Top Glove Tangkis Dakwaan AS, Badan Bebas Sahkan Tiada Elemen Buruh Paksa

Syarikat itu telah menyerahkan laporan oleh badan bebas kepada Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS pertengahan Mac.
S. Adie Zul
2021.03.30
Kuala Lumpur
Top Glove Tangkis Dakwaan AS, Badan Bebas Sahkan Tiada Elemen Buruh Paksa Seorang pekerja sedang memeriksa sarung tangan yang baharu dibuat di kilang Top Glove di Shah Alam, Malaysia, 26 Ogos 2020.
[Reuters]

Pengeluar sarung tangan perubatan pakai buang terbesar dunia Top Glove pada Selasa menangkis dakwaan Amerika Syarikat berhubung penggunaan buruh paksa, sehari selepas pengeluaran arahan menyita produk syarikat tersebut di semua pintu masuk negara itu, dengan Putajaya berkata arahan Washington merosakkan imej Malaysia.

Berpangkalan di Malaysia dan memilik beberapa kilang di negara lain, Top Glove juga berkata laporan badan perunding bebas telah mengesahkan tidak wujud elemen buruh paksa merentasi 11 Petunjuk Buruh Paksa Pertubuhan Buruh Antarabangsa yang telah diserahkannya kepada Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS pada pertengahan bulan ini.

“Satu laporan bertarikh 16 Mac, 2021 yang telah disediakan badan perunding bebas antarabangsa yang berpangkalan di United Kingdom, Impactt Limited (Impactt) telah dipanjangkan kepada pihak CBP untuk semakan, manakala semua tindakan yang perlu menurut kehendak CBP telahpun diambil.

“Sejak Julai 2020, Top Glove telah mendapatkan khidmat Impactt untuk memberi khidmat nasihat berhubung kaedah-kaedah untuk menambahbaik polisi dan amalan. Pada 9 Mac 2021 Impactt telah mengeluarkan kenyataan mengesahkan tidak wujud elemen buruh paksa secara sistematik merentasi 11 Indikator Pertubuhan Buruh Antarabangsa dalam operasi kami,” kata Top Glove.

Susulan itu, syarikat tersebut sedang menyemak kenyataan media CBP dan peguamnya di AS sedang berhubung dengan wakil-wakil CBP untuk mendapatkan maklumat lanjut bagi menangani perkara yang berbangkit dalam siasatan oleh pihak berkuasa AS itu.

Calar imej negara

Sementara itu, Menteri Sumber Manusia, M. Saravanan berkata kerajaan sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-nama pihak yang didapati melakukan sebarang penganiayaan ke atas pekerja.

“Sebagai Menteri Sumber Manusia, pihak industri perlu faham kenapa kerajaan mengambil tindakan tegas keatas majikan yang ingkar kerana perbuatan sedemikian boleh mencalarkan imej negara kita khususnya di kalangan pertubuhan antarabangsa,” tegasnya.

Menurut beliau, secara umum majikan tidak boleh menggunakan alasan kelembapan ekonomi akibat pandemik COVID-19 untuk menindas para pekerja sambil menyeru kepada majikan untuk terus menjaga kebajikan para pekerja mereka.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai tindakan terbaharu kerajaan AS terhadap Top Glove sambil menyifatkan yang syarikat itu masih mempunyai ruang untuk membuat rayuan.

“Saya telah dimaklumkan mengenai tindakan pihak CBP AS, tetapi saya berpandangan masih ada ruang bagi Top Glove membuat rayuan, dan sekiranya mereka tidak bersalah, maka tidak wajar sekiranya mereka dihukum,” katanya.

Teliti dakwaan AS

Dalam pada itu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan meneliti laporan penuh dakwaan agensi AS tersebut yang mengatakan Top Glove menggunakan buruh paksa dalam operasi pengeluaran sarung tangan pakai buang di kilang-kilangnya di Malaysia.

Agensi Berita Nasional (BERNAMA) melaporkan menterinya, Mohamed Azmin Ali sebagai berkata MITI akan meneliti laporan penuh oleh agensi AS berkaitan isu tersebut.

"Kami belum lagi menjalankan sebarang siasatan dan sudah tentunya perlu melihat laporan penuh. Kementerian sedang meneliti butiran terperinci dan sudah pastinya akan mempermudahkan industri kita. Ini merupakan urusan dasar domestik AS yang perlu dipatuhi oleh industri kita,” katanya kepada media di Kuala Lumpur.

Pada Isnin, CBP telah mengarahkan para pegawai di semua pintu masuk ke negara itu untuk menyita sarung tangan pakai buang yang dihasilkan oleh Top Glove atas dakwaan amalan buruh paksa.

Arahan terbaharu AS itu juga merupakan tamparan kepada pengeluar sarung tangan terbesar dunia itu yang sedang dalam proses merayu membatalkan keputusan perintah sekatan yang dikenakan CBP terhadap produknya sejak 15 Julai tahun lalu.

Menurut penemuan tersebut, CBP mempunyai maklumat yang mencukupi untuk mempercayai bahawa Top Glove menggunakan khidmat buruh paksa dalam pengeluaran produk sarung tangan pakai buang. Sebarang barangan yang tersenarai di dalam penemuan buruh paksa, termaktub kepada rampasan sebaik sampai di mana-mana pintu masuk AS.

Menurut kenyataan CBP, penemuan mengenai buruh paksa itu adalah hasil daripada siasatan selama berbulan-bulan oleh CBP yang bertujuan menghalang barangan yang dihasilkan melalui penghambaan moden daripada memasuki penjualan dalam pasaran AS.

Ujarnya lagi, CBP tidak akan berkompromi dengan mana-mana syarikat dari negara luar yang melakukan eksplotasi pekerja untuk menjual barangan yang murah, produk yang dihasilkan secara tidak beretika daripada dijual kepada pengguna di Amerika Syarikat.

Penemuan ini, menurut CBP, adalah peluasan kepada Perintah Penahanan Pelepasan (WRO) yang telah dikeluarkan agensi itu pada Julai 2020. WRO berkenaan adalah bersandarkan kepada maklumat yang memuaskan tetapi belum konklusif, mengenai buruh paksa sememangnya wujud dalam proses pengeluaran, pengurusan kewangan, kerja lebih masa berlebihan, keadaan di ruang kerja dan tempat tinggal dan penahanan dokumen pengenalan.

Pada Julai tahun lalu, AS telah mengeluarkan larangan import ke atas sarung tangan keluaran Top Glove, berikutan adanya "bukti munasabah" penggunaan buruh paksa.

"Bukti menunjukkan pelbagai petunjuk Pertubuhan Buruh Antarabangsa mengenai penggunaan buruh paksa termasuk tunggakan hutang, kerja lebih masa melampau, penyimpanan dokumen pengenalan diri serta keadaan pekerjaan dan kehidupan yang buruk," kata jurucakap CBP dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada 16 Julai itu.

Susulan daripada itu, Top Glove telah mengambil langkah membuat pembayaran pemulihan kepada para pekerja migran yang menyertai syarikat berkenaan sebelum mereka melaksanakan Dasar Pengambilan Sifar Kos pada Januari 2019.

Pada 10 Ogos 2020, syarikat itu memaklumkan bahawa mereka telah membuat pembayaran balik pertama yuran berjumlah RM4.4 juta, iaitu sebahagian daripada pakej RM53 juta (AS$12.5 juta) yang perlu dibayarnya kepada kakitangan migrannya, untuk dikeluarkan daripada sekatan import oleh AS.

Masalah mengenai layanan terhadap pekerja asing membabitkan Top Glove tidak hanya menyaksikan syarikat itu berdepan dengan masalah di luar negara.

Pada 16 Mac lalu, gergasi pengeluar sarung tangan telah dihadapkan ke mahkamah Malaysia atas pertuduhan gagal menyediakan tempat tinggal bagi pekerjanya mengikut garis panduan minimum yang telah ditetapkan Jabatan Buruh.

Syarikat itu dilaporkan menghadapi 10 pertuduhan di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990, atau lebih dikenali sebagai Akta 446, dan menghadapi hukuman denda tidak melebihi RM50,000 bagi setiap pertuduhan.

Selain itu, kerajaan Malaysia pada November lepas juga telah mengarahkan supaya Top Glove menghentikan operasi 28 kilangnya selepas lebih 1,000 jangkitan baharu coronavirus dikesan dalam kalangan pekerjanya di Klang, yang terletak 36 kilometer dari Kuala Lumpur.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.