Top Glove: Bekerjasama Dengan Jabatan Kastam AS Selesai Isu Perintah Perlepasan Tahan

Pengeluar sarung tangan pakai buang terbesar dunia itu mengeluarkan kenyataan sehari selepas CBP menyita produknya di Ohio.
Noah Lee
Kuala Lumpur
2021-05-05
Share
Top Glove: Bekerjasama Dengan Jabatan Kastam AS Selesai Isu Perintah Perlepasan Tahan Seorang pekerja sedang memeriksa sarung tangan pakai buang yang dikeluarkan di kilang Top Glove yang terletak di Shah Alam, pinggir Kuala Lumpur, 26 Ogos 2020.
[AFP]

KEMASKINI pada 12.05 tengahari waktu tempatan ETS - 2021-05-06

Pengeluar sarung tangan perubatan pakai buang terbesar dunia Top Glove pada Rabu berkata Washington kini sedang mengkaji maklumbalas berhubung dakwaan terdapatnya elemen buruh paksa di kilang-kilang syarikat tersebut di Malaysia, sehari selepas pihak berkuasa Amerika Syarikat merampas produk keluarannya bernilai lebih AS$500,000.

Top Glove mengeluarkan satu kenyataan media sehari selepas Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP) membuat sitaan terhadap 3.97 juta sarung tangan pakai buang keluarannya di Pelabuhan Cleveland, di Ohio, dengan mendakwa yang syarikat berkenaan telah mencapai semua tangga hijau bagi resolusi 11 indikasi buruh paksa Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

Pencapaian itu kata pengeluar sarung tangan tersebut telah disahkan oleh Impactt Limited, sebuah perunding bebas antarabangsa dari United Kingdom, dalam laporannya bertarikh 22 April lalu.

"Merujuk kepada laporan mengenai satu kontena produk Top Glove yang dihantar ke Pelabuhan Cleveland di Ohio, Top Glove ingin memaklumkan bahawa syarikat ini terus bekerjasama dengan CBP AS ke arah mempercepatkan penyelesaian dan penarikan, atau modifikasi, kepada Perintah Penahanan Pelepasan (WRO) yang dikeluarkan CBP.

"Pihak CBP AS kini sedang meneliti laporan yang dihantar Top Glove selepas syarikat membuat tindakan pembetulan mengenai 11 indikasi buruh paksa Pertubuhan Buruh Antarabangsa," kata Top Glove dalam kenyataan media pada Rabu itu.

Menurut jadual Rancangan Tindakan Pembetulan yang dilampirkan bersama kenyataan media syarikat tersebut setakat April 2021, perunding bebas itu mendapati bahawa pihak mereka telah menyelesaikan semua isu dalam 11 indikasi/indikator buruh paksa.

Indikasi tersebut adalah penyalahgunaan mereka yang lemah, penyimpanan dokumen pengenalan diri, kawalan pergerakan, kerja lebih masa yang melampau, keadaan kerja dan tempat tinggal yang mendera, penipuan, isolasi, perhambaan hutang, penahanan gaji, keganasan fizikal dan seksual, dan intimidasi.

Pada Selasa, CBP AS membuat pengumuman bahawa mereka telah merampas satu penghantaran mengandungi sarung tangan pakai buang oleh Top Glove susulan maklumat yang diperolehi yang memberikan indikasi bahawa produk berkenaan telah dibuat oleh buruh paksa.

"Rampasan ini memberikan mesej yang jelas bahawa CBP tidak akan bertoleransi terhadap import produk yang dibuat menggunakan buruh paksa, iaitu salah satu bentuk perhambaan moden yang menganiaya pekerja yang lemah serta mengancam ekonomi," kata Diann Rodriguez, pengarah CBP untuk pelabuhan di Cleveland.

"CBP akan terus membantu import produk perlindungan diri (PPE) yang sah yang diperlukan ketika pandemik COVID-19, dan memastikan bahawa PPE berkenaan adalah mendapat kebenaran dan selamat untuk digunakan," tambah beliau.

Rampasan oleh CBP pada Selasa adalah yang pertama selepas pihak berkuasa sempadan AS mengeluarkan arahan kepada para pegawai di semua pintu masuk ke negara itu untuk menyita sarung tangan pakai buang yang dihasilkan oleh Top Glove atas dakwaan buruh paksa.

Arahan berkenaan dikeluarkan pada 29 Mac lalu selepas CBP mempunyai maklumat yang mencukupi untuk mempercayai bahawa Top Glove menggunakan khidmat buruh paksa dalam pengeluaran produk sarung tangan pakai buang.

Di bawah undang-undang AS, sebarang barangan yang tersenarai di dalam penemuan buruh paksa adalah termaktub kepada rampasan sebaik sampai di mana-mana pintu masuk negara berkenaan.

"Penemuan mengenai buruh paksa pada hari ini adalah hasil daripada siasatan selama berbulan-bulan oleh CBP yang bertujuan menghalang barangan yang dihasilkan melalui penghambaan moden daripada memasuki penjualan dalam pasaran AS,” menurut Troy Miller yang memangku tugas Pesuruhjaya CBP dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 29 Mac.

Maklum balas CBP

Selepas sekatan itu, Top Glove mengemukakan petisyen bagi meminta CBP untuk mengubah arahannya - yang dikenali sebagai Perintah Melepaskan Penahanan - kata jurucakap CBP Nate Peeters pada lewat Rabu.

Proses menyemak petisyen sedemikian adalah berbeza mengikut kes, dan perintah sekatan tidak akan diubah kecuali selepas CBP berpuas hati bahawa syarikat berkenaan tidak lagi menggunakan tenaga buruh paksa, katanya.

"CBP tidak akan mengubah atau membatalkan Penemuan Tenaga Buruh Paksa tersebut sehinggalah ia memperoleh maklumat bahawa semua petunjuk tenaga buruh paksa yang dikenal pasti oleh agensi itu telah dapat diatasi sepenuhnya dan ia menunjukkan bahawa tenaga buruh paksa tidak lagi digunakan untuk menghasilkan barangan yang dinyatakan dalam penemuan itu,“ kata Peeters kepada BenarNews melalui e-mel.

Sebelum itu, pada Julai 2020, AS telah mengeluarkan larangan import ke atas sarung tangan keluaran Top Glove, berikutan adanya "bukti munasabah" penggunaan buruh paksa.

"Bukti menunjukkan pelbagai petunjuk Pertubuhan Buruh Antarabangsa mengenai penggunaan buruh paksa termasuk tunggakan hutang, kerja lebih masa melampau, penyimpanan dokumen pengenalan diri serta keadaan pekerjaan dan kehidupan yang buruk," kata jurucakap CBP dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada 16 Julai itu.

Susulan daripada itu, Top Glove telah mengambil langkah membuat pembayaran pemulihan kepada para pekerja migran yang menyertai syarikat berkenaan sebelum mereka melaksanakan Dasar Pengambilan Sifar Kos pada Januari 2019.

Pada 10 Ogos 2020, syarikat itu memaklumkan bahawa mereka telah membuat pembayaran balik pertama yuran berjumlah RM4.4 juta, iaitu sebahagian daripada pakej RM53 juta (AS$12.5 juta) yang perlu dibayarnya kepada kakitangan migrannya, untuk dikeluarkan daripada sekatan import oleh AS.

Aktivis soal tindakan CBP

Sementara itu, seorang aktivis antarabangsa terkenal yang lantang memperjuangkan isu hak pekerja mempersoalkan tindakan terbaru CBP AS terhadap Top Glove.

Andy Hall, seorang pakar bebas mengenai hak pekerja migran yang kini bekerjasama dengan Top Glove dalam usaha memperbaiki keadaan di syarikat itu, berkata sudah tiba masanya usaha yang ditunjukkan Top Glove bagi menangani isu berkaitan indikasi buruh paksa diiktiraf.

"Sudah tiba masa untuk mengiktiraf momentum positif yang ditunjukkan kepimpinan Top Glove dalam mengenalpasti, memperbaiki dan menjauhi indikasi buruh paksa secara sistematik dalam operasi syarikat itu dan rantaian pengeluarannya," kata Hall kepada BenarNews pada Rabu.

Beliau mendakwa bahawa terdapat syarikat lain yang masih tidak mengambil tindakan mencukupi seperti dibuat oleh Top Glove, tetapi mereka tidak diambil tindakan oleh CBP seperti apa yang dikenakan terhadap Top Glove.

"Kita sekarang mesti menilai secara kritikal mengenai cara CBP dalam tindakannya terhadap syarikat (Top Glove) dan mempersoalkan keenggannya secara berterusan untuk menarik semula dapatan mengenai buruh paksa. Kini mereka merampas produk Top Glove yang dihantar ke AS ketika syarikat-syarikat lain di Malaysia yang tidak berusaha seperti Top Glove dalam memastikan kebajikan pekerja tetapi mereka tidak dikenakan tindakan serupa oleh CBP," tambah Hall.

Adrian Pereira daripada Inisiatif Utara-Selatan pula turut memuji langkah-langkah yang telah diambil Top Glove, dan menyatakan bahawa apa yang berlaku terhadap syarikat itu sepatutnya memberikan isyarat jelas kepada semua pemain industri terutama di Malaysia bahawa mereka perlu melakukan perkara yang betul.

"Pembayaran balik yuran pengambilan pekerja yang dibuat oleh Top Glove adalah satu mesej yang jelas kepada semua pemain dalam rantaian pengeluaran di seluruh dunia, terutamanya di Malaysia, supaya memperbetulkan tindakan mereka.

"Ini adalah kerana mereka mungkin terpaksa membayar harga yang mahal jika mereka tidak membetulkan diri," kata beliau kepada BenarNews.

Tambahnya, reformasi yang dibuat Top Glove adalah dialu-alukan, dan mereka berharap bahawa syarikat itu akan konsisten.

Akan tetapi, Pereira menambah bahawa Malaysia juga perlu membuat reformasi terhadap polisinya berkaitan hak pekerja dan isu buruh paksa.

"Pihak AS boleh merampas seberapa banyak yang mereka mahu. Tetapi undang-undang dan peraturan Malaysia mempunyai senarai semak yang berbeza mengenai indikasi pemerdagangan manusia.

"Jadi tindakan (oleh AS) tidak akan membawa kepada reformasi secara institusi, yang mana Malaysia perlukan," kata beliau.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh