Top Glove Didakwa di Mahkamah Gagal Sedia Penginapan Ikut Garis Panduan Minimum

Sebanyak 10 pertuduhan di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 telah dikenakan terhadap syarikat berkenaan.
Noah Lee
Kuala Lumpur
2021-03-16
Share
Top Glove Didakwa di Mahkamah Gagal Sedia Penginapan Ikut Garis Panduan Minimum Pekerja kilang sedang mengeluarkan sarung tangan getah daripada acuannya di sebuah kilang sarung tangan getah di Batu 13 Cheras, di Kajang, Selangor, 21 Disember 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Pihak berkuasa Malaysia pada Selasa mengenakan dakwaan di mahkamah terhadap Top Glove - syarikat pengeluar sarung tangan perubatan terbesar dunia – atas pertuduhan gagal menyediakan tempat tinggal bagi pekerjanya mengikut garis panduan minimum yang telah ditetapkan Jabatan Buruh.

Agensi berita nasional Malaysia (Bernama) dalam laporannya berkata syarikat berkenaan telah dikenakan sebanyak 10 pertuduhan di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990, atau lebih dikenali sebagai Akta 446, dan menghadapi hukuman denda tidak melebihi RM50,000 bagi setiap pertuduhan.

"Bahawa kamu, sebagai majikan, pada 26hb November 2020 jam 9.30 pagi di Dorm 33, Tasek Mutiara 2, Pusat Perdagangan Tasek Mutiara, 31400 Ipoh, Perak Darul Ridzuan telah menyediakan penginapan pekerja kepada salah seorang pekerja asing lelaki warganegara Bangladesh bernama Mohammed Sumon Miah yang tidak diperakukan dengan Perakuan Penginapan dari Ketua Pengarah Tenaga Kerja seperti mana kehendak Seksyen 24D (1) Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990.

"Oleh yang demikian kamu telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24D (3) Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990," kata petikan satu daripada kertas pertuduhan yang dilihat BeritaBenar pada Selasa.

Top Glove didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di 10 penginapan berbeza yang terletak di Pusat Perdagangan Tasek Mutiara dengan diwakili pengarahnya yang mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan tersebut yang dibuat di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Ipoh, Norashima Khalid.

Seksyen 24D (1) di bawah Akta 446 menetapkan bahawa "tiada penginapan boleh disediakan untuk seseorang pekerja melainkan jika diperakukan dengan Perakuan Penginapan", manakala sub-seksyen (3) menetapkan bahawa majikan yang didapati bersalah melakukan kesalahan berkenaan boleh didenda tidak melebihi RM50,000.

Akta 446 telah menetapkan spesifikasi yang perlu dipatuhi majikan dalam menyediakan kemudahan penginapan kepada pekerja asing dan tempatan mengikut piawaian yang digariskan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

Pada Julai 2019, Dewan Rakyat telah meluluskan pindaan ke atas akta berkenaan, bertujuan menambah baik Garis Panduan Penginapan Pekerja Asing 2018 JTKSM meliputi standard ruang minimum kediaman, kemudahan asas bagi rumah dan pekerja serta elemen keselamatan dan kebersihan yang perlu dititikberatkan oleh majikan.

Susulan daripada itu, pada Mei tahun lepas, Menteri Sumber Manusia M Saravanan telah mengumumkan bahawa kerajaan akan memberikan tempoh kepada para majikan sehingga 31 Ogos 2020 untuk membuat persediaan sewajarnya bagi mematuhi kehendak undang-undang tersebut.

Pada awal Disember lepas, menteri berkenaan telah memberitahu media bahawa mereka mendapati lebih 1.4 juta pekerja asing tidak disediakan dengan kemudahan penginapan sempurna dan mengikut Garis Panduan Penginapan Pekerja Asing Jabatan Tenaga Kerja oleh majikan.

Top Glove beri jaminan

Top Glove pada Selasa telah mengeluarkan satu kenyataan media susulan pendakwaan terhadap syarikat itu yang memaklumkan bahawa syarikat tersebut telah memohon untuk dibicarakan di mahkamah dan kes berkenaan telah ditetapkan untuk sebutan semula pada 28 April.

Syarikat sarung tangan itu juga sekali lagi menyatakan komitmen terhadap usaha untuk menjaga kebajikan para pekerja dan menyediakan kemudahan berkualiti bagi pekerjanya.

"Top Glove ingin memberikan jaminan kepada semua pemegang taruh bahawa ia terus komited dalam memastikan kebajikan, kesihatan, keadaan tempat kerja dan kemudahan penginapan yang berkualiti tinggi kepada tenaga kerjanya. Syarikat juga telah menetapkan perancangan-perancangan masa kini dan jangka pertengahan bagi terus memperbaiki standard penginapan pelbagai jenis yang disediakan untuk pekerja," kata kenyataan medianya.

Syarikat itu juga menyediakan satu platform di laman sesawangnya bagi menyenaraikan laporan inisiatif-inisiatif diambil Top Glove dari semasa ke semasa dalam membuat penambahbaikan.

Sementara itu, sehari sebelum kes terhadap Top Glove dibawa ke mahkamah, Saravanan telah mengumumkan bahawa Kementerian Sumber Manusia telah membuka sebanyak 124 kertas siasatan di bawah Akta 446 sejak ia dikuatkuasakan bermula 1 September 2020.

Daripada jumlah tersebut katanya, sebanyak 115 kes telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dan 70 daripadanya telah ditetapkan untuk diteruskan dengan pendakwaan di mahkamah.

"Penguatkuasaan mencatatkan sebanyak 3,452 majikan telah diperiksa melibatkan seramai 101,726 pekerja yang terdiri daripada 11,049 pekerja tempatan dan 90,677 pekerja asing.

"Hasil pemeriksaan secara berterusan ini juga telah membawa kepada pembukaan sebanyak 124 Kertas Siasatan (KS) di bawah Akta 446 yang melibatkan 59 majikan pelbagai sektor termasuklah pembuatan sarung tangan getah dan perabot, pembinaan, peruncitan dan perkilangan di seluruh Semenanjung Malaysia," kata kenyataan media dikeluarkan Saravanan itu.

Sementara itu, Andy Hall, seorang aktivis dan pakar hak asasi pekerja asing berkata kepada BeritaBenar, bahawa antara masalah mengenai penginapan pekerja di Malaysia adalah ketiadaan fasiliti yang mencukupi.

"Masalah besar berkaitan isu penginapan di Malaysia adalah tiada kemudahan yang mencukupi di kawasan-kawasan industri untuk menampung bilangan pekerja yang ada. Kerana di kawasan-kawasan inilah terletaknya banyak kilang-kilang," kata Andy.

"Betul Malaysia telah meluluskan undang-undang (Akta 446), tetapi ia adalah sesuatu yang tidak realistik untuk mengharapkan mereka (majikan) untuk patuh dalam masa singkat," tambah beliau.

Andy berkata bahawa para majikan perlu mengambil langkah drastik bagi mematuhi peraturan itu, seperti yang dilakukan oleh Top Glove kini dengan memindahkan para pekerja mereka ke penginapan yang terletak jauh dari tempat kerja.

Namun, menurut beliau, perkara itu menimbulkan isu mengenai masa para pekerja, di mana mereka perlu keluar lebih awal dan majikan tidak mengurangkan masa kerja mereka.

"Ini memberikan impak yang besar terhadap masa untuk mereka bekerja dan berehat," katanya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh