Januari 2019.

“Jumlah bayaran pemulihan yang akan dibayar dianggarkan berjumlah RM53 juta, tertakluk kepada keputusan muktamad bersama Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP) Amerika Syarikat,” kata kenyataan syarikat itu yang mempunyai 20,000 pekerja dan menghasilkan kira-kira 80.2 billion keping sarung tangan setiap tahun.

BeritaBenar telah menghubungi CBP di ibupejabatnya di Washington pada Isnin dan balasan email yang diterima daripada seorang jurucakap agensi kastam AS itu menjawab dengan berkata “Kami sedang memenuhi permintaan anda dan akan memberikan respons yang lebih lengkap dengan secepat mungkin,”

Bagaimanapun tiada kenyataan lanjut daripada agensi itu sehingga lepas waktu pejabat.

Pihak berkuasa kastam Amerika Syarikat itu, pada Julai lepas telah mengeluarkan notis di laman sesawangnya mengumumkan mengenai Perintah Menahan Pelepasan (WRO) terhadap Top Glove Sdn Bhd dan anak syarikatnya TG Medical Sdn Bhd.

"Bukti menunjukkan pelbagai petunjuk Pertubuhan Buruh Antarabangsa mengenai penggunaan buruh paksa termasuk tunggakan hutang, kerja lebih masa melampau, penyimpanan dokumen pengenalan diri serta keadaan pekerjaan dan kehidupan yang buruk," kata jurucakap CBP dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada Julai lalu untuk menjelaskan mengapa agensi tersebut mengenakan perintah terhadap syarikat Malaysia.

Lanjutan berhubung tindakan tersebut, Jabatan Kastam AS sekali lagi semasa dihubungi BeritaBenar pada 17 Julai lalu berkata komuniti pelabur haruslah bertanggungjawab dalam mengenalpasti dan mengatasi risiko buruh paksa dalam rantaian bekalan.

“CBP mengeluarkan ‘Withhold Release Orders’ dan dapatannya dalam laman sesawang dan meneruskan komunikasi dengan pelabur tentang risiko buruk paksa. Apabila CBP mengeluarkan notis itu, ianya menjadi tanggungjawab pengeluar untuk mengatasi isu tersebut.

“CBP aka terus berdialog dengan pengimport yang terjejas, broker kastam dan turut mengesa pengeluar untuk menghapuskan elemen buruh paksa dalam rantaian bekalan secepat mungkin dan Eksekutif Top Glove telah menghubungi CBP untuk berbincang tentang isu buruh paksa tersebut.

“Kami tidak boleh memberikan waktu terperinci untuk mengatasi isu tersebut dan CBP tidak akan memodifikasi atau menarik notis tersebut sehingga kami menerima bukti bahawa produk yang terkesan bebas dari elemen buruh paksa,” kata jurucakap CBP kepada BeritaBenar dari Washington pada masa itu.

Tuduhan tidak berasas

Beberapa hari selepas kenyataan jurucakap CBP, iaitu pada 21 Julai, Menteri Sumber Manusia Malaysia M. Saravanan selepas mengadakan pertemuan dengan eksekutif Top Glove berkata, tuduhan agensi kastam AS sebagai tidak berasas dengan menafikan terhadapanya unsur buruh paksa selepas kementerian itu menjalankan siasatan pada 13 Julai, iaitu sebelum sekatan oleh pihak berkuasa AS terhadap syarikat berkenaan.

“Ianya tidak berasas... Sedikit sebanyak ada kekurangan yang boleh diatasi dari segi penyediaan perumahan dan sebagainya...tapi bukan sepertimana dituduh oleh agensi luar negara dan saya akan melawat Top Glove bersama pegawai-pegawai kanan dari kementerian.

“Saya juga akan menjemput wakil dari Amerika Syarikat supaya bersama kita melihat sendiri untuk membuktikan yang tuduhan ini tidak berasas…

“Sekiranya ada apa-apa kekurangan dalam industri Malaysia, saya harap agensi-agensi luar negara jangan campur tangan secara terus… mereka sepatutnya berhubung dengan kementerian yang berkenaan dan minta penjelasan sebelum mengambil sebarang tindakan,” tambah menteri itu dalam satu kenyataan pada masa itu.

Selain Top Glove, pesaingnya Hartalega turut mengumumkan pembayaran balik RM40 juta (AS$9.46 juta) kepada kakitangan migrannya yang sebelum ini terpaksa membayar yuran pengambilan pekerjaan kepada agen iaitu sebelum syarikat-syarikat tersebut melaksanakan Dasar Yuran Pengambilan Sifar pada April 2019.

Ketua Pengarah Urusan Hartalega, Kuan Mun Leong berkata keputusan itu dibuat sekitar penghujung 2019 selepas perbincangan bersama eksekutif syarikat dengan mensasarkan permulaan pembayaran menjelang suku keempat 2020 sehingga selesai untuk tempoh 24 bulan.

Kuan berkata syarikatnya turut bekerjasama dengan badan bebas dari luar yang akan menilai pelan pemulihan Hartalega.

Dalam pada itu, Pengarah eksekutif badan hak asasi manusia North-South Initiative (NSI), Adrian Periera berkata sebelum ini pekerja migran terpaksa menanggung belanja yang tinggi untuk masuk bekerja di Malaysia, termasuk yuran yang terpaksa dibayar kepada agen-agen.

Menurut beliau, kesemua kos tersebut telah membawa kepada apa yang dipanggil ‘perhambaan hutang’ yang menjadi petunjuk utama salahlaku buruh paksa.

“Ini sangat memalukan, dan hanya apabila syarikat-syarikat ini dikenakan sekatan antarabangsa baru mereka setuju untuk membayar pampasan kepada pekerja,” dakwa beliau.

Tambahnya lagi, jumlah pampasan yang dibayar juga sebenarnya kecil jika dibandingkan dengan keuntungan yang diperoleh syarikat-syarikat tersebut.

Menurut laporan agensi berita perniagaan The Edge Markets, Top Glove mencatatkan pendapatan suku tahun terbaik berjumlah RM347.9 juta (AS$82.34 juta) yang berakhir pada 31 Mei lalu, iaitu empat kali ganda daripada tahun sebelumnya sebanyak RM74.67 juta (AS$17.67 juta).

Top Glove mempunyai 40 kilang di Malaysia, empat di Thailand dan satu di China. Keputusan oleh agensi kastam AS itu tidak menjejaskan import sarung tangan getah yang dikeluarkan oleh kilang itu di Thailand.

 

Ray Sherman di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.