Malaysia Gugurkan Pendakwaan Terhadap 12 Tahanan Berkaitan LTTE

Nisha David & Noah Lee
2020.02.21
Kuala Lumpur, Malaysia
200221-MY-TT-LTTE-620.jpeg Peguam Negara Malaysia Tommy Thomas bercakap pada satu sidang media diperkarangan kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, 4 Julai, 2018.
[Reuters]

Malaysia secara tiba-tiba pada Jumaat menggugurkan semua pertuduhan terhadap dua Anggota Dewan Undangan Negeri dan 10 yang lain yang berdepan dengan pertuduhan menyokong kumpulan pemberontak Sri Lanka - Harimau Pembebasan Tamil Eelam [LTTE], dengan mengatakan tidak ada prospek yang realistik bahawa mana-mana tertuduh akan disabitkan.

Peguam Negara Tommy Thomas berkata, 12 lelaki itu, menghadapi 34 tuduhan selepas polis menemui beberapa gambar Velupillai Prabhakaran, pengasas LTTE yang terbunuh dalam telefon bimbit dan akaun Facebook mereka.

“Sekiranya perbuatan sedemikian boleh membentuk satu kesalahan jenayah, ia akan meletakkan undang-undang ke tempat yang tidak dihormati,” kata Thomas. “Saya telah membuat keputusan bahawa tiada prospek yang jelas untuk sabitan terhadap mana-mana 12 tertuduh.”

Beliau berkata perintahnya untuk mengugurkan prosiding mahkamah terhadap tertuduh berkuatkuasa serta merta.

ADUN Gunasekaran Palasamy dan Saminathan Ganesan bersama 10 lelaki lain menghadapi pertuduhan di bawah Undang-undang Anti-Keganasan Negara, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas), atau SOSMA. Mereka bermungkinan berdepan dengan hukuman penjara sehingga 30 tahun, jika sabit kesalahan.

Thomas tidak menjelaskan mengapa pendakwaan memfailkan pertuduhan itu pada mulanya, tetapi berkata dalam kenyataannya bahawa beliau telah mempertimbangkan fakta-fakta yang hanya diketahui olehnya selepas pertuduhan telah dibuat.

"Mudarat kepada rakyat Malaysia tidak dapat dibuktikan oleh pendakwaan," katanya.

Annun Nancy, anak perempuan Gunasekaran, meluahkan rasa leganya apabila mendengar keputusan itu.

"Kami kelu seribu bahasa dan terharu dalam kegembiraan," katanya kepada BeritaBenar.

Ram Karpal, peguambela kepada tujuh tertuduh turut menyambut baik keputusan peguam negara itu.

"Tindakan keganasan pastinya tidak boleh dikecualikan," katanya kepada BeritaBenar, "tetapi sifat pertuduhan terhadap 12 lelaki itu mencadangkan mereka tidak pernah melakukan sebarang tindakan keganasan."

Kesemua 34 pertuduhan itu kebanyakannya seperti "memberi sokongan" melalui media sosial dan "pemilikan" barang-barang yang berkaitan dengan LTTE, yang mana Malaysia telah melabelkan sebagai kumpulan pengganas pada November 2014.

Gunasekaren, 60, dan Saminathan, 34, adalah anggota Parti Tindakan Demokratik (DAP), sebuah komponen blok pemerintah pentadbiran Pakatan Harapan. Gunasekaran adalah timbalan pengerusi DAP dan juga ADUN bagi Negeri Sembilan manakala Saminathan adalah Ahli Exco Kerajaan Negeri Melaka.

Mereka didakwa selepas dikatakan menyampaikan ucapan dan mengedarkan bahan bacaan yang menyokong pejuang LTTE yang terbunuh dalam satu majlis awam yang diadakan di Melaka pada 28 November tahun lepas.

LTTE ditubuhkan pada Mei 1976 oleh Velupillai Prabhakaran, dengan misi mengeluarkan Eeelam dari kawasan utara dan timur Sri Lanka, di mana etnik Tamil merupakan majoriti penduduknya.

Kumpulan itu yang mempunyai sebuah militia yang serba lengkap dan melakukan banyak serangan, memerangi Colombo, ibu negara Sri Lanka selama 26 tahun, namun pasukan kerajaan mengumumkan kemenangan terhadap kumpulan berkenaan pada Mei 2009.

LTTE telah melakukan banyak serangan berprofil tinggi termasuk pembunuhan ahli-ahli politik dan dua ahli politik berprofil tinggi yang dibunuh oleh Tigers dalam pengeboman bunuh diri adalah Perdana Menteri India Rajiv Gandhi pada 1991 dan Presiden Sri Lanka Ranasinghe Premadasa pada 1993.

Thomas berkata pertuduhan terhadap 12 lelaki itu membawa satu tema yang sama: Mereka memiliki gambar Prabhakaran sama ada dalam akaun dalam talian atau di dalam telefon bimbit mereka.

Tetapi Thomas berkata, personaliti sejarah dan pemimpin revolusi yang terbunuh adalah subjek yang sering dipuja.

“Jutaan orang di seluruh dunia mengagumi Lenin, Stalin, Mao Tse Tung atau Che Guevara,” katanya. “Mempunyai gambar-gambar mereka dan representasi-representasi lain yang berkaitan dengan mereka di dalam telefon bimbit atau akaun Facebook seseorang tidak menukar seseorang menjadi pengganas.”

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.