Ancaman Trump kepada BRICS cetus kebimbangan di Asia Tenggara
2024.12.04
Kuala Lumpur
Malaysia berada dalam kedudukan genting apabila Presiden Amerika Syarikat (AS) yang dipilih, Donald Trump meningkatkan ancaman ekonomi dengan memberi amaran keras mengenai tarif terhadap negara yang menyokong BRICS - blok ekonomi yang menjadi saingan Washington dalam usaha memperkenalkan mata wang alternatif bagi mencabar dolar AS, menurut penganalisis.
Meskipun Malaysia bukan anggota BRICS membabitkan Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan, hubungan sebagai negara rakan kongsi serta peranannya sebagai pengerusi blok ekonomi Asia Tenggara, ASEAN pada tahun depan menempatkannya dalam zon berisiko menghadapi konflik ekonomi atau perdagangan antara AS dan negara anggota BRICS.
Pakar ekonomi serantau meramalkan bahawa usaha tidak bergantung kepada dolar AS akan kekal sebagai pertimbangan jauh bagi rantau ini memandangkan hubungan perdagangan dan pelaburan yang kukuh dengan Washington.
“Asia Tenggara mungkin berdepan dengan tindak balas perdagangan AS jika negara-negaranya terlalu rapat dengan inisiatif BRICS, terutama di bawah pentadbiran Trump yang melihat BRICS sebagai cabaran langsung kepada dominasi AS,” kata Doris Liew, pakar ekonomi di Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Malaysia kepada BenarNews.
“Biarpun ancaman tarif Trump sebelum ini tidak selalu dilaksanakan, pendekatan diplomasi transaksi beliau menjadikan ancaman itu boleh dipercayai, terutamanya jika aktiviti BRICS meningkat untuk melemahkan dolar AS.”
Mata wang BRICS yang dicadangkan sering dirujuk sebagai "The Unit" dilihat sebagai alternatif kepada sistem kewangan yang diketuai AS.
Disokong oleh emas atau komoditi lain, penyokong BRICS berhujah bahawa ia boleh menjadi pilihan untuk penyelesaian perdagangan antarabangsa.
Trump, menerusi platform X pada hujung minggu lalu menyasarkan ahli BRICS dan rakan kongsi mereka termasuk Malaysia, Indonesia, Thailand dan Vietnam yang menyertai BRICS sebagai rakan kongsi pada Oktober.
“Kami memerlukan komitmen... bahawa mereka tidak akan mencipta mata wang baharu BRICS atau menyokong mana-mana mata wang lain untuk menggantikan dolar AS atau mereka akan berdepan tarif 100 peratus,” tulis Trump.
“BRICS tidak mempunyai peluang untuk menggantikan dolar AS dalam perdagangan antarabangsa,” tambah beliau.
“Mana-mana negara yang mencuba patut mengucapkan selamat tinggal kepada Amerika.”
Seorang lelaki mengibarkan bendera dengan imej Presiden terpilih AS Donald Trump di kenderaan yang lalu di Palm Beach, Florida, 29 Nov 2024. [Carolyn Caster/AP]
Maklum balas Malaysia
Malaysia berkata ia akan bertindak berhati-hati terhadap ancaman tarif Trump, bergantung kepada “diplomasi kuasa lunak” untuk melindungi kepentingan ekonomi dan geopolitiknya.
“Kita tidak dapat membaca fikiran Trump, tetapi kita tahu bagaimana beliau bertindak pada penggal sebelumnya iaitu mengutamakan pengasingan daripada globalisasi,” kata Menteri Luar Mohamad Hasan kepada Parlimen pada Selasa.
“Walaupun AS jauh dari kita, dasar-dasarnya sangat mempengaruhi pola ekonomi global yang tidak dapat dielakkan memberi kesan [kepada rantau ini].”
Bagaimanapun, Malaysia telah mengambil langkah untuk mempelbagaikan amalan perdagangan dan mengurangkan kebergantungan pada dolar AS.
Tahun lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menggalakkan penggunaan mata wang tempatan dalam urusan perdagangan dengan rakan serantau.
Namun, Kuala Lumpur bersikap berhati-hati, tidak terlalu rapat dengan cita-cita mata wang BRICS, kata penganalisis, terutamanya apabila meneliti diplomasi ekonomi Trump yang tegas.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Aziz pada Selasa berkata bahawa Malaysia akan memantau ancaman tarif Trump dengan teliti.
“Saya fikir kita perlu memantau dengan teliti perkembangan yang mungkin memberi kesan bukan hanya kepada negara BRICS,” katanya, menurut agensi berita nasional Bernama.
“Malaysia, seperti yang saya katakan, ia terbuka kepada perniagaan dan perdagangan. Jadi kita perlu melibatkan semua negara.”
Presiden Donald Trump (kanan) semasa pentadbiran pertamanya bertemu dengan Presiden Rusia Vladimir Putin semasa sidang kemuncak G20 di Osaka, Jepun, 28 Jun 2019. [Brendan Smialowski/AFP]
Langkah Amerika Syarikat
Pada Jumaat lalu, Jabatan Perdagangan AS mengenakan duti anti-lambakan awal sehingga 271.2 peratus ke atas sel solar dan modul dari Kemboja, Malaysia, Thailand dan Vietnam.
Jabatan itu menerima aduan bahawa syarikat China memindahkan pengeluaran mereka ke Asia Tenggara untuk mengelak tarif AS hingga membanjiri pasaran dengan panel yang dijual di bawah kos pengeluaran dan merosakkan produk buatan AS.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia, Liew Chin Tong pada Isnin memberi amaran bahawa firma China perlu mengelak daripada menggunakan Malaysia untuk ‘melabel semula’ produk bagi melepasi tarif AS.
“Sepanjang tahun lalu, saya telah menasihati banyak perniagaan dari China supaya tidak melabur di Malaysia jika hanya bercadang untuk melabel semula produk mereka melalui negara ini untuk mengelakkan tarif AS,” kata Liew dalam satu kenyataan.
Trump yang akan kembali ke Rumah Putih bulan depan dilihat telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penganalisis tentang kebangkitan semula dasar-dasar pada penggal pertama pentadbirannya yang menekankan soal tarif dan pemisahan rantaian bekalan AS daripada China.
Malaysia dan negara-negara jirannya yang berusaha untuk memposisikan diri sebagai alternatif di bawah strategi "China Plus One" menjadi sangat terdedah kepada risiko dikenakan tindakan oleh AS, kata seorang profesor perniagaan antarabangsa.
“Negara-negara ini sudah bersiap sedia menghadapi potensi kenaikan tarif kerana AS mempunyai defisit perdagangan terhadap mereka seperti Vietnam, Thailand dan Malaysia,” kata Pavida Pananond dari Universiti Thammasat Thailand kepada BenarNews.
“Ancaman Trump untuk menaikkan tarif akan memberikan kesan buruk kepada negara-negara Asia Tenggara yang bergantung kepada eksport terutamanya apabila mereka bersaing untuk menjadi lokasi perdagangan dan pelaburan “China Plus One” seterusnya.”
Jayant Menon, seorang felo kanan dari Institut ISEAS-Yusof Ishak di Singapura berkata Asia Tenggara mungkin merasai kesan tidak langsung daripada kenaikan tarif terhadap China disebabkan oleh rantaian bekalan yang saling berkaitan.
“Kesan ini akan bergema di seluruh rantaian bekalan serantau disebabkan tahap saling bergantung yang tinggi dengan China,” katanya kepada BenarNews.
Perdagangan antara ASEAN dan China mencecah rekod AS$702 bilion pada 2023, hampir 77 peratus lebih tinggi daripada AS$395.9 bilion dalam perdagangan dengan AS sekali gus mengukuhkan kedudukan China sebagai rakan dagangan utama ASEAN selama 15 tahun berturut-turut, menurut statistik ASEAN.
Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim (kiri) bersalaman dengan Presiden China Xi Jinping semasa lawatan rasmi ke Beijing, China, 7 Nov 2024. [Pejabat Perdana Menteri Malaysia]
Mata wang alternatif
Kini timbul persoalan, adakah rantau ini akan menyokong blok BRICS yang memperjuangkan mata wang alternatif atau mengimbangi hubungan dengan AS?
“Mata wang bersama BRICS menghadapi halangan termasuk keperluan untuk menyelaraskan dasar monetari dan kepentingan negara dalam mata wang masing-masing.
“Perkembangan mata wang bersama atau peralihan kepada penggunaan mata wang tempatan secara besar-besaran adalah proses yang panjang sekali gus untuk menghadapi cabaran besar dalam masa terdekat,” kata Mihaela Papa, seorang pakar BRICS yang juga Pengarah Penyelidikan dan Saintis Penyelidikan Utama dari Pusat Kajian Antarabangsa MIT kepada BenarNews.
Namun negara-negara BRICS aktif berusaha untuk mengurangkan kebergantungan kepada mata wang dolar dan membina sistem kewangan alternatif, tambahnya.
Setakat ini, dolar AS kekal sebagai mata wang rizab global yang dominan, merangkumi 58 peratus daripada rizab asing di seluruh dunia, menurut badan pemikir dasar global Atlantic Council.
Sebagai perbandingan, mata wang Euro hanya menyumbang 20 peratus daripada rizab asing, menurut data Dana Kewangan Antarabangsa.
Negara-negara Asia Tenggara mungkin mengekalkan status quo berkaitan pergantungan kepada dolar AS dalam jangka masa terdekat, kata penganalisis Ahmad Mohsein Azman dari BowerGroupAsia, sebuah firma perundingan risiko politik.
“Negara seperti Malaysia dan Vietnam telah menarik perhatian AS kerana kedudukan lebihan perdagangan mereka kerana penglibatan negara-negara tersebut dalam rantaian bekalan semikonduktor,” katanya kepada BenarNews.
“Dengan atau tanpa BRICS, negara-negara itu tetap akan berada dalam perhatian AS untuk tindakan balas perdagangan.”
Namun rasa tidak puas hati terhadap dominasi dolar telah meningkat sebagai tindak balas kepada sekatan AS dan apa yang dianggap sesetengah negara sebagai "dolar digunakan sebagai senjata".
Pada Sidang Kemuncak BRICS di Kazan, Rusia pada Oktober lalu, Presiden Rusia Vladimir Putin menuduh AS memaksa negara-negara untuk mencari alternatif.
“Bukan kami yang enggan menggunakan dolar,” kata Putin seperti yang dipetik oleh Associated Press.
“Tetapi jika mereka tidak membenarkan kami bekerja, apa yang boleh kami lakukan? Kami terpaksa mencari alternatif.”