Follow us

Malaysia Umum Pakej Tambahan Bantuan Ekonomi Sebanyak RM35 bilion

Ray Sherman & Noah Lee
Kuala Lumpur, Malaysia
2020-06-05
E-mel
Komen
Share
Dua orang pekerja restoran sedang menunggu pelanggan di Jalan Bukit Bintang di Kuala Lumpur, 25 April, 2020.
Dua orang pekerja restoran sedang menunggu pelanggan di Jalan Bukit Bintang di Kuala Lumpur, 25 April, 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Malaysia pada Jumaat mengumumkan pakej tambahan bantuan sebanyak AS$8.2 bilion (RM35 bilion), yang merangkumi pembiayaan untuk memastikan kira-kira tiga juta pekerja dapat mengekalkan pekerjaan mereka, ekoran impak ekonomi akibat pandemik COVID-19.

Pakej ketiga daripada empat pakej yang kesemuanya berjumlah RM315 bilion itu diumumkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam satu perutusan khas yang disiarkan di semua stesen televisyen dan platform media di seluruh negara.

Muhyiddin yang mengambil alih tampuk pemerintahan Putrajaya pada 1 Mac lepas telah mengumumkan dua pakej sebelum ini, iaitu pakej berorientasikan kebajikan rakyat (Prihatin) bernilai RM230 bilion pada Mac dan tambahan RM10 bilion lagi sebulan kemudian bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) negara yang dikenali sebagai pakej Prihatin PKS.

Pakej ketiga yang diumumkan Perdana Menteri itu pada Jumaat dikenali sebagai Pelan Jana Ekonomi (Penjana), merangkumi 40 inisiatif yang terbahagi kepada tiga kategori -  memperkasakan rakyat, melonjakkan perniagaan, dan merangsang ekonomi.

"Secara keseluruhan, terdapat 40 inisiatif bernilai RM35 bilion di bawah Penjana dengan RM10 bilion (AS$2.3 bilion) peruntukkan dalam bentuk suntikan fiskal secara langsung daripada kerajaan…. Kerajaan juga akan memperuntukkan hampir RM9 bilion yang akan memanfaatkan seramai 3 juta tenaga pekerja melalui beberapa inisiatif,” kata Muhyiddin pada siaran secara langsung itu.

Beliau berkata, Program Subsidi Upah bernilai RM5 bilion (AS$1.17 bilion) yang diperkenalkan pada pakej Prihatin dan Prihatin PKS tambahan, telah mendapat sambutan baik daripada pekerja dan majikan serta berjaya menyelamatkan lebih 2.2 juta pekerjaan.

“Bagi membantu syarikat dalam tempoh peralihan pembukaan semula ekonomi, Kerajaan akan melanjutkan subsidi upah ini selama tiga bulan lagi. Memandangkan ekonomi telahpun dibuka secara berperingkat, subsidi upah ditetapkan pada kadar RM600 sebulan untuk setiap pekerja sehingga maksima 200 pekerja bagi setiap syarikat,” tambah beliau.

Perdana Menteri itu berkata, kerajaan juga memperkenalkan Program Insentif Pengambilan  Pekerja yang boleh menyediakan pekerjaan kepada lebih 300 ribu penganggur dan belia, dengan manafaatnya dapat dirasai oleh pekerja dan majikan, dan syarikat yang memberi pekerjaan kepada golongan itu disediakan dengan insentif kewangan termasuk pengecualian cukai.

Selain itu, katanya kerajaan juga memperuntukkan sebanyak RM2 bilion bagi program peningkatan kemahiran bagi golongan berkenaan yang akan memberi peluang kepada lebih 200 ribu orang mengikuti pelbagai program kemahiran yang ada.

Katanya, melalui pakej-pakej rangsangan ekonomi yang telah dilaksanakan oleh kerajaan, sebelum ini juga telah berjaya menyelamatkan lebih 2.4 juta pekerjaan dan mengurangkan beban aliran tunai hampir 11 juta rakyat termasuk memberi sokongan kepada lebih 300 ribu buah syarikat.

Dalam ucapan beliau, Muhyiddin turut mengakui bahawa Malaysia sedang menghadapi cabaran ekonomi, dan dijangka terus menguncup dalam suku kedua tahun ini.

"Ekonomi Malaysia dijangka menguncup pada suku kedua tahun ini berikutan usaha pembendungan penularan wabak COVID-19 yang masih dijalankan di peringkat global dan dalam negara,” kata Perdana Menteri itu.

Indah atas kertas


Dalam pada itu, bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad semasa sidang media yang diadakan pada petang Jumaat mendakwa bahawa pelan-pelan bantuan yang diumumkan oleh kerajaan Perikatan Nasional hanya nampak gah di atas kertas namun gagal dalam penyampaian kepada rakyat.

"Rakyat tidak dapat duit yang diperuntukkan kepada mereka, termasuklah pengusaha perniagaan kecil. Jadi kerajaan ini hanya nampak bagus di atas kertas, tetapi realiti di bawah, rakyat sedang sengsara," kata Mahathir.

Pada Februari lepas, bekas perdana menteri itu telah memperkenalkan pakej ransangan ekonomi pertama bagi Malaysia yang berjumlah RM20 bilion dengan pada masa itu jangkitan kes COVID-19 sangat rendah dan tiada kematian yang laporkan.

Malaysia mula memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakaan [PKP] pada 18 Mac lepas dan telah menyambung perintah tersebut beberapa kali sejak dari itu dan kini negara berkenaan berada dalam fasa PKP Bersyarat, di mana kebanyakkan sektor ekonomi dan aktiviti sosial telah dibenarkan untuk beroperasi.

PKP Bersyarat ini dijangka berakhir pada Selasa depan [9 Jun].

Hadi Azmi di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.




Lihat Laman Penuh