Top Glove Ganda Bayaran Balik Yuran Pengambilan Pekerja, Hantar Laporan Ke CBP

Nisha David
2020.10.19
Kuala Lumpur, Malaysia
201019-MY-TopGlove1000.jpg Seorang pekerja memeriksa sarung tangan yang dikeluarkan oleh kilang Top Glove di Shah Alam, pinggir Kuala Lumpur, 26 Ogos 2020.
[AFP]

Pengeluar sarung tangan pakai buang terkemuka dunia, Top Glove Malaysia berkata syarikat itu telah meningkatkan bayaran balik yuran kepada agensi pengambila pekerja daripada RM53 juta (AS$12.8 juta) kepada RM136 juta (AS$32.8 juta) selepas tiga bulan dikenakan sekatan dibawah Perintah Menahan Perlepasan Import oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP) atas kesalahan dipercayai menggunakan tenaga kerja paksa.

Top Glove dalam satu kenyataan memaklumkan syarikat itu telah menyelesaikan masalah berkaitan pekerja migrannya seperti yang dinyatakan dalam laporan oleh pihak Jabatan Buruh AS (DOL) dan turut menyerahkan informasi berkaitan usaha mereka kepada CBP bagi mempercepatkan proses penarikan semula Perintah Menahan Pelepasan Import (WRO) itu.

"Top Glove akan memberi komitmen tinggi untuk memperbaiki dasar pengambilan pekerja asing dan sudah memulakan pembayaran balik berdasarkan jumlah yang disemak semula sebanyak RM136 juta, selaras dengan cadangan oleh perunding bebas.

"Top Glove sudah membuat tiga pembayaran balik sejak Ogos 2020 dan pembayaran balik itu akan diteruskan untuk sembilan bulan lagi iaitu hingga Julai 2021," kata kenyataan syarikat itu yang mempunyai 20,000 pekerja dan menghasilkan kira-kira 80.2 billion keping sarung tangan setiap tahun.

Pihak berkuasa kastam AS pada Julai lepas telah mengeluarkan notis di laman sesawangnya mengumumkan mengenai WRO terhadap Top Glove Sdn Bhd dan anak syarikatnya TG Medical Sdn Bhd.

"Bukti menunjukkan pelbagai petunjuk Pertubuhan Buruh Antarabangsa mengenai penggunaan buruh paksa termasuk tunggakan hutang, kerja lebih masa melampau, penyimpanan dokumen pengenalan diri serta keadaan pekerjaan dan kehidupan yang buruk," kata jurucakap CBP dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada Julai untuk menjelaskan mengapa agensi tersebut mengenakan perintah terhadap syarikat Malaysia.

Mengulas lanjut mengenai tindakan pemulihan oleh Top Glove, syarikat itu turut menyatakan sudah melaksanakan Dasar Pengambilan Sifar Kos, yang berkuatkuasa Januari 2019.

"Dengan pelaksanaan dasar baru itu, syarikat menanggung semua kos yang berkaitan dengan pengambilan pekerja asing dan selain itu, beberapa fasa orientasi ditetapkan untuk pekerja asing yang terbahagi kepada sebelum berlepas dan temu ramah di negara asal, orientasi pasca ketibaan di Malaysia, dan temuramah bulanan untuk memastikan mereka tidak membayar sebarang yuran tersembunyi kepada ejen pengambilan pekerja.

"Di bawah polisi ini, Top Glove juga membayar balik pekerja yang telah membayar yuran pengambilan kepada ejen di negara asal mereka, dan akan dipersetujui melalui satu surat perjanjian bahawa mereka tidak akan membayar yuran pengambilan semasa proses pendaftaran.

"Top Glove juga telah menyenarai hitam ejen pengambilan pekerja yang tidak beretika dan semua urusan perniagaan dengan ejen pengambilan pekerja itu akan ditamatkan dengan serta-merta. Top Glove juga terus mendidik pekerja kami agar tidak membayar yuran pengambilan kepada pihak ketiga," katanya.

Ia berkata sementara menunggu keputusan dari CBP, syarikat itu telah menghantar produk penjagaan diri yang sekarang mendapat permintaan tinggi dari negara seluruh dunia, ke negara-negara lain yang memerlukan.

BeritaBenar cuba mendapatkan ulasan daripada CBP di Washington tetapi sehingga berita ini disiarkan, tiada maklum balas yang diterima.

Pindaan akta

Sementara itu, Menteri Sumber Manusia M. Saravanan berkata kerajaan telah menguatkuasakan Pindaan Akta Standard Minimum dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) yang berkuatkuasa pada 1 September lepas.

“Pindaan Akta Standard Minimum dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) adalah bagi bertujuan menetapkan standard minimum penginapan, perumahan dan persekitaran yang selamat untuk mencegah penyakit berjangkit dan menambahbaik keadaan hidup semua pekerja,” katanya.

Beliau berkata Kementerian Sumber Manusia tidak akan bertoleransi dan berkompromi terhadap sebarang ketidakpatuhan isu-isu berkaitan buruh paksa di negara itu.

Dalam pada itu, Pengarah eksekutif badan hak asasi manusia North-South Initiative (NSI), Adrian Periera berkata industri pembuatan sarung tangan adalah ibarat 'golden goose'.

"Pemilik industri ini akan cuba mendapatkan sebanyak mana keuntungan berterusan dan pada masa yang sama, eksploitasi terhadap pekerja akan terus berlaku dan kerajaan boleh mendakwa sudah memulakan siasatan ke atas syarikat yang mengeksploitasi pekerja tetapi kenapa mereka tidak mahu senaraikan nama syarikat-syarikat itu.

"Nama syarikat yang mengeksploitasi pekerja perlu didedahkan kepada umum supaya rakan kongsi dan pemilik saham tahu mengenai aktiviti tidak bermoral yang dilakukan syarikat-syarikat besar ini," katanya kepada BeritaBenar.

Top Glove menurut laporan media tempatan telah mencatatkan pendapatan suku tahun terbaik berjumlah RM347.9 juta (AS$82.34 juta) yang berakhir pada 31 Mei lalu, iaitu empat kali ganda daripada tahun sebelumnya sebanyak RM74.67 juta (AS$17.67 juta).

Pengeluar sarung tangan itu mempunyai 40 kilang di Malaysia, empat di Thailand dan sebuah di China dengan keputusan oleh agensi kastam AS tidak menjejaskan import sarung tangan getah yang dikeluarkan oleh kilang itu di Thailand.

Selain dari tindakan ke atas Top Glove, Jabatan Buruh Amerika Syarikat [DOL] pada penghujung September lalu telah menyenaraikan sarung tangan getah buatan Malaysia sebagai barangan yang didakwa dihasilkan melalui penggunakan tenaga buruh paksa dalam Laporan Senarai Barangan Dihasilkan Buruh Kanak-Kanak atau Buruh Paksa.

Laporan berkenaan adalah satu garis panduan dalam menilai risiko terhadap ketelitian bekalan rantaian dan bukan bertujuan untuk menghukum tetapi lebih kepada meningkatkan pengetahuan umum terhadap barangan yang dihasilkan daripada penggunaan buruh paksa dan kanak-kanak di serata dunia.

Menurut laporan edisi tahun 2020 itu, produk dari Malaysia yang disenaraikan dalam laporan berkenaan dibuat berdasarkan kepada aduan yang telah diterima berhubung penggunaan tenaga buruh paksa di kalangan migran dari Bangladesh, India, Myanmar dan Nepal di lebih 100 buah kilang sarung tangan getah di negara tersebut.


Ray Sherman di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.