ASEAN: Kesilapan Setiausaha Pertahanan AS ketika Trump kembali berkuasa timbulkan kebimbangan
2025.01.21
Jakarta, Bangkok, Kuala Lumpur dan Manila

Asia Tenggara menyambut kembalinya Donalds Trump ke Rumah Putih dengan reaksi bercampur antara harapan dan kebimbangan mengenai dasar-dasar yang akan dilaksanakan terutamanya membabitkan rantau ini.
Trump, 78, mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat untuk penggal kedua pada Isnin di Ratunda Capitol, Washington selepas upacara itu dipindahkan ke dalam bangunan berikutan ramalan cuaca sejuk hingga suhu ke bawah paras beku melanda negara itu.
Meskipun pemimpin serantau menjangkakan penglibatan lebih besar dengan Amerika Syarikat, insiden kontroversi membabitkan calon Setiausaha Pertahanan Trump, Pete Hegseth telah menimbulkan kebimbangan tentang cara pentadbirannya dalam mengendalikan hubungan dengan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN).
Hegseth, bekas pegawai Tentera Pengawal Kebangsaan dan pengulas televisyen gagal menyebut nama negara anggota ASEAN atau mengenal pasti saiz blok tersebut semasa sesi pengesahan jawatannya pada minggu lalu sekali gus mengundang kritikan di Washington dan seluruh Asia Tenggara.
“Dia [Hegseth] tidak memahami tugas Jabatan Pertahanan di Laut China Selatan, di mana AS memainkan peranan penting, melibatkan banyak negara ASEAN,” kata Isa Gharti, penyelidik dasar awam di Universiti Chiang Mai, Thailand, kepada BenarNews.
“Kekurangan pemahaman itu boleh membawa masalah kepada negara anggota ASEAN bagi tempoh jangka panjang.”

ASEAN sebagai blok strategik
Sedangkan ASEAN telah menjadi tumpuan strategi Washington di Indo-Pasifik dan blok dianggotai 10 negara antaranya Indonesia, Malaysia, Vietnam dan Singapura mewakili populasi lebih 680 juta orang yang secara kolektif membentuk ekonomi kelima terbesar di dunia.
Bagi Amerika Syarikat, dua lagi anggota ASEAN iaitu Thailand dan Filipina dianggap sebagai sekutu dan ia berusaha memperkukuh hubungan dengan kumpulan tersebut bagi mengimbangi pengaruh China yang kian meningkat di rantau ini.
Melalui perjanjiannya dengan Filipina, tentera AS kini mempunyai akses kepada sembilan pangkalan tentera di republik itu.
China pula telah memberikan sumbangan ketara kepada kemajuan di Asia Tenggara melalui suntikan pelaburan dalam projek infrastruktur dan memanfaatkan kekuatan ekonominya untuk membina kerjasama.
Laut China Selatan penuh dengan konflik tuntutan bertindih melibatkan Beijing dengan beberapa negara ASEAN terus kekal sebagai kawasan yang 'menggelegak' di rantau ini.
Keyakinan terhadap Trump
Walaupun Hegseth tergagap-gagap ketika menjawab soalan Senator Tammy Duckworth, yang dilahirkan di Bangkok, Thailand dan cedera dalam pertempuran semasa berkhidmat dalam tentera Amerika Syarikat, pemimpin ASEAN tetap menyuarakan keyakinan terhadap penglibatan negara kuasa besar itu di bawah kepimpinan Trump.
Presiden Indonesia, Prabowo Subianto mengucapkan tahniah kepada Trump atas kemenangannya dan beliau menyatakan hasrat untuk bertemu dengan Presiden AS itu secara peribadi.
Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim, pula menyifatkan pemilihan Trump sebagai “kebangkitan politik yang luar biasa” dan optimis terhadap potensi kerjasama lebih mendalam dengan Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, Raden Mokhamad Luthfi, seorang penganalisis pertahanan di Universiti Al Azhar Cawangan Indonesia menyatakan kesangsian terhadap hubungan pertahanan pada masa depan antara Amerika Syarikat dan Indonesia.
“Pandangan Hegseth dan Trump yang tidak mesra terhadap umat Islam boleh menjadi halangan,” ujarnya.
Cristina Palabay, setiausaha agung kumpulan hak asasi manusia Filipina, Karapatan pula mendakwa Washington menggunakan sekutunya seperti Filipina untuk mencapai matlamat strategik negara kuasa besar itu.
“Permusuhan Trump terhadap China sebenarnya kelihatan sama saja seperti yang dilakukan oleh bekas Presiden Joe Biden sebelum ini," kata Palabay.
Dalam pada itu, di Bangkok, Phumtham Wechayachai, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Thailand mengambil sikap berhati-hati.
“Selepas Trump mengangkat sumpah sebagai Presiden AS, kita perlu meneliti tentang bentuk penyesuaian yang mungkin diperlukan,” kata Phumtham kepada media.
“Secara keseluruhan, Amerika Syarikat dan Thailand mempunyai asas hubungan yang baik. Kita akan mempertimbang sebarang cadangan mengikut prinsip yang Thailand amalkan dan membuat perubahan sekiranya ia memberikan manfaat kepada negara.”
Penganalisis lain pula menganggap kesilapan Hegseth mungkin tidak memberi kesan besar terhadap penglibatan Amerika Syarikat di rantau ini.
“Adalah tidak bijak untuk mengandaikan penglibatan AS akan menjadi lemah ekoran setiausaha pertahanan negara itu tidak begitu mengenali ASEAN,” kata Julio Amador, seorang penganalisis geopolitik berpangkalan di Manila.
“Pentagon merupakan organisasi yang mempunyai birokrasi besar dan timbalan-timbalan Hegseth sangat berpengalaman dengan keadaan geopolitik Indo-Pasifik.”

Muhammad Waffaa Kharisma, seorang penyelidik di Centre for Strategic and International Studies (CSIS) di Jakarta pula berpendapat ASEAN tidak begitu signifikan secara strategik kepada Amerika Syarikat.
“Mungkin beberapa negara anggota ASEAN penting bagi Amerika Syarikat, tetapi sebagai sebuah institusi ia tidak begitu [signifikan] memandangkan sekarang merupakan era kemerosotan organisasi multilateral," kata Waffaa kepada BenarNews.
Malah, Trump sendiri tidak menunjukkan beliau begitu "bersemangat" terhadap ASEAN ketika penggal pertama pentadbirannya sebelum ini.
“Mereka melaksanakan inisiatif yang dianggap sebagai melemahkan ASEAN termasuk Quad,” katanya, merujuk kepada dialog keselamatan antara Amerika Syarikat, Jepun, India, dan Australia.
Dialog bagi mempromosikan Indo-Pasifik yang bebas, terbuka dan menyeimbangi pengaruh China yang semakin meningkat itu tidak melibatkan ASEAN.
‘Kesedaran terhad’
Asrul Hadi Abdullah Sani, rakan kongsi di firma perunding ADA Asia Tenggara menyatakan bahawa “kesilapan Hegseth menonjolkan kesedaran yang terhad mengenai ASEAN dalam kalangan ahli politik Amerika.”
Dalam hal ini, kebimbangan tetap wujud mengenai keutamaan jangka panjang yang akan diambil oleh pentadbiran Trump.
“Kita perlu bersedia berdepan dengan senario terburuk sekiranya Trump dan Presiden China, Xi Jinping mencapai persefahaman sehingga mengorbankan kepentingan nasional Filipina,” kata Rommel Jude Ong, bekas laksamana Tentera Laut Filipina sambil menyarankan agar negara itu menjalinkan hubungan lebih kuat dengan kuasa serantau lain seperti Jepun dan Australia.
Sementara itu, pengguna media sosial di Asia Tenggara turut mengecam kenyataan Hegseth.
Seorang pengguna Filipina dengan nama akaun @tessgarcia menulis di platform X: “Tidak mengetahui tentang ASEAN tidak bermakna ia tidak wujud. Semua orang di ASEAN merasa malu melihat apa yang berlaku di Barat.”
“Orang yang lemah geografi seperti Hegseth mungkin menjadi punca Amerika Syarikat tumpas di Vietnam (sebuah negara ASEAN).”
Jason Gutierrez dan Gerard Carreon di Manila, Jon Preechawong di Bangkok, Iman Muttaqin Yusof dan Iskandar Zulkarnain di Kuala Lumpur, Pizaro Gozali Idrus dan Tria Dianti di Jakarta menyumbang kepada laporan ini.