Follow us

Parti Muhyiddin Secara Rasmi Menyertai UMNO, PAS Untuk Kelangsungan Politik

Hadi Azmi & Nani Yusof
Kuala Lumpur & Washington
2020-08-27
E-mel
Komen
Share
Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin yang juga Presiden parti Bersatu (kanan) menyerahkan kad keahlian parti itu kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Azmin Ali pada satu majlis di Kuala Lumpur,  22 Ogos, 2020.
Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin yang juga Presiden parti Bersatu (kanan) menyerahkan kad keahlian parti itu kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Azmin Ali pada satu majlis di Kuala Lumpur, 22 Ogos, 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Perdana Menteri Malaysia secara rasmi telah membawa partinya untuk bersama parti konservatif Islam PAS dan UMNO yang pernah dipimpin oleh bekas Perdana Menteri Najib Razak, yang terpalit dengan pertuduhan rasuah dalam kerjasama Muafakat Nasional sebagai langkah penting bagi kelangsungan politik beliau iaitu semasa pentadbirannya terpaksa bergantung kepada majoriti parlimen yang tipis, kata penganalisis.

Langkah itu adalah percubaan terbaru Perdana Menteri Muhyiddin Yassin - yang pernah dipecat daripada Parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) dan bergabung dengan kuasa yang pernah menjatuhkannya - untuk mencari landasan politik yang kukuh setelah ketua Parti Bersatu itu menjadi pemimpin yang tidak dipilih di Malaysia pada Mac lepas.

"Muhyiddin perlu berada di dalam Muafakat Nasional," kata Tunku Mohar Mokhtar, seorang pakar sains politik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, merujuk kepada kerjasama antara Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan UMNO, dua parti ulung bagi politik Malaysia, yang terbentuk selepas kerajaan terdahulu digulingkan dalam pertukaran pemerintahan negara buat pertama kalinya semasa pilihan raya umum pada Mei 2018.

"Beliau sememangnya tahu jika bersendirian, Bersatu tidak mampu meraih sokongan pengundi. Ia mempunyai akar umbi yang lemah, dan untuk itu, gabungan dengan parti-parti yang lebih besar dan mapan adalah antara cara untuk memperkukuhkan kedudukan beliau sendiri dan partinya. Bagi Bersatu, bersendirian dalam politik semasa pilihan raya adalah umpama membunuh diri,” kata Tunku Mohar kepada BeritaBenar.

Dengan prospek pilihan raya bakal diadakan dalam masa terdekat ini, Muafakat Nasional pada Rabu telah mengumumkan bahawa kedua-dua parti itu telah menerima Bersatu menjadi sebahagian daripada kerjasama tersebut.

"UMNO dan PAS secara komited telah membentuk gagasan Muafakat Nasional kerana menginsafi bahawa kuasa politik orang Melayu dan umat Islam semakin lemah lantaran perpecahan yang semakin parah... Alhamdulillah, terbaharu, usaha memantapkan Muafakat Nasional terus mendapat suntikan tambahan apabila dimaklumkan oleh Yang Amat Berhormat Presiden Bersatu, kesediaan Bersatu untuk turut menyertai Muafakat Nasional,” kata Annuar Musa, yang merupakan Setiausaha Agung bersama gabungan itu dalam satu hantaran media sosial.

UMNO telah memimpin kerajaan sejak kemerdekaan Malaysia pada 1957 hingga pilihan raya umum 2018 apabila kerajaan Barisan Nasional ditumbangkan oleh pakatan politik yang dipimpin bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad, yang ketika itu bersama Muhyiddin dan pernah mengetuai Bersatu.

PAS telah memerintah Kelantan, negeri utara pantai timur selama tiga dekad, di mana undang-undang Islam yang agak ketat dilaksanakan yang menyaksikan kelab malam serta pawagam dilarang manakala pasar raya mempunyai barisan yang memisahkan kaum lelaki dan wanita.

“UMNO, PAS dan Bersatu adalah seperti tiga kekasih yang saling memerlukan tetapi pada masa yang sama, mahukan ruang yang lebih besar. Muafakat Nasional hanya untuk parti yang beragama Islam sementara Barisan Nasional dan Perikatan Nasional (PN) mempunyai anggota bukan Islam sebagai perhiasan,” kata penganalisis politik Wong Chin Huat kepada BeritaBenar.

Bersatu, UMNO dan PAS semuanya adalah parti berasaskan Melayu. Bagaimanapun, pada hujung minggu lalu, Muhyiddin memberi petunjuk bahawa beliau sedang mempertimbang kemungkinan membuka keanggotaan partinya kepada majoriti bukan Melayu - blok suara terbesar di negara ini - dan menukar piagam parti itu dengan mengubah Bersatu menjadi parti pelbagai etnik.

"Ia akan dibawa ke majlis tertinggi dan jika diterima, kita akan mengadakan mesyuarat agung luar biasa untuk meminda perlembagaan Bersatu," kata perdana menteri pada Sabtu setelah menyambut kira-kira 200,000 anggota pelbagai kaum dari empat badan bukan kerajaan ketika mereka menjadi tuan rumah satu perhimpunan di Kuala Lumpur.

Walaupun partinya bergabung dengan MN, Muhyiddin dikatakan bakal melancarkan PN secara rasmi, gabungan yang dibentuk beliau pada Mac lalu untuk mendapatkan sokongan daripada majoriti 222 anggota Parlimen untuk memerintah, menurut akhbar Straits Times Singapura. UMNO dan PAS adalah antara parti terbesar dalam gabungan Perikatan yang tidak rasmi ketika Muhyiddin berkuasa pada awal Mac lalu.

Bersatu diwakili 31 Ahli Parlimen manakala UMNO mempunyai 39 Ahli Parlimen dan PAS seramai 18 orang. Gabungan parti politik dari Sarawak pula adalah seramai 18 orang dengan tujuh yang lain menyatakan sokongan kepada kerajaan pimpinan Muhyiddin, yang sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan 113 Ahli Parlimen.

Sejak Muhyiddin mula berkuasa, Bersatu telah kehilangan sembilan ahli parlimen termasuk Mahathir, tetapi memperoleh semula 11 kerusi daripada Mohamed Azmin Ali yang meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan membawa para pengikutnya untuk bergabung dengan Bersatu. Azmin pernah menjadi Timbalan Presiden PKR dan kini bertugas dalam kabinet Muhyiddin sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

MY-parliament-Aug 27 2020.jpg

Parti Pejuang

Mahathir, yang berusia 95 tahun, masih tidak bersedia untuk bersara daripada politik. Beliau pernah berkhidmat sebagai Perdana Menteri dan pemimpin UMNO dari tahun 1981 hingga 2003.

Beliau, yang merupakan Pengerusi Parti Bersatu, telah dilantik sebagai perdana menteri blok pemerintah Pakatan Harapan iaitu selepas pilihan raya 2018, bagaimanapun Mahathir bertindak meletakkan jawatan pada Februari sekali gus meruntuhkan kuasa pemerintahannya susulan satu pertikaian politik.

Pada 7 Ogos, beliau bersama lima yang lain termasuk anaknya, Mukhriz, mengumumkan pelancaran parti politik baharu. Menggelarkan diri sebagai Parti Pejuang Tanah Air, atau Pejuang, parti baharu itu telah mendapat sokongan daripada anggota akar umbi Bersatu yang telah bertindak meninggalkan parti berkenaan, menurut penganalisis.

Mahathir bukan satu-satunya bekas pemimpin yang berusaha mengekalkan kedudukan politiknya.

Najib, bekas Perdana Menteri yang kehilangan kuasa tetapi mengekalkan kerusi di parlimen, telah disabitkan dengan pertuduhan rasuah berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad di mana berbilion-bilion dolar dicuri daripada dana pelaburan negara yang ditubuhkannya pada awal pelantikan beliau sebagai perdana menteri.

Dihukum penjara 12 tahun dan denda AS$49 juta pada akhir Julai lalu, Najib berkempen bagi calon UMNO yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Slim pada Sabtu ini. Dewan Udangan Negeri Slim terletak kira-kira 90 minit di utara Kuala Lumpur dan pemimpin itu, yang masih bebas sementara menunggu rayuannya, berkempen di daerah tersebut hujung minggu lalu, menurut perkhidmatan berita Reuters.

Dua hari selepas Najib disabitkan dengan kesalahan rasuah oleh sebuah mahkamah, Ahmad Zahid Hamidi, bekas timbalannya yang kini memimpin UMNO, mengumumkan bahawa parti itu akan menjauhkan diri daripada gabungan Perikatan Muhyiddin dan tidak akan bergabung secara rasmi.

“UMNO telah memutuskan untuk tidak bergabung dengan PN. Sebagai gantinya kami akan memperkukuhkan Muafakat Nasional,” kata Zahid pada 30 Julai lalu.

Sementara itu, Tunku Mohar berkata Muhyiddin harus waspada dan berhati-hati dengan salah satu rakan Bersatu.

"Sekiranya UMNO dapat memutuskan seseorang dari kepemimpinannya (mungkin bukan Zahid yang menghadapi kes mahkamah), maka tidak mungkin Muhyiddin akan tetap menjadi PM," kata Tunku Mohar.

Zahid sendiri berdepan 45 pertuduhan jenayah termasuk salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan rasuah.

Lihat Laman Penuh