Malaysia Laksana Langkah Mulakan Semula Ekonominya Secara Meluas, Kata PM

Ray Sherman, Nisha David & Hadi Azmi
2020.05.04
Kuala Lumpur, Malaysia
200504-MY-SS-BS10.jpg Orang awam yang mahu menggunakan perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) perlu mematuhi syarat yang ditetapkan termasuk penjarakan sosial sebelum boleh menaiki keretapi, di stesen MRT Bukit Bintang, Kuala Lumpur, Malaysia, 4 Mei, 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin mengumumkan perlaksanaan langkah memulakan semula sektor ekonomi negara “secara meluas” pada Isnin, dengan pembukaan kembali pelbagai bidang perniagaan di beberapa negeri buat pertama kali sejak mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan [PKP] pada 18 Mac lepas, termasuk arahan kerajaan yang mahukan semua pekerja asing menjalani ujian saringan koronavirus.

Muhyiddin memutuskan untuk menghentikan sebahagian daripada kawalan pergerakan, sementara beliau berusaha menghidupkan kembali ekonomi akibat virus tersebut, walaupun terdapatnya perbezaan pendapat umum mengenai pembukaan semula kegiatan ekonomi negara itu.

“Hari ini, 4 Mei, Malaysia telah memulakan secara meluas ekonomi negara dalam keadaan terkawal dan teratur,” kata Muhyiddin menerusi persidangan video semasa Mesyuarat Sidang Kemuncak Secara Dalam Talian Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM), forum 120 negara-negara membangun yang tidak selaras secara formal dengan blok kuasa besar.

“Walaupun sebahagian besar sektor ekonomi telah dibuka semula hari ini, namun sektor serta aktiviti yang memerlukan rakyat berkumpul dan berhimpun masih tidak dibenarkan,” katanya.

Pihak berkuasa kesihatan tidak melaporkan kematian baru pada Isnin tetapi mengesahkan 55 kes baru jangkitan COVID-19, menjadikan kes keseluruhan kumulatif negara adalah sebanyak 6,353, dengan jumlah kematian 105.

Muhyiddin turut menekankan bahawa pemerintahnya tidak menamatkan perintah kawalan pergerakan sepenuhnya yang diisytiharkan 46 hari lalu untuk membendung penyebaran wabak tersebut. "Adalah penting untuk diketahui bahawa perintah itu masih berkuat kuasa sehingga 12 Mei," katanya.

Walaupun kerajaan persekutuan memberi lampu hijau untuk memulakan semula pelbagai sektor perniagaan dan kegiatan sosial, sembilan dari 13 negeri di negara itu, termasuk negeri terkaya, Selangor, lebih berhati-hati, dengan menghadkan perniagaan yang boleh beroperasi.

Di bawah perintah yang beri kelonggaran, kebanyakan perniagaan dibenarkan untuk dibuka kembali, kecuali kedai gunting rambut, salon rambut, dan perniagaan yang berkaitan dengan hiburan seperti panggung wayang dan pusat karaoke.

Menikmati makanan di restoran telah dibenarkan, tetapi perniagaan yang dibuka semula perlu mematuhi peratuan ketat, seperti jarak sosial dan kebersihan diri, kata para pegawai.


Pekerja di sebuah restoran di Kuala Lumpur sedang menunggu pelanggan selepas kerajaan membenarkan kebanyakan perniagaan dibuka semula, 4 Mei 2020. [ S. Mahfuz/BeritaBenar ]

Sementara itu, Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob memberitahu wartawan pada Isnin bahawa ujian saringan COVID-19 kini wajib dibuat oleh semua pekerja asing di negara itu.

Beliau berkata, pentadbiran Putrajaya memutuskan untuk mengambil langkah tersebut berikutan terdapat sekumpulan pekerja asing yang didapati positif jangkitan COVID-19 di sebuah tapak pembinaan di Ampang, daerah di pinggiran Kuala Lumpur. Tapak pembinaan itu telah diarahkan ditutup, katanya.

Ismai Sabri juga memberitahu yang majikan bagi semua sektor - pembinaan, pembuatan dan perkhidmatan, seperti restoran – perlu membayar kos ujian saringan yang dibuat keatas pekerja mereka dengan arahan itu akan bermula di ibunegara negara. Beliau juga memberi amaran bahawa mana-mana syarikat dan perniagaan yang mempunyai pekerja yang disahkan positif virus itu akan ditutup serta merta.

Putrajaya mengambil langkah itu selepas negara jirannya Singapura mengesahkan 85 peratus daripada 18, 778 kes jangkitan koronavirus di negara itu datangnya daripada asrama dan penempatan pekerja asing yang penuh sesak, dengan 573 jangkitan baru virus dilaporkan pada Isnin.

Singapura dilaporkan negara tertinggi di Asia Tenggara yang mempunyai jumlah kes positif jangkitan koronavirus.

Malaysia tahan pendatang tanpa dokumen

Malaysia telah melancarkan beberapa operasi penguatkuasaan undang-undang bagi menyaring dan menahan pendatang tanpa dokumen bermula Jumaat, yang mencetuskan kritikan kumpulan hak asasi manusia tempatan dan antarabangsa.

Malaysia mempunyai populasi pekerja asing kira-kira 3 juta dengan 1.2 juta daripadanya adalah “haram” atau ketiadaan dokumen, menurut statistik kerajaan yang dipetik Bank Dunia Bank. “Data tidak rasmi mencadangkan bahawa terdapat sehingga 4 juta pekerja asing haram,” katanya.  

Pihak berkuasa telah menahan lebih 3,000 warga asing dan menangkap sejumlah 586 pendatang tanpa dokumen, kata pegawai imigresen pada Sabtu, meskipun operasi bagi tujuan itu diteruskan selepas pengumuman tersebut.

“Untuk para pengkritik, Saya harap mereka faham bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang berdaulat dan mempunyai undang-undang sendiri bagi melindungi dirinya,” kata Ismail Sabri.

Disahkan sebagai “lokasi panas” koronavirus, beberapa kawasan di ibu negara termasuk sebuah pasar borong yang mempunyai banyak pekerja pendatang asing, telah diletak di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan baru-baru ini, kata polis.

Muhyiddin, yang mengangkat sumpah sebagai perdana menteri selepas kerajaan baharu dibentuk pada Mac, memutuskan untuk separa menamatkan sekatan pergerakan itu selepas beliau mempertimbang kesan kerosakan pandemik tersebut terhadap ekonomi negara.

Jumlah kerugian susulan ekonomi yang tidak aktif sejak beberapa minggu selepas pelaksanaan langkah sekatan pergerakan dianggarkan sebanyak 63 bilion ringgit (US $14.6 bilion), kata Muhyiddin kepada pemberita pada Jumaat lepas.

Eksport Malaysia turut mengalami kejatuhan sebanyak 4.7 peratus berbanding tahun sebelumnya pada Mac susulan kelembapan ekonomi dunia akibat pandemik koronavirus, lapor Reuters pada Isnin memetik data kerajaan.

Penghantaran barangan perkilangan, yang menyumbang sebanyak 84.4 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada Mac, merosot 4.5 peratus susulan permintaan yang berkurangan bagi barangan elektrikal dan elektronik, antara barangan lain, menurut laporan itu.

Sementara itu, Mohamed Azmin Ali, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, memberi amaran bahawa tindakan perundangan mungkin diambil terhadap kerajaan negeri yang enggan melaksanakan arahan terkini perdana menteri.
“Sekiranya kerajaan negeri enggan bekerjasama … [mereka] mungkin berdepan tindakan perundangan daripada pelbagai pihak, terutama pemain industri,” katanya

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.